Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WANITA TIDUR DENGAN MAYAT SUAMI SELAMAT EMPAT TAHUN

    RUSIA – Seorang wanita dilaporkan berkongsi katil dengan mayat suaminya yang dipercayai telah meninggal dunia sejak empat tahun lalu. Difahamkan wanita berusia 50 tahun yang dikenali sebagai -Svetlana itu memberi amaran kepada anak-anaknya secara berterusan supaya merahsiakan perkara tersebut daripada sesiapa pun. Anak-anak Svetlana yang berusia dari 17 tahun hingga lapan tahun diugut oleh ibu mereka itu untuk dihantar ke rumah anak yatim jika perkara itu terbongkar.

    Pada empat tahun lepas, mendiang suami Svetlana yang bernama Vladimir tersebut dikatakan meninggal dunia dalam keadaan misteri di rumah mereka . Selepas kematiannya, mayat Vladimir telah dibalut oleh Svetlana sebelum dibawa masuk ke dalam bilik tidur.

    Berdasarkan laporan media, mayat Vladimir yang diawet tersebut telah ditemui oleh pekerja –kebajikan yang melawat ke rumah Svetlana pada baru-baru ini. Pekerja kebajikan terbabit tidak menyedari tentang mayat Vladimir itu dalam lawatan mereka pada waktu sebelumnya. Selain itu, media tempatan melaporkan bahawa Svetlana ada menjalankan upacara ritual tertentu ke atas mayat suaminya itu. Sewaktu Vladimir masih hidup, dia dan Svetlana dikhabarkan mengamalkan ilmu hitam. Ada juga perkhabaran yang mendakwa bahawa Vladimir mati selepas berlaku konflik antaranya dengan Svetlana. Sepanjang tempoh “ketiadaan” Vladimir, Svetlana memberitahu orang di sekeliling bahawa suaminya itu sedang mendapatkan rawatan di Tibet. Pada masa sama, anak-anak Svetlana dilarang sama sekali untuk bertanya apa-apa tentang bapa mereka.

    Lain-lain penemuan di rumah Svetlana adalah seperti lambang salib, kad tarot, azimat dan imej Dewa Anubis. Laporan awal forensik mendapati tiada sebarang unsur keganasan dalam kes kematian Vladimir. Svetlana yang sedang dalam tahanan telah pun diarahkan untuk menjalani rawatan psikiatri manakala anak-anaknya pula dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Catat Ulasan for "WANITA TIDUR DENGAN MAYAT SUAMI SELAMAT EMPAT TAHUN"