Kisah Pembunuhan Ngeri dan Kanibalisme di Taiwan

Kehilangan Jinchi mula disedari apabila pengurus tempat kerjanya menghubungi keluarganya menyatakan bahawa Jinchi tidak hadir bertugas selama dua hari tanpa sebarang berita. Abang mangsa, Kunji yang sememangnya berasa tidak sedap hati sejak awal terus menuju ke sebuah bengkel motosikal di Daerah Longjing, Taichung. Bengkel tersebut milik Chen Jinhoo, pelanggan lama yang sepatutnya ditemui oleh Jinchi pada malam kejadian. Walau bagaimanapun, jawapan dingin daripada Chen dan tindakannya yang menghalang Kunji daripada memeriksa premis tersebut menimbulkan kecurigaan yang amat besar.

Setelah laporan polis dibuat, pihak berkuasa mula menjalankan siasatan intensif. Rakaman CCTV dari kedai serbaneka berhampiran menunjukkan Jinchi melangkah masuk ke dalam bengkel motosikal tersebut pada jam 8:00 malam tetapi tidak pernah kelihatan keluar dari bangunan itu. Berbekalkan waran geledah, polis menyerbu bengkel tiga tingkat tersebut. Di sana, seekor anjing pengesan telah membawa pegawai penyiasat ke tingkat tiga di mana terdapat sebuah tangki air keluli yang besar. Di dalam tangki yang kotor itu, polis menemui dua beg plastik hitam yang mengandungi cebisan mayat manusia yang telah dilapah dan dipisahkan daripada tulang termasuk kepala mangsa.


Siasatan forensik mendedahkan plot yang lebih ngeri. Di bilik air tingkat dua, penggunaan bahan kimia luminol menunjukkan kesan darah yang sangat banyak walaupun bilik air tersebut nampak bersih secara mata kasar. Polis akhirnya berjaya memberkas Chen Jinhoo dan pelatihnya iaitu Guang Deang. Melalui pengakuan Guang, terbongkar rahsia bahawa selepas Jinchi dibunuh dengan cara dijerut. Mereka bukan sahaja mengerat mayat mangsa untuk menghapuskan bukti bahkan juga bertindak menggoreng sebahagian daripada daging mangsa dan memakannya. Chen dilaporkan memakan daging tersebut tanpa sebarang riak emosi.
Motif pembunuhan dikaitkan dengan rasa tidak puas hati Chen terhadap urusan tuntutan insurans pelanggannya yang gagal hingga menyebabkan dia menyimpan dendam terhadap Jinchi. Selain itu, siasatan latar belakang mendapati Chen mempunyai tabiat pelik sejak kecil seperti menyeksa haiwan dan menyimpan ular di rumahnya untuk menakutkan jiran tetangga. Pihak polis juga mengesyaki Chen terlibat dalam kehilangan seorang pelajar universiti pada tahun 1991 namun tiada bukti fizikal yang cukup untuk mendakwanya bagi kes lama tersebut.

Setelah melalui proses perbicaraan yang panjang dan berliku di mana kedua-dua suspek sering menukar kenyataan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman mati. Pada 21 Disember 2012, Chen Jinhoo dan Guang Deang telah menjalani hukuman tembak.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Ngeri dan Kanibalisme di Taiwan"