Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH RAMON SOSA : Suami yang Tersakiti


    Ramon Sosa dilahirkan pada 1 Jun 1967 di Puerto Rico. Ramon begitu aktif dalam sukan tinju sejak dari dia kecil lagi. Bakat bertinjunya itu diwarisi tidak lain tidak bukan daripad bapanya sendiri. Sewaktu Ramon berusia 9 tahun, keluarganya berpindah ke negara Amerika Syarikat untuk lebih menstabilkan kehidupan mereka. Pada usia 17 tahun, Ramon sudah pun bergelar sebagai seorang petinju professional di mana dia telah menyertai pelbagai jenis kejohanan tinju. Namun beberapa tahun kemudian, Ramon tekad untuk berhenti menjadi seorang petinju bagi menumpukan perhatian kepada pelajaran. Walau bagaimanapun, minatnya dalam dunia sukan tinju tidak terhenti begitu saja apabila dia telah menubuhkan satu pertubuhan tinju yang dinamakan sebagai Young Prospects Boxing pada tahun 2004. Dalam pertubuhan tersebut, Ramon berperanan sebagai jurulatih dengan objektif utamanya untuk mengembangkan bakat bertinju dalam kalangan pelatih kanak-kanak yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Ramon dan Lulu

    Mengenai kehidupan peribadi Ramon, dia sebenarnya pernah berkahwin pada tahun 1989 dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Dolores. Hasil perkahwinan itu, mereka berdua dikurniakan seramai tiga orang anak. Perkahwinan tersebut bagaimanapun tidak berkekalan lama apabila pasangan itu bercerai pada tahun 2000 dengan hak penjagaan anak telah diberikan kepada Dolores. Selepas 9 tahun bergelar sebagai duda, Ramon berkahwin buat kali kedua dengan seorang wanita berstatus janda yang mempunyai dua orang anak iaitu Lulu atau nama sebenarnya Maria de Lourdes Dorantes. Ramon dan Lulu dikatakan mula berkenalan pada tahun 2007 di sebuah kelab malam.

    Selepas perkahwinan kedua Ramon tersebut, dia dan Lulu telah sama-sama membuka perusahaan gim di sekitar kawasan tempat tinggal mereka. Kerja keras Ramon ternyata membuahkan hasil apabila pusat gim itu menjadi sebuah pusat gim berjaya sekaligus memberikan keuntungan berganda yang menjadi titik permulaan kepada kehidupan mewah keluarganya. Ramon dapat membeli kereta mewah, rumah besar, pakaian berjenama dan barangan kemas untuk Lulu. Cumanya benarlah orang kata, kekayaan itu bukan satu jaminan kebahagiaan. Walaupun Ramon digambarkan sebagai seorang suami yang baik dan bertanggungjawab, hubungan rumah tangganya dengan Lulu mulai retak pada tahun 2014. Seperkara dapat dipastikan, punca keretakan hubungan pasangan tersebut berpunca daripada tindakan Lulu yang sering mempertahankan tindakan anak lelakinya yakni anak hasil perkahwinan terdahulu. Ramon tidak gemar dengan  anak tiri lelakinya itu yang dilihat cuba untuk mendominasi kehidupan mereka sekeluarga.

    Saat paling mengejutkan Ramon apabila Lulu tiba-tiba memfailkan penceraian terhadapnya berserta tuntutan semua harta. Walaupun berasa sedih dengan perkara tersebut, Ramon bersetuju untuk bercerai dengan syarat segala harta benda akan dibahagikan secara sama rata. Mengecewakan Ramon, Lulu menolak syarat Ramon mentah-mentah. Bagi Lulu, dia berhak membolot semua harta milik Ramon. Pada masa sama, Lulu mula menyebarkan cerita palsu tentang sikap Ramon yang konon sering menderanya dan memanipulasi wang pelabur pusat gim yang diusahakan mereka.

    Hinggalah bulan Jun 2015, seorang pelatih di pusat gim Ramon yang bernama Mundo telah menghubungi Ramon. Menerusi panggilan telefon tersebut, Mundo memberitahu Ramon bahawa dia ada terdengar satu sesi perbualan Lulu yang mendakwa ingin membunuh suaminya itu. Berkenaan dengan Mundo, dia adalah bekas seorang gengster yang sudah pun kembali ke pangkal jalan setelah bertemu dengan Ramon. Sejurus mendengar apa yang diperkatakan Mundo, dia dan Mundo telah bersepakat untuk memerangkap Lulu. Mengikut perancangan mereka, Mundo akan berpura-pura memihak kepada Lulu. Perkara ini bermaksud, Mundo kononnya menjadi orang tengah Lulu dari awal hingga selesai pembunuhan. Tanpa Lulu sedari, Mundo turut merakam setiap perbualannya secara rakaman audio untuk dijadikan sebagai bukti pendakwaan kelak.

    5 Julai 2015, Ramon dan Mundo telah pergi membuat laporan polis bagi membuat aduan berhubung niat jahat Lulu itu. Selepas mencapai persetujuan bersama, pihak polis telah bersetuju untuk menyamar menjadi pembunuh upahan kenalan Mundo. Jadi pada 20 Julai 2015, Lulu telah pergi bertemu dengan pembunuh upahan tersebut di dalam kereta seperti yang sudah dirancang. Lulu menggesa supaya pembunuhan Ramon disegerakan kerana perbicaraan kes penceraian mereka akan berlangsung pada masa terdekat. Semua harta Ramon hanya akan menjadi milik Lulu sepenuhnya jika dia meninggal dunia sebelum penceraian mereka diisytiharkan.

    Sehari selepas pertemuan tersebut, Ramon telah dibawa oleh pihak polis ke sebuah kawasan ladang yang agak terpencil. Pada waktu sebelum itu, Ramon disolek seperti mayat sebenar. Kerja-kerja solekan terhadap Ramon tersebut dilakukan oleh pihak polis sendiri dengan menonton video tutorial di laman Youtube. Sampai di ladang, Ramon yang diikat kedua-dua tangannya telah disuruh untuk berbaring bagi menampakkan dirinya seolah-olah sudah pun mati. Selesai kerja-kerja fotografi, Ramon diarahkan untuk bersembunyi terlebih dahulu sebelum penangkapan terhadap Lulu dibuat.

    Pada 22 Julai 2015, pembunuh upahan itu bertemu semula dengan Lulu untuk menunjukkan kerja-kerja pembunuhan Ramon telah pun selesai sepenuhnya. Sebaik melihat foto mayat Ramon, Lulu ketawa besar menandakan kepuasan hatinya. Sehari berikutnya, pihak polis telah pergi ke pusat gim untuk menyoal siasat Lulu mengenai kehilangan suaminya. Sewaktu sesi soal siasat tersebut, Lulu mendakwa langsung tidak tahu menahu keberadaan Ramon dengan dakwaan tambahan bahawa kali terakhir melihat suaminya itu adalah pada 15 Julai. Berdasarkan bukti sedia ada, pihak polis akhirnya menangkap Lulu. Keputusan perbicaraan kes pada bulan Oktober 2016 menyaksikan Lulu yang didapati bersalah atas kesalahan cubaan melakukan pembunuhan peringkat kedua dengan niat telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun. Sejak Lulu dipenjarakan, dia dilaporkan bukan menolak untuk bertentang mata dengan Ramon malah tidak pernah menyesali perbuatan jahatnya. Saksikan sendiri video ringkasan kes ini di sini : https://youtu.be/mpyQDo_VoaM                                

Catat Ulasan for "KISAH RAMON SOSA : Suami yang Tersakiti"