Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH CIMPANZI TRAVIS : Serangan Paling Gila

    Pada 16 Februari 2009 bertempat di Stamford, Connecticut, Amerika Syarikat, seekor cimpanzi jantan bernama Travis telah bertindak liar menyerang seorang wanita yang juga merupakan rakan baik kepada penjaganya. Hingga pada akhirnya, Travis terpaksa ditembak oleh pihak polis bagi menghentikannya daripada terus melakukan serangan. Wanita yang diserang tersebut pula telah mendapat kecederaan parah hingga menyebabkannya mengalami kecacatan secara kekal.

Sandra dan Travis

    Travis adalah seekor cimpanzi jantan yang dilahirkan pada 21 Oktober 1995 di sebuah tempat perlindungan haiwan terletak di Festus, Missouri. Sewaktu Travis berusia 3 tahun, cimpanzi itu telah dijual kepada sepasang suami isteri yang dikenali sebagai Jerome dan Sandra Herold dengan harga $50 000. Seperkara harus diketahui, nama Travis tersebut sebenarnya adalah sempena nama Travis Tritt yakni seorang penyanyi di Amerika Syarikat. Travis seterusnya telah dilatih oleh pasangan Jerome dan Sandra untuk menjalani kehidupan seperti manusia dan diajar untuk berlakon. Travis sering membuat penampilan di dalam iklan dan program televisyen. Dalam erti kata lain, Travis boleh dikatakan sebagai selebriti haiwan.

    Tahun 2000, Sandra dikejutkan dengan pemergian anak tunggalnya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Empat tahun selepas itu, giliran Jerome pula pergi buat selama-lamanya yang disebabkan penyakit kanser. Dek kerana telah kehilangan dua orang insan yang paling disayanginya, Sandra menjadi semakin dekat dengan Travis. Sandra sudah mula menganggap bahawa Travis seperti anak kandung sendiri. Bagi Sandra, tiada siapa yang boleh pisahkan dirinya dengan Travis.

Charla Nash dan Travis

    Pada 16 Februari 2009, rumah Sandra telah dikunjungi oleh seorang rakan wanitanya iaitu Charla Nash seperti kebiasaannya. Cuma sewaktu kunjungan Charla tersebut, Travis tiba-tiba cuba melarikan diri dari rumah Sandra. Charla kemudian mengejar lalu mengumpan Travis untuk masuk semula ke dalam rumah dengan menunjukkan patung Tickle Me Elmo yang menjadi patung kegemaran cimpanzi tersebut. Namun apa yang benar-benar mengejutkan, Travis kelihatan ketakutan sebelum menerkam badan Charla. Pada hari itu, Charla telah mengubah gaya rambutnya. Berkemungkinan besar, perubahan gaya rambut tersebut menjadi punca dia diserang Travis kerana cimpanzi tersebut dikhuatiri sudah tidak mengenalinya.

    Melihat Charla yang terus diserang tanpa henti oleh Travis, Sandra terpaksa menikam bahagian belakang cimpanzi itu. Walau bagaimanapun, tikaman tersebut telah membuatkan Travis menjadi semakin mengamuk. Menyedari Travis yang semakin berada di luar kawalan, Sandra akhirnya menghubungi pihak talian kecemasan. Tidak lama sesudah panggilan itu dibuat, pihak polis pun tiba di lokasi kejadian. Pihak polis yang tidak mempunyai pilihan lain telah terpaksa melepaskan beberapa das tembakan terhadap Travis. Dek kerana tembakan tersebut, Travis berundur menuju ke kandang tempat cimpanzi itu berkurung. Travis akhirnya mati di situ.

    Mengenai Charla, keadaannya begitu parah sekali akibat dicakar dan sebahagian kulit badannya telah dimakan oleh Travis. Dia kehilangan hidung, mata, bibir, dan separuh tulang wajahnya. Kedua-dua tangannya juga kudung. Charla bagaimanapun berjaya diselamatkan setelah menjalani pembedahan selama 72 jam tanpa henti. Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap Travis, kandungan dalam cimpanzi tersebut didapati mengandungi ubat penenang Xanax. Menurut Sandra tentang hari kejadian di mana Travis ada diberikan ubat Xanax sebagai perlindungan cimpanzi itu daripada mendapat penyakit Lyme, sejenis penyakit yang disebarkan kutu. Kesan sampingan ubat Xanax ini adalah boleh menyebabkan masalah halusinasi dan mania.

    Pada sekitar bulan November 2009, Charla telah tampil dalam rancangan wawancara terkenal The Oprah Winfrey Show untuk menceritakan pengalamannya berhubung insiden serangan Travis tersebut serta pada masa sama berkongsi hal-hal lain berkenaan dengan dirinya. Apa yang pasti, kemunculan Charla dalam wawancara itu ternyata mengundang rasa simpati ramai pihak. Mengikut laporan, Travis sebenarnya beberapa kali pernah beraksi liar pada beberapa tahun sebelum kejadian cimpanzi tersebut menyerang Charla. Cumanya tiada sebarang pendekatan daripada Sandra dan mendiang suaminya untuk berhenti membela Travis. Sandra dilaporkan telah meninggal dunia pada bulan Mei 2010 .

Catat Ulasan for "KISAH CIMPANZI TRAVIS : Serangan Paling Gila"