ADAKAH KURT COBAIN DIBUNUH?

     AMERIKA SYARIKAT - Terkini, timbul dakwaan kontroversi mengenai kematian vokalis kumpulan Nirvana iaitu Kurt Cobain yang ditemui meninggal dunia pada 8 April 1994 di kediamannya di Seattle, Amerika Syarikat. Pada masa itu, pihak berkuasa menyimpulkan kematian Cobain sebagai bunuh diri berdasarkan keputusan pemeriksa perubatan King County dan laporan polis. Dia dilaporkan maut akibat tembakan senapang sendiri selepas mengambil dos heroin yang mematikan. Nota yang dipercayai sebagai nota bunuh diri turut ditemui berhampiran mayatnya.

     Namun pada November 2025, sebuah artikel saintifik dalam International Journal of Forensic Sciences yang ditulis bersama oleh Bryan R. Burnett dan beberapa penyelidik lain menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan kematian Cobain tidak berlaku seperti versi rasmi. Laporan tersebut menumpukan kepada analisis forensik secara menyeluruh termasuk pemeriksaan corak darah, analisis sisa letupan senjata api serta pengesahan imej dokumen bukti yang diambil di tempat kejadian.

     Dalam kenyataannya kepada media, Burnett, seorang pakar forensik veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam analisis sisa peluru, corak darah serta rekonstruksi tempat kejadian menegaskan bahawa beberapa elemen dalam kes Cobain tidak konsisten dengan apa yang sepatutnya ditemui dalam kes bunuh diri biasa.  Antara dakwaan utamanya termasuk corak darah pada pakaian Cobain yang menurutnya hanya mungkin wujud jika tubuhnya dipindahkan selepas tembakan serta kekurangan bukti corak darah yang normal di tempat kejadian yang sepatutnya mencerminkan tindakan sendiri. Burnett juga menyatakan bahawa terdapat kelemahan dalam dokumentasi foto asal yang diambil oleh pihak polis pada masa kejadian. Menurutnya, banyak gambar terlalu gelap dan tidak dianalisis oleh pakar corak darah semasa siasatan awal

     Burnett dan pasukannya turut membandingkan kes Cobain dengan kes lain termasuk kematian Kolonel Marin A.S. James Sabow pada 1991 yang turut diragui sebagai bunuh diri. Menurut Burnett, kedua-dua kes ini mempunyai persamaan dari segi manipulasi tempat kejadian bagi membentuk naratif kematian sendiri. Berdasarkan pemerhatian ini, Burnett mencadangkan penilaian semula terhadap kes Cobain termasuk permintaan kepada pihak berkuasa Seattle untuk mengubah klasifikasi rasmi kematian daripada bunuh diri kepada tidak ditentukan dan membuka semula siasatan secara formal.

     Sementara itu, sebahagian peminat dan penyelidik bebas telah lama menghasilkan teori alternatif sejak dekad 1990-an termasuk buku Who Killed Kurt Cobain? yang diterbitkan pada 1998 yang meneroka kemungkinan kematian Cobain bukan bunuh diri serta buku Love and Death yang turut menimbulkan kontroversi tentang kemungkinan Cobain dibunuh.

     Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Seattle dan penyiasat rasmi masih mengekalkan laporan asal bahawa Cobain telah membunuh dirinya sendiri. Laporan terbaru polis menyatakan bahawa tiada perkembangan baru yang mengubah kesimpulan itu walaupun terdapat foto lama yang baru dibangkitkan dan dikembangkan daripada arkib siasatan asal. Pegawai polis menegaskan bahawa foto-foto tambahan ini tidak memberikan petunjuk baru yang jelas mengenai sebab kematian dan kes tersebut tidak dibuka semula sebagai siasatan jenayah pembunuhan.

Catat Ulasan for "ADAKAH KURT COBAIN DIBUNUH? "