KISAH PEMBUNUHAN KEJAM NARA ALINE YANG DIKERAT HIDUP-HIDUP

Dari kiri : Nara Aline, Dorcielle & Inggrid

    Pada tahun 2018 bertempat di negara Brazil, tiga orang wanita diseksa, dipenggal dan dibunuh dengan kejam sebelum mayat mereka dibuang di kawasan bakau. Kes ini kemudiannya dikenali sebagai Caso Mangue 937 yang merujuk kepada lokasi penemuan mayat serta kod kawasan yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah yang bertanggungjawab.

     Nara Aline yang berusia awal 20-an merupakan seorang wanita muda dari Fortaleza, Ceara. Dia digambarkan oleh kenalan sebagai seorang yang ceria, mudah bergaul dan aktif dalam persekitaran sosial. Namun terdapat khabar angin yang mendakwa Nara mempunyai hubungan dengan sebuah kumpulan geng yang menguasai kawasan tersebut meskipun kebenaran dakwaan itu tidak pernah dapat dibuktikan sepenuhnya. Dua lagi mangsa yang dibunuh bersama Nara ialah Darcyelle Ancelmo de Alencar dan Ingrid Teixeira Ferreira. Ketiga-tiganya saling mengenali dan dipercayai keluar bersama sebelum menjadi sasaran kumpulan Guardioes do Estado (GDE) iaitu salah satu geng paling ganas dan berpengaruh di Ceara.

     Pada waktu kejadian, negeri Ceara sedang berdepan peningkatan konflik antara kumpulan jenayah besar seperti GDE, Comando Vermelho (CV) dan Primeiro Comando da Capital (PCC). Geng-geng ini aktif merekrut anak muda, termasuk wanita untuk dijadikan kurier, penghubung atau pemantau pergerakan polis. Dalam kes Nara, dipercayai terdapat konflik dalaman antara geng yang menyebabkan mereka dituduh membelot atau membocorkan maklumat kepada kumpulan saingan. Pihak polis kemudian mengesahkan bahawa dakwaan tersebut menjadi punca pembunuhan ketiga-tiga wanita berkenaan.

     Pada 2 Mac 2018, Nara, Ingrid dan Darcyelle diculik oleh anggota GDE dan dibawa ke sebuah kawasan terpencil berhampiran bakau di Vila Velha, Fortaleza. Di sinilah mereka mengalami penyeksaan yang digambarkan sebagai antara paling kejam. Menurut laporan polis, Nara dan Ingrid diseksa secara berperingkat termasuk proses mengerat anggota badan satu persatu. Mereka dipaksa duduk dan melutut ketika serangan berlaku dengan keseluruhan penyeksaan dirakam menggunakan telefon bimbit. Berbeza dengan dua mangsa tersebut, Darcyelle ditembak mati terlebih dahulu sebelum pembunuhan kejam seterusnya dilakukan. Video pembunuhan kejam itu seterusnya telah tersebar luas di media sosial.



     Selepas diseksa, Nara dan Ingrid dipenggal dan mayat mereka dibuang ke kawasan bakau berdekatan. Lokasi itu dikenali sebagai Mangue 937, tempat yang sering digunakan oleh GDE untuk melupuskan mayat mangsa mereka. Cebisan tubuh ditemui beberapa hari kemudian oleh penduduk setempat lalu membawa kepada laporan polis dan siasatan intensif.

     Proses mengenal pasti ketiga-tiga mangsa mengambil masa kerana keadaan mayat yang hancur, reput dan terpisah. Pasukan forensik Ceara terpaksa menggunakan ujian DNA, rekod perubatan serta pemeriksaan fizikal terhadap rangka dan cebisan tubuh untuk pengesahan. Rakaman video pembunuhan turut menjadi bukti penting dalam siasatan meskipun penyebarannya tanpa kebenaran menambah trauma kepada keluarga mangsa.

     Hasil siasatan membawa kepada beberapa siri tangkapan. Antara yang ditahan ialah Francisco Robson de Souza Gomes atau Mitol yang dipercayai mengarahkan pembunuhan tersebut. Beberapa anggota lain kumpulan GDE turut didakwa atas kesalahan penculikan, penyeksaan, pembunuhan dan pelupusan mayat. Dalam perbicaraan, hakim menjatuhkan hukuman penjara yang sangat berat dengan sebahagiannya berjumlah ratusan tahun kerana keseriusan jenayah yang dilakukan. Keputusan ini dianggap antara hukuman paling berat pernah direkodkan di wilayah tersebut.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM NARA ALINE YANG DIKERAT HIDUP-HIDUP"