KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CHEN LIU

Pada penghujung tahun 2008, Australia dikejutkan dengan satu kes pembunuhan yang bukan sahaja kejam malah dianggap antara yang paling mengerikan pernah direkodkan di negara itu. Kes tersebut melibatkan seorang lelaki warga China bernama Chen Liu atau dikenali sebagai Anthony Liu yang ditemui mati dalam keadaan tragis di Georges River, selatan Sydney.
Pada 1 November 2008, dua orang kanak-kanak yang sedang berkayak di sungai tersebut telah menemui satu objek mencurigakan terapung di air. Apabila diperiksa, mereka mendapati ia merupakan mayat seorang lelaki. Tubuh mangsa ditemui terbungkus kemas dengan karpet dan plastik, diikat menggunakan kabel elektrik dan wayar seolah-olah sengaja disembunyikan. Keadaan mayat yang sudah mula mereput menunjukkan bahawa mangsa telah meninggal dunia kira-kira 10 hingga 14 hari sebelum ditemui.
Pihak polis New South Wales segera menjalankan siasatan dan membawa mayat tersebut untuk pemeriksaan forensik. Pada peringkat awal, kes ini sudah pun disyaki sebagai pembunuhan terancang memandangkan usaha jelas dilakukan untuk menutup dan membuang mayat mangsa. Namun apa yang ditemui semasa proses bedah siasat jauh lebih mengejutkan dan mengerikan daripada jangkaan awal penyiasat. Hasil pemeriksaan sinar-X mendedahkan bahawa puluhan batang paku besi tertanam di bahagian kepala dan leher mangsa. Anggaran jumlah paku berbeza mengikut laporan media namun pihak polis mengesahkan terdapat antara 27 hingga 34 batang paku yang menembusi tengkorak Chen Liu. Paku-paku tersebut bukan dipukul secara manual tetapi sebaliknya ditembak menggunakan pistol paku bertekanan tinggi yakni sejenis alat industri yang biasa digunakan di tapak pembinaan.

Menurut pakar forensik, pistol paku mampu melontarkan paku dengan kelajuan dan daya yang cukup kuat untuk menembusi tulang manusia. Paku-paku yang ditemui di dalam kepala Chen Liu berukuran panjang dan dipercayai ditembak dari jarak dekat sekali gus menunjukkan niat jelas untuk membunuh. Pihak polis menyifatkan pembunuhan ini sebagai sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Malah seorang pegawai kanan unit pembunuhan menyatakan bahawa sepanjang lebih 30 tahun perkhidmatannya, dia tidak pernah melihat kes seumpama ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Chen Anthony Liu, 27 tahun, seorang warga China yang datang ke Australia sebagai pelajar pada awal tahun 2000-an. Dia pernah menetap di Melbourne sebelum berpindah ke Sydney. Rekod polis menunjukkan Chen Liu tidak mempunyai sejarah jenayah dan tiada bukti kukuh bahawa beliau terlibat dengan sindiket jenayah atau aktiviti haram. Kehidupan peribadinya juga agak tertutup dan maklumat mengenai hubungan sosialnya di Australia amat terhad.
Siasatan polis mendapati bahawa Chen Liu memiliki sebuah kenderaan mewah iaitu Range Rover yang turut menjadi sebahagian daripada siasatan. Pihak polis merayu orang awam agar tampil memberikan maklumat jika ada yang melihat mangsa kali terakhir, mengetahui pergerakannya sebelum menghilang atau melihat kenderaan tersebut dalam tempoh berkenaan. Walau bagaimanapun, tiada saksi utama yang berjaya dikenal pasti dan senjata pembunuhan tidak pernah ditemui. Motif pembunuhan terus menjadi persoalan besar. Polis tidak mendedahkan sebarang teori rasmi kepada umum dan tiada suspek dinamakan secara terbuka. Kekejaman cara pembunuhan menimbulkan spekulasi bahawa ia mungkin melibatkan dendam peribadi, urusan kewangan, atau konflik yang tidak diketahui. Namun sehingga kini, tiada bukti konkrit yang menyokong mana-mana teori tersebut.

Pada tahun 2009, pihak polis mengambil langkah luar biasa dengan mendedahkan imej X-ray tengkorak Chen Liu kepada umum. Langkah ini diambil bagi mendapatkan maklumat baharu daripada orang awam. Imej tersebut menunjukkan dengan jelas paku-paku besi tertanam di kepala mangsa. Pendedahan tersebut bagaimanapun tetap gagal membawa kepada penangkapan suspek.
Sehingga kini, lebih sedekad selepas kejadian, kes pembunuhan Chen Liu masih belum diselesaikan. Tiada tangkapan dibuat, tiada individu didakwa dan tiada kenyataan rasmi menyatakan kes ini telah ditutup. Ia kekal sebagai salah satu kes pembunuhan paling kejam dan misteri dalam sejarah Australia.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CHEN LIU"