Kisah Kematian Guadalupe Medina Pichardo yang Benar-Benar Menyedihkan

      Pada tanggal 18 Mac 2017 bertempat di bandar Nezahualcoyotl, Mexico, mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dianggarkan berusia antara tiga hingga lima tahun ditemui yakni dibuang di kawasan semak tanpa sebarang dokumen pengenalan diri. Memakai baju sejuk hijau, dan stoking berwarna merah, kanak-kanak ini dikenali oleh seluruh Mexico melalui carian media sebagai La nina de las calcetitas rojas (Kanak-kanak perempuan berstoking merah). 

     Akar kisah tragis ini bermula daripada kehidupan ibu mangsa, Yadira Medina Pichardo yang dilahirkan pada tahun 1989 di Ciudad de Mexico. Yadira membesar dalam persekitaran keluarga yang sangat kucar-kacir. Ibunya sering mencetuskan perbalahan rumah tangga akibat sifat cemburu buta terhadap suaminya, seorang pekerja kilang pakaian. Ketegangan yang berterusan menyebabkan bapanya bertindak meninggalkan rumah. Selepas peninggalan bapanya, ibu Yadira melepaskan rasa marah dan kekecewaan fizikal kepada Yadira kerana raut wajahnya yang sangat mirip dengan bapanya.

    Persekitaran yang penuh dengan keganasan domestik ini merosakkan perkembangan jiwa Yadira. Pada usia seawal tujuh tahun, dia pernah membawa minuman beralkohol ke sekolah dan bertindak kasar terhadap gurunya hingga diberhentikan sekolah. Yadira melarikan diri dari rumah pada usia lapan tahun untuk tinggal bersama bapanya. Walau bagaimanapun bapanya meninggal dunia beberapa bulan kemudian akibat komplikasi kencing manis. Sekembalinya ke rumah ibunya, penderaan fizikal terhadapnya bertambah parah. Pada usia 12 tahun, Yadira turut menjadi mangsa gangguan seksual oleh bapa saudaranya sendiri tetapi aduannya ditolak dan dia dipukul dengan teruk oleh ibunya sendiri menggunakan hos elektrik.

    Pengabaian yang melampau ini mendorong Yadira memilih kehidupan jalanan di perhentian pengangkutan awam Pantitlan. Di sana, dia terjebak dengan kumpulan geng jalanan, kecurian dan ketagihan dadah. Melalui pelbagai hubungan sementara di jalanan, Yadira melahirkan empat orang anak iaitu Belen (lahir 2004), Angel (2009), Karem (2011) dan akhirnya Guadalupe Medina Pichardo yang dilahirkan pada 16 Januari 2013 di Colonia Agua Azul, Nezahualcoyotl. Kesemua anaknya itu tidak pernah menerima jagaan ibu yang sempurna dan kerap diserahkan kepada saudara-mara atau jiran.


     Kelahiran Guadalupe pada awal tahun 2013 tidak pernah didaftarkan secara rasmi di pejabat pendaftaran awam oleh Yadira. Dia melahirkan bayi itu dengan bantuan bidan kerana pada asalnya berniat untuk menyerahkan bayi tersebut kepada sebuah keluarga dari Amerika Syarikat. Pembatalan hasrat itu menyebabkan Guadalupe membesar sebagai individu yang tidak wujud dari sudut undang-undang dan perkhidmatan kerajaan. Dalam kalangan keluarga dan jiran, dia hanya dipanggil dengan nama timbangan Lupita.

      Pada April 2013, apabila Guadalupe baru berusia tiga bulan, Yadira telah ditangkap dan dipenjarakan selama dua tahun empat bulan atas kesalahan mencuri lampin bayi. Bayi berkenaan diserahkan kepada neneknya dan ibu saudaranya, Evelyn. Namun akibat masalah ketagihan dadah, Evelyn telah menjual Guadalupe yang berusia 11 bulan kepada seorang pemungut sampah bernama Gonzalo dengan harga sekitar 12 dolar AS. Guadalupe membesar beberapa bulan di kawasan pelupusan sampah sebelum dibebaskan dan diambil semula oleh Yadira pada penghujung tahun 2015. Kehidupan Guadalupe selepas itu terus bertukar-tukar jagaan antara beberapa orang jiran termasuk seorang wanita bernama Laura dan seorang lelaki bernama Lalo sebelum diambil kembali oleh Yadira pada awal tahun 2017.

     Pada awal tahun 2017, Yadira mula tinggal bersama seorang lelaki tempatan yang mempunyai rekod jenayah dan ketagihan alkohol, Pablo Rodriguez Escamilla. Dalam persekitaran bilik sewa mereka, Guadalupe kerap menjadi sasaran penderaan fizikal. Kemuncak peristiwa berdarah ini berlaku pada malam 17 Mac 2017 apabila Guadalupe yang berusia empat tahun secara tidak sengaja terkencing di atas katil sewaktu tidur. Kejadian kecil itu memarakkan kemarahan Yadira yang bertindak memukul anak kecil tersebut. Tangisan Guadalupe mengejutkan Pablo yang berada di bawah pengaruh alkohol. Pablo bertindak lebih agresif dengan mendera fizikal dan merogol mangsa. Sementara itu, Yadira sekadar mendiamkan diri tanpa berusaha melindungi anaknya. Penderaan fizikal yang hebat itu menyebabkan kepala Guadalupe terhentak keras ke lantai konkrit hingga mangsa terbaring tidak bernyawa.


     Bagi menyembunyikan jenayah mereka, Yadira dan Pablo membungkus mayat Guadalupe dengan sehelai selimut. Pada awal pagi 18 Mac 2017, mereka membawa dan membuang bungkusan mayat itu di kawasan semak dan tanah lapang berhampiran Avenida Bordo de Xochiaca, Colonia El Sol, Nezahualcoyotl. Penduduk tempatan menemui mayat tersebut beberapa jam kemudian. Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat trauma daya genap pada kepala (keretakan tengkorak) serta pendarahan dalaman yang teruk pada organ pankreas, hati dan buah pinggang.

    Disebabkan Guadalupe tidak pernah didaftarkan dan tiada sebarang laporan kehilangan anak dibuat oleh keluarganya, pihak polis menghadapi kesukaran besar untuk mengenal pasti identiti mangsa. Mayatnya akhirnya disemadikan pada 2 Mei 2017 di Parque Memorial de Naucalpan dengan nama sementara Angelita.

     Kes yang tidak terungkai ini menarik perhatian seorang aktivis hak asasi manusia dan wartawan terkenal Mexico, Veronica Villalvazo atau lebih dikenali dengan nama Frida Guerrera). Frida Guerrera enggan membiarkan kes ini ditutup tanpa keadilan. Dia berkerjasama dengan pakar forensik Rosa Alejandra Arce untuk menghasilkan lakaran semula wajah Guadalupe secara artistik berdasarkan deskripsi fizikal mayat lalu menyebarkannya secara meluas di media sosial dan portal berita utama.

    Usaha berterusan ini membuahkan hasil pada November 2017 apabila ibu saudara mangsa, Marina terpandang lakaran tersebut dan menghubungi Frida Guerrera. Selepas mengesahkan foto mayat dan selimut yang ditemui, Marina mengesahkan bahawa kanak-kanak itu ialah anak saudaranya, Guadalupe. Pihak aktivis segera menyerahkan maklumat ini kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Mexico untuk tindakan susulan.


     Pada 24 Disember 2017, pihak berkuasa berjaya menangkap Yadira Medina Pichardo dan Pablo Rodríguez Escamilla di kediaman mereka. Ujian DNA rasmi mengesahkan hubungan biologi Yadira dengan mangsa. Selain itu, Pablo turut dituduh atas kesalahan penderaan seksual terhadap anak sulung Yadira, Belen dan dijatuhi hukuman penjara 21 tahun bagi kesalahan berkenaan pada September 2018.

     Bagi kes pembunuhan Guadalupe, perbicaraan rasmi berlangsung di Mahkamah Nesa Bordo. Pada 4 September 2019, hakim mendapati kedua-dua tertuduh bersalah atas jenayah femicide. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 88 tahun ke atas Yadira Medina Pichardo dan Pablo Rodriguez Escamilla. Hakim turut memerintahkan pendaftaran rasmi nama Guadalupe Medina Pichardo dibuat secara anumerta dan mengarahkan bantuan biasiswa pendidikan disediakan kepada adik-beradik mangsa yang terselamat.


Catat Ulasan for "Kisah Kematian Guadalupe Medina Pichardo yang Benar-Benar Menyedihkan "