Kisah Benar Rampasan Wang Terbesar dalam Sejarah Polis Miami-Dade

Luis Hernandez-Gonzalez

     Pada 29 Jun 2016, satu kejadian yang jarang berlaku dalam sejarah penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat telah berlaku di sebuah rumah biasa di Miami Lakes, Florida. Kejadian tersebut melibatkan Chris Casiano, seorang pegawai kanan Polis Daerah Miami-Dade yang mengetuai sebuah pasukan khas dalam operasi membanteras sindiket pengedaran dadah. 

     Chris Casiano, seorang pegawai polis berpengalaman bersama pasukannya telah menjalankan siasatan berkaitan aktiviti pengedaran ganja berskala besar selama beberapa tahun. Siasatan tersebut mensasarkan seorang lelaki bernama Luis Hernandez-Gonzalez iaitu pemilik sebuah kedai bekalan berkebun yang dipercayai berfungsi sebagai penyamaran kepada operasi pengedaran dadah yang lebih besar.

      Kerjasama antara agensi persekutuan dengan polis tempatan termasuk penggunaan rakaman perbualan sulit, sumber risikan serta pemantauan rangkaian sindiket akhirnya membawa kepada keputusan untuk menjalankan penggeledahan ke atas rumah milik Hernandez-Gonzalez di kawasan 169th Terrace.

     Rumah yang kelihatan seperti sebuah kediaman biasa di kawasan perumahan itu sebenarnya menyembunyikan sebuah ruang rahsia di bahagian loteng, tersembunyi di sebalik dinding palsu. Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang anggota pasukan ternampak sebatang penyodok taman yang disambungkan dengan seutas kabel kecil ke dinding. Apabila penyodok tersebut dialihkan, dinding palsu terbuka sekali gus mendedahkan sebuah bilik rahsia yang mengandungi 24 bekas plastik besar berwarna jingga. Di dalam setiap bekas tersebut terdapat ikatan wang tunai kertas seratus dolar Amerika. Jumlah keseluruhannya dianggarkan sekitar USD 24 juta (lebih RM100 juta). Penemuan ini disahkan sebagai jumlah terbesar yang pernah dirampas oleh pasukan narkotik Miami-Dade pada ketika itu.

     Selepas penemuan tersebut, pasukan polis berdepan satu lagi cabaran besar. Mengikut prosedur ketat jabatan, setiap wang tunai yang dirampas mesti dikira di lokasi kejadian secara manual dan sekurang-kurangnya dua kali sebelum dibenarkan dipindahkan. Proses ini mengambil masa lebih 40 jam, memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi kerana setiap ikatan wang perlu diperiksa serta direkodkan dengan teliti. Sepanjang tempoh itu, Casiano dan pasukannya terpaksa kekal di dalam rumah tersebut. 


     Tambahan pula, semua pergerakan mereka dirakam oleh kamera keselamatan rumah berkenaan sekali gus meningkatkan tekanan dan kebimbangan bahawa ada pihak lain yang mungkin memerhati keadaan tersebut. Selain wang tunai, pasukan polis turut menemui beberapa balang ganja, beberapa jenis bahan steroid terlarang serta senjata api separa automatik yang dimuatkan peluru. 

     Pemilik rumah, Luis Hernandez-Gonzalez pada peringkat awal telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan berkongsi maklumat mengenai pelanggan kedainya yang disyaki terlibat dalam penanaman ganja secara haram. Namun hasil siasatan lanjut, analisis rakaman perbualan sulit dan bukti kewangan mendedahkan corak pemindahan wang yang mencurigakan yang bertujuan mengelakkan pengesanan pihak berkuasa. Akhirnya, Hernandez-Gonzalez didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan berkaitan pengedaran dadah. Pada tahun 2018, dia dijatuhi hukuman penjara selama 65 bulan oleh mahkamah persekutuan atas kesalahan tersebut.

     Kisah ini menarik perhatian pengarah filem Joe Carnahan yang kemudian menjadikannya inspirasi kepada filem The Rip. Filem jenayah aksi ini ditayangkan oleh Netflix pada tahun 2026 dengan dibintangi oleh Matt Damon serta Ben Affleck. Walaupun berasaskan kejadian sebenar, sebahagian besar jalan ceritanya telah diolah, unsur seperti konspirasi dalaman dan konflik melampau tidak berlaku dalam kes sebenar.

     Selain kejayaan profesionalnya, kehidupan peribadi Chris Casiano turut diuji dengan tragedi. Pada tahun 2021, dia ehilangan anak lelakinya yang bernama Jake William Casiano yang meninggal dunia akibat penyakit kanser pada usia 11 tahun. Kehilangan ini memberi kesan emosi yang mendalam dan turut mempengaruhi naratif filem yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya. Tonton trailer filem The RIP di bawah:



Catat Ulasan for "Kisah Benar Rampasan Wang Terbesar dalam Sejarah Polis Miami-Dade"