Kantoi Curang Dengan Pelajar Latihan Industri, Lelaki Bunuh Isteri dan Enam Anak

AMERIKA SYARIKAT— Seorang ibu kepada enam anak yang maut dalam kejadian pembunuhan dan bunuh diri di Michigan dipercayai meninggal dunia lebih awal berbanding anak-anaknya. Perkara itu dimaklumkan oleh pihak polis berdasarkan hasil siasatan awal dan keputusan bedah siasat.
Pasangan suami isteri, Kristopher Karolkiewicz (47 tahun) dan Amanda "Mandy" Karolkiewicz (39 tahun) ditemui maut bersama enam anak mereka yang berusia antara 5 hingga 15 tahun. Semua mangsa ditemui dengan kesan tembakan di bahagian kepala di bilik tidur berasingan di rumah mereka.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa si ibu dan enam anaknya ditembak mati manakala si bapa bertindak membunuh diri selepas kejadian tersebut. Selepas melakukan pembunuhan itu, si bapa turut membakar rumah mereka hingga menyebabkan beberapa haiwan peliharaan keluarga berkenaan turut mati.
Berdasarkan dokumen kematian, Amanda dipercayai meninggal dunia pada atau selepas 23 Julai manakala semua anak dan suaminya meninggal dunia pada 24 Julai. Pihak polis memaklumkan bahawa garis masa sebenar kejadian masih dalam siasatan namun laporan menunjukkan kesemua mangsa meninggal dunia serta-merta atau dalam tempoh beberapa saat selepas ditembak.
Untuk rekod, Amanda merupakan seorang guru ganti dan penulis buku kanak-kanak. Dia pernah menerbitkan sebuah buku khas yang didedikasikan buat enam orang anaknya, termasuk dua anak angkat.

Beberapa hantaran tular di platform Reddit mendakwa Amanda pernah berkongsi kisah duka rumah tangganya termasuk tuduhan bahawa suaminya mempunyai hubungan sulit dengan seorang pelajar latihan industri yang lebih muda. Menurut laporan yang mengesahkan ketulenan akaun tersebut, Amanda dipercayai menggunakan nama pengguna MandyK1179.
Dalam satu hantaran pada tahun 2024, Amanda menceritakan bagaimana dia bertemu suaminya yang lebih tua ketika dirinya sendiri menjalani latihan industri. Amanda mendakwa suaminya mengulangi perbuatan sama selepas 10 tahun berkahwin dan mempunyai lima orang anak. Dia turut berkongsi kesedihan dan penderitaan emosi yang dialaminya akibat perbuatan suaminya itu sebelum cuba bangkit semula.
Walau bagaimanapun, jurucakap keluarga mangsa, Emily Jones menegaskan kepada bahawa pihak keluarga tidak dapat mengesahkan sama ada hantaran di media sosial itu benar-benar ditulis oleh Amanda. Pihak Pejabat Syerif Daerah Ottawa belum mengeluarkan sebarang kenyataan susulan buat masa ini.
Catat Ulasan for "Kantoi Curang Dengan Pelajar Latihan Industri, Lelaki Bunuh Isteri dan Enam Anak"