Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

AMBIL KANAK-KANAK PEREMPUAN 10 TAHUN JADI ORANG GAJI, PASANGAN SUAMI ISTERI INI DIBELASAH

    INDIA – Seorang juruterbang wanita dan suaminya telah dibelasah oleh orang ramai selepas pasangan tersebut diketahui mengambil seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menjadi orang gaji di rumah mereka. Identiti pasangan suami isteri itu dikenal pasti sebagai Kaushik Bagchi (36 tahun) dan Poornima Bagchi (33 tahun) 

    Menerusi video yang menjadi tular di laman media sosial, Kaushik dan Poornima merayu supaya mereka tidak diapa-apakan. Poornima yang memakai uniform juruterbang telah ditarik rambutnya dan turut dibelasah oleh beberapa orang wanita. Dalam video itu, Poornima cuba meminta maaf akan tetapi permohonan maafnya langsung tidak dihiraukan sama sekali. Pada masa sama, Kaushik yang juga merupakan seorang pekerja untuk sebuah syarikat penerbangan dilihat cuba untuk mempertahankan isterinya. Jerit Kaushik “Isteri saya akan mati, tolong tinggalkan dia.”.

    Difahamkan Kaushik dan Poornima telah mengupah kanak-kanak perempuan di bawah umur tersebut bekerja dengan mereka sejak dua bulan yang lalu. Kanak-kanak perempuan itu mula diketahui menjadi mangsa penderaan selepas kecederaan yang ada pada tubuh badannya disedari oleh seorang saudaranya yang kemudian terus membuat laporan polis berkenaan dengan perkara tersebut. Kisah penderaan kanak-kanak perempuan itu seterusnya tersebar dengan pantas sekaligus menyebabkan sekumpulan perusuh bertindak untuk berkumpul di depan rumah pelaku.

    Berdasarkan kenyataan rasmi daripada pihak polis, kanak-kanak perempuan tersebut disahkan telah didera akan tetapi tiada sebarang penderaan yang berunsurkan seksual. Buat masa sekarang, kanak-kanak perempuan itu dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan pemeriksaan perubatan kerana mengalami beberapa kecederaan pada bahagian mata dan tubuh badan. Sementara itu, pasangan terbabit yang telah pun ditangkap akan dikenakan pertuduhan berkaitan.

Catat Ulasan for "AMBIL KANAK-KANAK PEREMPUAN 10 TAHUN JADI ORANG GAJI, PASANGAN SUAMI ISTERI INI DIBELASAH "