Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH DENISE HUSKIN, GONE GIRL YANG SEBENAR

    American Nightmare merupakan filem dokumentari terbaru daripada Netflix yang mula ditayangkan pada 17 Januari 2024. Dokumentari tiga episod ini adalah tentang kisah benar penculikan Denise Huskin dan Aaron Quinn yang berlaku pada tahun 2014. Pasangan terbabit bagaimanapun dituduh oleh pihak polis sengaja memalsukan kisah penculikan tersebut hingga pihak media menyamakan kisah mereka seperti dalam filem Gone Girl lakonan Rosamund Pike dan Ben Affleck.

    Bercerita tentang kisah Denise Huskin dan Aaron Quinn ini, insiden penculikan mereka terjadi pada malam 23 Mac 2014 yakni bertempat di rumah Aaron yang terletak Vallejo, California. Rumah tersebut telah diceroboh masuk oleh seorang lelaki lulusan Universiti Harvard bernama Matthew Muller yang juga merupakan bekas anggota tentera. Pasangan itu diikat selain ditutup mata mereka sebelum diberikan ubat penenang.

    Denise kemudian dibawa lari oleh Matthew manakala Aaron pula ditinggalkan di rumahnya. Selepas berfikir panjang, Aaron membuat keputusan untuk melaporkan insiden malam tersebut kepada pihak polis meskipun dia sebelum itu diugut oleh Matthew supaya tidak berbuat sedemikian. Ada beberapa perkara yang Aaron perlu selesaikan terlebih dahulu terutamanya hal wang tebusan. Walau bagaimanapun, Aaron ditimpa nasib malang yang berterusan apabila pihak polis tidak mempercayai ceritanya. Pihak polis bahkan menuduh Aaron sengaja mereka-reka cerita kerana dia sebenarnya telah membunuh Denise dan serta sudah pun membuang mayat teman wanitanya itu. Setelah 18 jam sesi soal siasat, barulah Aaron dibebaskan. Itupun hasil usaha abangnya yang telah melantik seorang peguam bagi mewakili Aaron.

    Bagaimana pula dengan Denise? Dia diculik Matthew selama 48 jam sebelum dibebaskan di mana wanita ini pulang ke rumahnya dengan selamat. Namun sepanjang tempoh penculikan tersebut, Denise telah dirogol Matthew sebanyak dua kali. Sama seperti Aaron, Denise turut dituduh oleh pihak polis sengaja membuat cerita palsu tentang penculikannya. Perkara ini sekaligus menyebabkan Aaron dan Denise menjadi semakin tertekan. Pihak polis langsung tidak mempercayai bahawa pasangan tersebut adalah mangsa penculikan walaupun menerima beberapa bukti penting. Salah satu bukti penting itu adalah foto yang dihantar Matthew kepada syarikat akhbar San Francisco Chornicle secara e-mel.

    Hinggalah beberapa bulan berikutnya, pihak polis akhirnya berjaya menangkap Matthew. Penangkapan itu dibuat selepas pihak polis Matthew dikenal pasti sebagai penceroboh dalam satu kes pencerobohan yang berlainan. Telefon Matthew terjatuh di rumah lokasi kejadian sekaligus menyebabkan dirinya dapat dijejaki oleh pihak polis. Menerusi penggeledahan yang pihak polis lakukan di rumah Matthew, mereka telah menemui dua rakaman serangan seksual terhadap Denise Huskin.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Matthew yang didapati bersalah atas kes penculikan itu telah dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun. Mengenai Denise dan Aaron, mereka berdua telah memfailkan saman terhadap pihak polis yang terlibat. Kes ini diselesaikan di luar mahkamah dengan pasangan itu menerima bayaran pampasan sebanyak US$2.5 juta. Denise dan Aaron telah berkahwin pada tahun 2018 dan kini mempunyai dua orang cahaya mata. 

Catat Ulasan for "KISAH DENISE HUSKIN, GONE GIRL YANG SEBENAR"