Kisah Serangan Ngeri Austin Harrouff

     Pada malam 15 Ogos 2016, satu kes pembunuhan ngeri telah berlaku di Jupiter, Florida, Amerika Syarikat. Austin Harrouff yang ketika itu merupakan seorang pelajar jurusan sains eksas di Florida State University berusia 19 tahun di mana dia tidak pernah mempunyai rekod jenayah atau sejarah keganasan. Austin dikenali sebagai seorang pemuda yang sopan, ahli sukan gusti dan bola sepak Amerika serta seorang pelajar cemerlang. Namun dalam masa satu malam, imej tersebut hancur berkecai apabila dia melakukan serangan yang melangkaui batas kemanusiaan.

     Segalanya bermula apabila Austin sedang makan malam bersama bapa dan kakaknya di sebuah restoran bernama Duffy’s Sports Grill. Menurut saksi, Austin menunjukkan tingkah laku yang sangat aneh dan agresif di meja makan yang membawa kepada pertengkaran mulut dengan bapanya. Dia yang dalam keadaan berang meninggalkan restoran tersebut secara tiba-tiba. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Austin berjalan keluar dengan tenang. Cuma di sebalik ketenangan itu, mindanya dipercayai sedang mengalami keruntuhan psikotik yang hebat. Dia berjalan kaki sejauh beberapa kilometer menuju ke kawasan perumahan yang sunyi sebelum terserempak dengan mangsanya secara rawak.

​     Mangsa dalam kes ini ialah John Stevens, 59 tahun dan isterinya, Michelle Mishcon, 53 tahun. Pasangan tersebut sedang berehat di dalam garaj rumah mereka yang terbuka yakni satu rutin biasa bagi mereka untuk menikmati udara malam. Tanpa sebarang provokasi atau motif rompakan, Austin menyerbu masuk dan menyerang mereka dengan senjata yang ditemui di lokasi seperti sebilah pisau lipat dan beberapa barangan tumpul dari garaj tersebut. Michelle terbunuh di tempat kejadian manakala John cuba melawan namun akhirnya tewas akibat kecederaan parah. Seorang jiran iaitu Jeff Fisher yang cuba membantu setelah mendengar jeritan juga ditikam berkali-kali oleh Austin sebelum sempat melarikan diri untuk menelefon pihak polis.

     ​Apabila timbalan syerif tiba di lokasi, mereka disajikan dengan pemandangan yang sangat mengerikan. Mereka mendapati Austin sedang membongkok di atas mayat John Stevens. Diamelakukan tindakan kanibalisme dengan menggigit serta mengunyah bahagian muka dan dada mangsa. Austin mengeluarkan bunyi seolah-olah haiwan buas yang sedang menggeram. Walaupun pihak polis menggunakan alat renjatan elektrik (taser) dan melepaskan anjing pengesan (K9) untuk menghentikannya, Austin menunjukkan kekuatan luar biasa serta tidak menghiraukan kesakitan tersebut. Dia hanya berjaya ditumpaskan setelah beberapa orang pegawai menariknya keluar secara paksa. Semasa ditahan, Austin dilaporkan menjerit, "Makanlah saya, tembaklah saya, saya layak mati!"

​     Selepas kejadian, spekulasi meluas mengatakan bahawa Austin berada di bawah pengaruh dadah sintetik yang kuat terutamanya Flakka atau bath salts. Dadah jenis ini diketahui boleh menyebabkan delirium teruja (excited delirium), suhu badan meningkat mendadak, kekuatan luar biasa dan halusinasi ngeri. Namun keputusan ujian toksikologi yang dijalankan oleh FBI mengejutkan ramai pihak. Tiada sebarang kesan dadah psikoaktif dikesan dalam darah Austin pada malam kejadian. Ini mengubah naratif kes tersebut daripada isu penyalahgunaan dadah kepada isu kesihatan mental yang sangat kompleks.


     Setelah bertahun-tahun prosiding mahkamah tertangguh disebabkan keadaan kesihatan Austin yang merosot, kes ini akhirnya mencapai keputusan pada November 2022. Pakar psikiatri bagi pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju bahawa Austin mengalami psikosis akut yang teruk. Dia didapati percaya bahawa dirinya sedang dikejar oleh kuasa ghaib dan menganggap dirinya sebagai makhluk jelmaan seperti serigala jadian. Hakim akhirnya memutuskan bahawa Austin tidak bersalah atas alasan ketidaksiuman (not guilty by reason of insanity). Dia kini ditempatkan di hospital mental di bawah seliaan kerajaan negeri Florida untuk tempoh masa yang tidak ditetapkan


Catat Ulasan for "Kisah Serangan Ngeri Austin Harrouff"