Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MISTERI PATUNG LA PASCUALITA

    Pernah dengar kisah tentang boneka yang dinamakan sebagai La Pascualita? Boneka yang berpakaian gaun pengantin ini dipamerkan dalam butik pengantin yang terletak di bandar Chihuahua, Mexico. Apa yang pasti, La Pascualita ini bukan sebarang boneka kerana ia sebenarnya adalah seorang gadis yang telah diawet menjadi boneka!

    Menyingkap sejarah La Pascualita, ia pertama kali muncul di butik pengantin tersebut pada penghujung bulan Mac tahun 1930. La Pascualita ternyata telah menarik perhatian ramai pengunjung  kerana rambut, kulit, tangan, kaki, kuku serta urat boneka ini kelihatan realistik bagaikan manusia asli. Perkara ini sekaligus menyebabkan tersebarnya cerita bahawa La Pascualita adalah mayat seorang wanita yang diawet. Wanita yang dimaksudkan itu dikenali sebagai Pascuala Esparza yakni anak kepada pemilik butik pengantin tersebut. Dia dikatakan telah meninggal dunia akibat disengat labah-labah beracun. Terdapat juga versi lain yang mendakwa Pascuala mati kerana menerima sengatan daripada kala jengking. Kematian Pascuala dipercayai berlaku pada hari perkahwinannya.


    Seperkara lagi harus diketahui, La Pascualita juga adalah boneka menyeramkan. Diceritakan bahawa La Pascualita akan hidup pada waktu malam di mana ada kala posisi ia akan berubah dari posisi asal. Selain itu, ada pelanggan bercerita tentang mata La Pascualita yang dirasakan memerhatikan mereka pada sepanjang tempoh mereka berada dalam butik tersebut. Pekerja di butik itu turut memberitahu bahawa mereka tidak berasa senang dengan kewujudan La Pascualita. Ada sesuatu yang mereka rasakan semasa berdiri berdekatan dengan boneka tersebut. Kata salah seorang pekerja butik itu,

   “Setiap kali saya berdekatan dengan Las Pascualita, tangan saya akan berpeluh. Tangan patung itu begitu realistik dan dia juga mempunyai urat di kaki. Saya percaya Las Pascualita adalah manusia sebenar”.

    Sememangnya ada sesetengah pihak tidak mempercayai mitos awet La Pascualita kerana adalah sesuatu mustahil tubuh badannya kekal sempurna selepas bertahun-tahun meninggal dunia. Walaupun La Pascualita hanya sekadar kisah legenda urban, butik pengantin itu tetap dikunjungi oleh ramai pengunjung.

Catat Ulasan for "KISAH MISTERI PATUNG LA PASCUALITA"