Kisah Yamamoto Rirai: Kanak-Kanak yang Disimen Dalam Kotak Logam Selama Dua Dekad

Kes yang berlaku di Jepun ini terbongkar secara tidak sengaja apabila pengurus sebuah pangsapuri bertindak memeriksa sebuah unit kediaman yang ditinggalkan susulan kegagalan penyewa melunaskan bayaran sewa. Apa yang pada mulanya disangka sebagai sisa binaan terpakai di dalam dapur rupa-rupanya menyimpan rahsia hitam yang telah terkambus selama hampir dua dekad.
Kejadian bermula pada akhir Februari 2025 di sebuah kawasan perumahan di Bandar Yao, Osaka. Pihak pengurusan bangunan bersama pemilik kediaman mendapati unit terbabit berada dalam keadaan kosong tanpa sebarang sampah. Namun perhatian mereka kemudian terarah kepada sebuah kotak pakaian logam berukuran besar yang diletakkan di ruang dapur. Kotak tersebut didapati sangat berat, mustahil untuk dialihkan dan pada bahagian tepinya kelihatan lelehan bahan binaan berwarna kelabu keputihan. Curiga dengan kotak itu, pihak berkuasa segera dihubungi untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Hasil imbasan sinar-X dan siasatan forensik mendedahkan kebenaran yang mengejutkan. Di dalam blok konkrit seberat ratusan kilogram itu, terdapat rangka seorang kanak-kanak perempuan berada di bawah timbunan simen. Bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan bahawa mangsa ialah Yamamoto Rirai iaitu seorang kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak tahun 2006. Siasatan mendapati Rirai meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dalaman badan setelah menjadi mangsa dera.

Susulan penemuan itu, polis menahan bekas penyewa kediaman tersebut iaitu Fan Senxian yang juga merupakan bapa saudara mangsa. Berdasarkan pengakuan suspek dan keterangan kes, kejadian bermula pada penghujung tahun 2006 apabila Rirai yang ketika itu berusia sekitar enam tahun dituduh mencuri makanan persembahan di altar rumah. Akibat kemarahan yang memuncak selepas mangsa didakwa menipu ketika disoal, Fan telah memukul kanak-kanak malang itu dengan teruk hingga mangsa tidak sedarkan diri dan akhirnya meninggal dunia keesokan paginya.
Panik dengan kejadian tersebut, suspek mendapatkan bantuan bapanya yang kemudian menyarankan agar mayat mangsa disembunyikan menggunakan konkrit. Mereka memasukkan mayat mangsa ke dalam kotak logam, menuangkan bancuhan simen untuk menutupnya dengan rapat dan memindahkan kotak berat itu setiap kali mereka berpindah rumah selama hampir 20 tahun. Lebih mengejutkan yakni di sebalik pembunuhan kejam itu, Fan terus menipu ibu kandung mangsa dengan mendakwa Rirai masih sihat. Dia bahkan anggup mengambil wang nafkah daripada wanita tersebut selama belasan tahun sambil menghalang sebarang bentuk pertemuan antara ibu dan anak.

Pada Mac 2026, Mahkamah Daerah Osaka menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Fan Senxian atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan menyebabkan kematian melalui penderaan. Walau bagaimanapun, keputusan perbicaraan ini mencetuskan kontroversi kerana hukuman tersebut dianggap terlalu ringan berbanding tempoh masa jenayah disembunyikan serta penderitaan dialami mangsa. Sementara itu, bapa suspek terlepas daripada sebarang pertuduhan rasmi kerana faktor usia yang lanjut serta masalah kesihatan fizikal yang uzur.
Catat Ulasan for "Kisah Yamamoto Rirai: Kanak-Kanak yang Disimen Dalam Kotak Logam Selama Dua Dekad"