Kisah Pembunuhan Kejam Nadya Dwi Ramadhany

     Nadya Dwi Ramadhany (21 tahun) merupakan pelajar jurusan Pendidikan Guru Sekolah Dasar (PGSD) yang berasal dari Dusun Bagipungkur, Desa Beru, Kecamatan Jereweh, Kabupaten Sumbawa Barat. Di Mataram, Nadya menyewa sebuah bilik di kawasan Kelurahan Gomong, Kecamatan Selaparang. Nadya dikenali sebagai seorang peribadi yang sangat ceria, peramah dan sentiasa membawa aura positif serta kerap menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

    Pada pertengahan Mei 2026, Nadya berada di fasa akhir pengajiannya dan sedang sibuk menjalani program latihan perguruan sebagai pembantu mengajar di sebuah sekolah. Walaupun kesibukan ini mengurangkan masa Nadya untuk berkumpul bersama rakan-rakan, hubungan mereka tetap terjalin erat menerusi perkhidmatan pesanan ringkas. Komunikasi terakhir Nadya dikesan pada Sabtu, 16 Mei 2026 kira-kira jam 2:00 pagi apabila dia saling bertukar mesej WhatsApp dengan rakan karibnya, Kareleta Rawi Beauty yang ketika itu berada di Jakarta atas urusan peribadi.

      Kecurigaan mula timbul apabila Kareleta yang baru tiba di Pulau Lombok pada petang Ahad, 17 Mei 2026 sekitar jam 5:00 petang cuba menghubungi Nadya menerusi telefon dan mesej tetapi tidak mendapat sebarang respon. Rasa bimbing yang amat sangat mendorong Kareleta bersama sepupunya pergi ke kediaman sewa Nadya di Gomong Sakura pada jam 9:00 malam. Setibanya di sana, suasana bilik sewa kelihatan gelap, tertutup rapat dan motosikal Honda Beat milik Nadya yang kebiasaannya diletakkan di ruang parkir juga tidak kelihatan.

     Percubaan awal mengetuk pintu bilik secara perlahan tidak membuahkan hasil. Disebabkan pintu tidak dibuka, rakan-rakan mangsa bercadang memecah pintu tersebut namun dihalang oleh penghuni lain bagi menanti kunci pendua daripada penjaga rumah sewa. Tidak tahan menunggu, seorang rakan mengambil inisiatif memanjat dan mengintip menerusi lubang ventilasi di atas pintu. Dari situ, tubuh Nadya kelihatan terbaring terlentang di atas katil disertai bau busuk yang mula memenuhj ruang. Sejurus pihak polis tiba pada jam 11:30 malam dan membuka pintu, didapati mangsa telah meninggal dunia dengan kesan jerutan pada leher.

     Pihak polis mendapati pintu hadapan bilik terkunci dari dalam dengan anak kunci masih melekat pada lubang kunci manakala pintu belakang terkunci tanpa kuncinya. Dua buah telefon bimbit serta motosikal Honda Beat milik mangsa disahkan hilang. Pihak polis merumuskan kes ini sebagai tindak kecurian dengan kekerasan yang membawa kepada kematian mangsa.

     Proses siasatan awal berjalan agak sukar dan mengambil masa yang panjang memandangkan kawasan rumah sewa Nadya tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV). Pihak keluarga mangsa yang tertekan dengan ketidakpastian ini turut berusaha membantu siasatan dengan menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak Rp20 juta kepada mana-mana pihak yang dapat mengembalikan motosikal atau telefon bimbit mangsa. Motosikal berkenaan dipertaruhkan sebagai petunjuk utama bagi merungkai identiti penjenayah.

      Selepas lebih dua bulan berlalu, penantian tersebut akhirnya membuahkan hasil pada Rabu, 29 Julai 2026, yakni kira-kira jam 6:00 petang. Pasukan polis berjaya mengesan dan menahan seorang pemuda di kawasan jalanan Kelurahan Punia, Mataram. Suspek yang ditahan dikenali sebagai Haikal, berusia 17 tahun yang sedang menunggang sebuah motosikal dalam keadaan telah dilerai dan diubah suai. Walaupun fizikal motosikal itu telah diubah, nombor enjin dan komponen mengesahkan secara mutlak bahawa kenderaan tersebut adalah milik Nadya.

     Sewaktu sesi soal siasar di ibu pejabat polis, Haikal mendedahkan kronologi sebenar kejadian yang berlaku pada malam Sabtu, 16 Mei 2026. Suspek, yang merupakan seorang banduan juvana bagi kes kecurian dan penganiayaan bersenjata tajam di beberapa lokasi berasingan di Mataram mengakui memasuki kawasan rumah sewa mangsa di bawah pengaruh minuman alkohol dan bahan terlarang. Haikal mencuba membuka pintu bilik-bilik di situ secara rawak hinggalah mendapati pintu bilik Nadya tidak berkunci.

       Selepas mengambil dua buah telefon bimbit, suspek cuba mencari kunci motosikal mangsa di dalam bilik tersebut. Tindakan suspek yang menyelongkar dalam kegelapan telah mengejutkan Nadya daripada tidur. Mangsa yang terkejut terus menjerit meminta bantuan menyebabkan Haikal panik lalu menolak mangsa ke katill, menindih tubuhnya sebelum menekup mukanya menggunakan bantal hingga tidak bergerak. Bagi memastikan mangsa benar-benar meninggal dunia, suspek bertindak kejam dengan mencekik leher Nadya menggunakan kedua-dua belah tangannya dengan sekuat tenaga.

      Sebelum melarikan diri, Haikal sempat membersihkan wajah mangsa dengan kain tudung bagi menghapuskan kesan cap jari dan cecair tubuh sebelum melempar tudung itu ke bahagian belakang rumah sewa. Anak kunci bilik dibuang ke dalam Sungai Ancar manakala dua telefon bimbit mangsa dibuang di kawasan berhampiran SMKN 2 Lingsar, Lombok Barat kerana suspek bimbang kedudukannya dikesan menerusi isyarat telefon. Suspek turut mengaku bahawa dia merancang untuk melarikan diri dan bekerja di Malaysia dalam masa beberapa hari sebelum ditangkap oleh pihak polis.

    Atas perbuatan kejam tersebut, Haikal didakwa mengikut peruntukan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) Indonesia dan Sistem Peradilan Pidana Anak melalui tiga pertuduhan utama. Pertuduhan tersebut merangkumi pembunuhan dan pencurian dengan kekerasan di bawah Pasal 458 ayat (1) subsider Pasal 479 ayat (3) dengan ancaman maksimum 15 tahun penjara, pemilikan senjata tajam tanpa izin di bawah Pasal 307 ayat (1) berdepan hukuman hingga 7 tahun penjara serta kesalahan penganiayaan berat di bawah Pasal 466 ayat (2) yang membawa ancaman maksimum 5 tahun penjara.  

    


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Nadya Dwi Ramadhany"