Kisah Lindsay Clancy: Jenayah Terancang atau Masalah Mental

Kes menyayat hati ini berlaku di Duxbury, Massachusetts, Amerika Syarikat. Sebelum kejadian ini berlaku, Lindsay Clancy (32 tahun) dikenali sebagai seorang wanita yang penyayang, berdedikasi dan berkerjaya murni sebagai jururawat pediatrik di Massachusetts General Hospital. Namun di sebalik kehidupan luaran yang kelihatan sempurna, Lindsay sebenarnya menanggung bebanan fizikal dan emosi yang melampau (severe burnout). Kehidupannya dikelilingi oleh rutin harian yang padat serta menekan yakni daripada urusan syif kerja di hospital yang mengendalikan pesakit kanak-kanak hinggalah ke tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan tiga orang anak kecil yang berusia rapat iaitu Cora (5 tahun), Dawson (3 tahun) dan Callan (8 bulan).
Tekanan urusan domestik, kekurangan tidur kronik akibat menjaga bayi serta sikapnya yang bercita-cita tinggi untuk menjadi ibu yang sempurna telah mencetuskan depresi dan gangguan pascabersalin (postpartum depression) yang berat. Lindsay menyedari keadaan emosinya semakin merosot dan pernah bertindak secara proaktif memohon bantuan perubatan. Dalam tempoh empat bulan sebelum kejadian, dia dipreskripsikan dengan sekurang-kurangnya 12 jenis ubat psikiatrik berbeza termasuk Zoloft, Prozac, Klonopin, Ativan, Seroquel dan Ambien. Malah beberapa minggu sebelum kejadian, Lindsay pernah mendaftar masuk secara sukarela ke fasiliti psikiatrik McLean Hospital kerana berasa fikiran dan mentalnya tidak lagi stabil sebelum dibenarkan keluar lima hari kemudian.

Gabungan kecelaruan emosi, kepenatan melampau serta perubahan dos dan tindak balas pelbagai ubat keras tersebut akhirnya mencetuskan psikosis pascabersalin (postpartum psychosis). Keadaan ini menyebabkan otak Lindsay terputus hubungan daripada realiti dan dilanda halusinasi pendengaran serta fikiran pembunuhan yang tidak pernah dimilikinya sebelum ini.
Kemuncak kejadian berlaku pada malam 24 Januari 2023. Dalam keadaan fikiran yang celaru, Lindsay meminta suaminya, Patrick Clancy keluar mengambil pesanan makanan malam dan membeli ubat di farmasi. Sebaik sahaja suaminya keluar, dia menyediakan ruang masa sekitar 25 minit tanpa gangguan. Lindsay membawa ketiga-tiga anaknya ke ruang bawah tanah rumah mereka. Di situ, dia mejerut leher Cora, Dawson, dan Callan menggunakan tali senaman elastik. Selepas melakukan tindakan tersebut, Lindsay cuba membunuh diri dengan mengelar leher dan pergelangan tangannya menggunakan pisau dapur sebelum terjun dari tingkap bilik tidur di tingkat dua rumah mereka.
Sekembalinya Patrick ke rumah, dia mendapati kediaman mereka sunyi sepi sebelum menemui isterinya terbaring berdarah di halaman luar. Apabila ditanya mengenai anak-anak mereka, Lindsay yang lemah hanya menjawab bahawa mereka berada di ruang bawah tanah. Patrick bergegas ke bawah dan menemui ketiga-tiga anaknya tidak sedarkan diri dalam keadaan yang amat memilukan. Cora dan Dawson disahkan meninggal dunia pada malam yang sama di hospital manakala bayi bongsu mereka, Callan menghembuskan nafas terakhir tiga hari kemudian akibat kecederaan otak yang teruk. Percubaan membunuh diri itu pula menyebabkan Lindsay mengalami kecederaan tulang belakang yang parah dan lumpuh kekal dari bahagian pinggang ke bawah.

Selepas kejadian itu, Lindsay dihadapkan dengan pertuduhan pembunuhan peringkat pertama, pencekikan dan serangan berperingkat. Pihak pendakwaan berhujah bahawa tindakannya adalah satu perbuatan jenayah terancang kerana dia sempat menyemak masa perjalanan suaminya di aplikasi telefon sebelum bertindak. Pihak peguam bela sebaliknya mendakwa Lindsay tidak boleh dipertanggungjawabkan secara jenayah kerana tindakannya dipacu sepenuhnya oleh gangguan psikosis pascabersalin dan kesan sampingan ubat-ubatan psikiatrik yang memusnahkan pertimbangan akal warasnya.
Hingga setakat Ogos 2026, perbicaraan kes ini sedang berlangsung secara rasmi di Mahkamah Tinggi Plymouth, Massachusetts. Lindsay yang kini berusia 35 tahun hadir di mahkamah menggunakan kerusi roda akibat kelumpuhan kekal. Prosiding mahkamah menyaksikan pelbagai keterangan emosi termasuk daripada Patrick Clancy yang telah memaafkan bekas isterinya kerana percaya Lindsay berada di bawah kawalan penyakit mental. Juri turut dibawa melawat lokasi kejadian di kediaman Duxbury manakala isi diari peribadi Lindsay dibacakan di mahkamah memperlihatkan penderitaan batin, insomnia kronik dan rayuan berterusan dirinya yang merayu untuk sembuh sebelum kejadian berlaku.

Kes ini kini menanti pertimbangan akhir juri sama ada Lindsay akan disabitkan kesalahan dengan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol atau didapati tidak bersalah atas sebab ketidakupayaan tanggungjawab jenayah (not guilty by reason of lack of criminal responsibility) yang bakal menempatkannya di fasiliti kesihatan mental negeri untuk tempoh jangka panjang.
Catat Ulasan for "Kisah Lindsay Clancy: Jenayah Terancang atau Masalah Mental"