Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Chip Chan: Misteri Wanita di Sebalik Rakaman CCTV


     Chip Chan adalah salah satu legenda urban internet misteri dan seram yang berasal daripada komuniti dalam talian seperti 4chan dan forum-forum penyiasatan internet. 

     Kisahnya bermula pada sekitar tahun 2008 apabila seorang pengguna menemui sesi siaran langsung CCTV yang menunjukkan seorang wanita tinggal bersendirian dalam sebuah apartmen yang tidak dikenali. Sejak itu, misterinya terus menarik perhatian ramai dengan pelbagai teori berkembang mengenai identiti dan keadaan sebenar wanita ini. 

     Pada mulanya, siaran langsung ini ditemui dalam senarai kamera web awam yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Kamera tersebut menunjukkan seorang wanita yang hanya dikenali sebagai "Chip Chan" tinggal dalam sebuah bilik yang kelihatan tidak terurus serta berselerak. Namun perkara yang paling menarik perhatian adalah tingkah laku peliknya di mana dia sering tidur dalam posisi ganjil dan boleh tidur selama lebih daripada 12 jam dalam satu masa seolah-olah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.


     Kadang-kala, dia akan bangun secara tiba-tiba lalu berjalan di sekitar bilik, menulis sesuatu di atas kertas atau menatap skrin komputer tanpa berbuat apa-apa untuk tempoh yang lama. Wajahnya jarang kelihatan dengan jelas kerana dia sering menggunakan kain untuk menutup muka atau bersembunyi daripada kamera.

     Salah satu perkara yang paling menakutkan dalam kisah Chip Chan ini ialah mesej-mesej yang ditemui di biliknya. Kertas-kertas yang bertaburan di sekitar bilik mengandungi tulisan dalam bahasa Korea yang kemudian diterjemahkan oleh pengguna internet. Antara mesej yang ditemui adalah seperti berikut : 

     - Dia mendakwa dikawal oleh seorang pegawai polis korup yang dikenali sebagai "P".

     - Dia percaya terdapat cip implan dalam badannya yang digunakan untuk mengawalnya dan membuatkannya tidur tanpa kawalan.

    - Dia tidak boleh meninggalkan tempat tinggalnya kerana dia yakin akan dibunuh jika berbuat sedemikian.

     Menurut mesej-mesej ini, Chip Chan mendakwa bahawa polis yang dikenali sebagai "P" telah menanam sejenis alat kawalan di dalam tubuhnya, yang menyebabkan dia tertidur tanpa kawalan dan tidak dapat melarikan diri. Dia juga menulis bahawa sesiapa sahaja yang cuba membantunya akan menjadi sasaran konspirasi ini.


     Selepas siaran langsungnya menjadi tular, komuniti internet mula menyiasat siapa sebenarnya Chip Chan. Ada yang cuba mencari lokasi sebenar apartmennya dengan menganalisis perabot dan barangan yang kelihatan di dalam biliknya. Beberapa orang yang mahir dalam bahasa Korea cuba menghubunginya melalui ruang sembang siaran langsungnya akan tetapi maklum balas yang diterima sering samar atau tidak konsisten.

     Segelintir pengguna percaya bahawa Chip Chan benar-benar menjadi mangsa penculikan atau eksperimen rahsia. Namun ada juga yang berpendapat bahawa dia mengalami penyakit mental seperti paranoia atau skizofrenia hingga menyebabkan dia percaya bahawa dirinya sedang dikawal oleh pihak berkuasa.


     Hingga pada hari ini, identiti sebenar Chip Chan masih tidak diketahui dan misterinya terus menjadi perbincangan di internet. Siaran langsungnya juga masih wujud dari semasa ke semasa tetapi aktiviti di dalam bilik itu tidak banyak berubah sejak pertama kali ditemui.

     Ada laporan yang menyatakan bahawa dia pernah membuat kemunculan dalam beberapa forum Korea.  Chip Chan terus mempertahankan kisahnya dan menegaskan bahawa dia tidak berbohong mengenai cip kawalan tersebut. Walau bagaimanapun, tiada bukti konkrit yang dapat membuktikan atau menafikan dakwaannya.

     Hingga kini, tiada jawapan pasti mengenai siapa Chip Chan sebenarnya dan apa yang telah benar-benar berlaku kepadanya. 

Catat Ulasan for "Chip Chan: Misteri Wanita di Sebalik Rakaman CCTV"