Dua Dekad Setia Dibalas Pengkhianatan: Suami Palsukan Sijil Nikah Demi Embrio Beku Bersama Wanita Simpanan

Benarlah ungkapan, kesetiaan seorang lelaki diuji saat memiliki segalanya dan wanita diuji ketika lelakinya tidak mempunyai apa-apa. Namun bagi Puan Zhu yang menetap di Shanghai, pengorbanannya selama 20 tahun membina rumah tangga dibalas dengan pengkhianatan yang amat memilukan. Ketika dia bergelut menentang penyakit kanser paru-paru, suaminya tergamak menjalinkan hubungan sulit dan memalsukan sijil nikah bersama wanita simpanannya untuk menjalani prosedur bayi tabung uji (IVF) hingga berjaya menghasilkan embrio sejuk beku. Lebih menyakitkan hati, wanita simpanan tersebut tanpa segan silu mendesak Puan Zhu supaya bercerai sebelum suaminya sendiri memfailkan saman perceraian secara mengejut menjelang perbicaraan kes tuntutan hak Puan Zhu di mahkamah pada 30 Julai lalu.
Kisah penderitaan Puan Zhu bermula sejak mereka mendaftarkan perkahwinan pada tahun 2006. Pada awal usia perkahwinan, Puan Zhu merupakan seorang wanita berkerjaya tinggi yang memegang jawatan pengurusan pertengahan di sebuah syarikat sekuriti di Shanghai dengan pendapatan yang amat lumayan. Namun pada tahun 2017, dia mengambil keputusan sukar untuk meletakkan jawatan demi menguruskan rumah tangga dan membesarkan anak perempuan mereka. Pengorbanan kerjaya ini memberi ruang sepenuhnya kepada si suami untuk memulakan perniagaan hingga kehidupan mereka kelihatan semakin stabil dan makmur dari luaran.
Namun di sebalik kebahagiaan itu, keretakan sebenarnya telah lama berputik. Sejak fasa awal perniagaan suaminya lagi, Puan Zhu sudah menghidu kecurangan lelaki tersebut. Demi mempertahankan rumah tangga dan memikirkan masa depan anak mereka yang masih kecil, dia memilih untuk bersabar dan bertahan tanpa memutuskan hubungan secara melulu. Dugaan hidupnya bertambah berat apabila pada tahun 2019, Puan Zhu disahkan menghidap kanser paru-paru dan perlu menjalani empat pembedahan besar. Walaupun tahap kesihatan fizikalnya terjejas teruk dan memerlukan pemantauan berterusan, suaminya tidak memberikan sokongan emosi yang sewajarnya. Setiap kali Puan Zhu menyuarakan hasrat untuk menambah cahaya mata selepas kesihatannya beransur pulih, suaminya sentiasa mengelak dan memberikan pelbagai alasan.

Belang suaminya akhirnya terbongkar pada Oktober 2025 menerusi satu pesanan ringkas (SMS) daripada Hospital Zhongshan yang berafiliasi dengan Universiti Fudan yang terbaca oleh Puan Zhu di telefon bimbit suaminya. Pesanan tersebut merujuk suaminya dan seorang wanita asing sebagai pasangan suami isteri untuk janji temu perubatan. Hasil siasatan Puan Zhu di hospital membongkar hakikat yang menghancurkan hatinya di mana suaminya telah menyerahkan ujian kualiti sperma manakala wanita simpanannya membekalkan sel telur. Menggunakan sijil nikah palsu, mereka mendaftar sebagai pasangan suami isteri yang sah di hospital tersebut untuk mensenyawakan benih mereka menjadi embrio sejuk beku melalui kaedah IVF.
Secara teknikalnya, embrio sejuk beku merupakan persenyawaan sperma dan telur di luar rahim yang dibekukan pada suhu sangat rendah menggunakan cecair nitrogen untuk disimpan sebagai persediaan kehamilan. Dalam konteks kes ini, embrio beku itu disalahgunakan oleh si suami dan wanita simpanannya sebagai persediaan awal untuk mendapatkan anak tanpa pengetahuan Puan Zhu. Maka dengan menyimpan benih yang sedia ada di hospital, mereka merancang untuk memindahkan embrio tersebut ke dalam rahim wanita simpanan itu sebaik sahaja proses perceraian Puan Zhu selesai dan perkahwinan baharu didaftarkan. Apa yang lebih menyayat hati, jangkaan kelahiran anak luar nikah itu dipercayai bertembung dengan waktu anak perempuan sah mereka menduduki peperiksaan kemasukan universiti.

Tindakan Puan Zhu menuntut keadilan berdepan jalan buntu apabila pihak hospital enggan memusnahkan embrio tersebut atas alasan ia masih boleh digunakan secara sah sekiranya suami Puan Zhu bercerai dan berkahwin dengan wanita berkenaan kelak. Kecewa dengan jawapan hospital, Puan Zhu merujuk kes ini kepada Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Shanghai dan pihak polis. Siasatan polis mengesahkan berlaku pemalsuan dokumen rasmi negara, lalu mengenakan hukuman tahanan pentadbiran selama lima hari ke atas suami dan wanita simpanannya. Walau bagaimanapun, hukuman singkat itu langsung tidak menerbitkan rasa insaf. Malah Puan Zhu turut mendapati suaminya sudah memohon Skim Kemasukan Bakat Hong Kong sebagai persiapan memindahkan aset dan mendapatkan status pemastautin buat anak luar nikah tersebut kelak.
Ekoran pelbagai halangan birokrasi, Puan Zhu akhirnya nekad memfailkan saman ke atas suaminya, wanita simpanan tersebut dan pihak hospital. Dari sudut undang-undang, kes ini amat rumit kerana amalan kehakiman mengklasifikasikan embrio sejuk beku sebagai entiti khas berkepentingan etika yang hak pelupusannya terletak pada pembekal genetik. Memandangkan Puan Zhu tidak membekalkan telur bagi embrio tersebut, statusnya sebagai isteri sah tidak memberikannya kuasa sepihak untuk menuntut pemusnahannya. Perjuangan Puan Zhu bukan sahaja untuk menuntut keadilan peribadi atas pengkhianatan 20 tahun tetapi juga berharap kes ini dapat mendesak pihak berkuasa menutup lompang undang-undang serta memperketat prosedur semakan dokumen dalam teknologi pembiakan rekayasa agar kemelut tidak masuk akal ini tidak berulang kepada orang lain.
Catat Ulasan for "Dua Dekad Setia Dibalas Pengkhianatan: Suami Palsukan Sijil Nikah Demi Embrio Beku Bersama Wanita Simpanan"