Kisah Pembunuhan Kejam Chan Man-yee

Panggilan tersebut mencetuskan keresahan dalam kalangan keluarga. Walaupun Man-yee sudah empat hari tidak kelihatan di rumah, ahli keluarga pada awalnya tidak mengesyaki sebarang keanehan memandangkan jadual kerjanya sebagai anak kapal sememangnya tidak menentu dan kerap berada di luar negara. Selepas menyemak sistem dalaman syarikat penerbangan dan mengesahkan bahawa kakaknya sememangnya tidak hadir bertugas, Man-ching mula menggeledah bilik tidur yang dikongsi bersama kakaknya untuk mencari jawapan.
Sewaktu memeriksa katil dwitingkat milik Man-yee, Man-ching terkejut apabila menemui baju seragam rasmi, kasut tumit tinggi serta beg tangan kegunaan harian kakaknya tersusun rapi di atas katil di bawah selimut. Penemuan ini menimbulkan tanda tanya besar kerana sekiranya Man-yee keluar bertugas, pakaian dan peralatan rasmi tersebut pasti dipakai bersama. Beg bagasi hitam yang selalunya digunakan untuk penerbangan pula didapati hilang dari bilik.

Bapa mangsa yang berasa curiga bertindak menyelongkar almari pakaian utama di dalam bilik tersebut. Sebaik sahaja pintu almari ditarik, bau ubat gegat yang amat kuat bercampur dengan aroma samar pereputan terus memenuhi ruang udara. Di sebalik himpunan pakaian tebal yang tergantung, sang bapa terperanjat melihat sepasang kaki terangkat ke atas. Man-yee ditemui dalam keadaan tersumbat secara terbalik dengan kepala di bawah dan kaki berlipat di bahagian atas. Mangsa masih berpakaian seragam pramugari namun skirtnya terangkat dan badannya sudah kaku serta bertukar warna kebiruan.
Pasukan polis dan forensik yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk pada pintu atau tingkap rumah. Barangan berharga milik keluarga tidak diselongkar dan tiada tanda-tanda rompakan. Hanya telefon bimbit serta satu kad bank peribadi milik Man-yee yang hilang dari tempat kejadian. Kad bank tersebut bagaimanapun tidak mencatatkan sebarang transaksi selepas tarikh kejadian sekali gus menolak motif samun dan mengarahkan siasatan polis kepada individu yang mengenali mangsa secara peribadi.
Ujian patologi mengesahkan bahawa Man-yee maut akibat sekatan pernafasan (asfiksia) akibat lehernya dijerut dengan berdaya kuat. Terdapat juga kesan lebam dan calar pada tangan serta kepalanya, membuktikan mangsa telah cuba bergelut bermati-matian sebelum dihabisi. Pihak forensik menganggarkan tarikh kematian mangsa berlaku pada petang 4 Disember 2013 yakni genap empat hari sebelum tubuhnya ditemui. Suhu musim dingin di Hong Kong pada bulan Disember selain ditambah dengan timbunan pakaian tebal dan ubat gegat di dalam almari telah memperlahankan proses pereputan dan menyerap bau hingga menyebabkan adiknya yang tidur di bilik yang sama selama empat hari tidak menyedari kewujudan mayat tersebut.
Siasatan polis terhadap peribadi mangsa akhirnya membawa kepada penemuan motif pembunuhan yang berpunca daripada hubungan peribadi yang toksik. Man-yee merupakan seorang graduan cemerlang dari Universiti Cina Hong Kong (CUHK). Pada November 2012, dia mengenali pelaku, Mok Chun-yin (Oscar Mok) di sebuah kelab malam di Lan Kwai Fong. Chun-yin tidak mempunyai pekerjaan tetap, bertabiat pemalas, panas baran dan mempunyai ketagihan judi bola sepak yang serius hingga menanggung hutang yang banyak.

Sepanjang hubungan mereka, Chun-yin sering menjadikan Man-yee sebagai tempat mendapatkan wang bagi membayarkan hutang judinya. Tekanan kewangan dan sifat cemburu buta Chun-yin akhirnya mencetuskan pertengkaran fizikal pada September 2013 di sebuah hotel di Tuen Mun di mana Chun-yin telah mencekik leher Man-yee dan mengancam akan mencederakan keluarganya jika dia diputuskan. Insiden itu dilaporkan kepada polis dan Chun-yin dikenakan perintah berkelakuan baik oleh mahkamah. Man-yee yang serik bertindak menyekat semua saluran komunikasi dengan Chun-yin lalu cuba memulakan hidup baharu.
Pada November 2013, Man-yee mula mengenali seorang lelaki baharu. Namun Chun-yin yang obesif dan tidak terima hakikat dicintai orang lain telah menggunakan akaun media sosial palsu untuk mengintip perkembangan Man-yee. Setelah mendapat tahu Man-yee mempunyai kekasih baharu dan bakal terbang pada petang 4 Disember 2013, Chun-yin merancang untuk menyerang mangsa di rumahnya sewaktu ahli keluarga yang lain keluar bekerja.
Pada petang 4 Disember 2013, kira-kira jam 1:50 petang, rakaman CCTV menunjukkan Chun-yin berlegar-legar di koridor luar rumah mangsa selama 40 minit. Apabila Man-yee membuka pintu rumah pada jam 2:30 petang untuk ke lapangan terbang, Chun-yin terus menerpa dan menolaknya kembali ke dalam rumah sebelum mengunci pintu.
Di dalam rumah, Chun-yin merayu untuk berbaik semula. Apabila Man-yee bertegas menolak dan mengesahkan dia sudah mempunyai teman lelaki baru, Chun-yin memaksanya menyelewengkan keadaan dengan membuat panggilan telefon ke syarikat penerbangan untuk mengambil cuti kecemasan. Panggilan itu dilakukan Man-yee dalam keadaan terancam di mana rakan sekerja kemudian mengesahkan suara Man-yee ketika itu terketar-ketar tidak seperti biasa.

Selepas panggilan selesai, Chun-yin yang berang telah menyambar selendang di leher Man-yee dan menjerutnya sehingga tidak bernyawa. Selepas membunuh, Chun-yin secara dingin menyusun pakaian seragam dan beg mangsa di atas katil, memadamkan sejarah mesej di telefon mangsa, membalut dan menimbun tubuh mangsa di dalam almari pakaian bersama ubat gegat serta mencuri telefon dan kad bank mangsa. Dia menjual telefon bimbit tersebut di pasar gelap dengan harga HKD $1200 sebelum melarikan diri.
Chun-yin sempat menghadiri latihan bola sepak pada 5 Disember dan mendakwa calar di lehernya adalah hasil pergelutan mesra dengan teman wanita. Pada 6 Disember, dia mengaku kepada rakan rapatnya bahawa dia telah membunuh Man-yee dengan prinsip: "Benda yang aku tak dapat, aku takkan biarkan orang lain dapat."
Pada malam 7 Disember, Chun-yin menceroboh rumah ibu bapanya, mencuri wang tunai HKD $120 000 dan melarikan diri merentasi sempadan ke Shenzhen, China. Sepanjang pelarian selama tiga tahun di China, dia hidup bebas, kerap mengunjungi kelab malam dan menjalin hubungan dengan seorang wanita tempatan hingga melahirkan seorang anak lelaki pada tahun 2015.
Walau bagaimanapun, sikap pemalas dan ketagihan judinya tidak berubah. Bapa kepada teman wanita baharunya yang curiga dengan latar belakang Chun-yin telah membuat carian kendiri sebelum menemui poster ganjaran HKD $300 000 serta waran tangkap Polis Hong Kong terhadap Chun-yin. Tanpa berlengah, bakal bapa mentuanya itu membuat laporan polis secara anonim. Pada 29 Oktober 2016, pihak berkuasa Shenzhen menangkap Chun-yin di sebuah salon rambut dan dia diestradisi semula ke Hong Kong pada Mac 2017.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Hong Kong pada tahun 2018, Chun-yin cuba mereka cerita kononnya dia membunuh tanpa niat akibat terprovokasi dan mendakwa telah memberikan bantuan pernafasan (CPR) tetapi hujah tersebut ditolak sepenuhnya oleh pakar forensik kerana tiada sebarang kesan tekanan dada pada mayat mangsa.
Pada 11 Mei 2018, pihak juri secara sebulat suara mendapati Mok Chun-yin bersalah atas pertuduhan membunuh dan mencuri dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Rayuan yang dikemukakan oleh pelaku pada tahun 2020 turut ditolak sebulat suara oleh Mahkamah Rayuan.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Chan Man-yee"