Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

60 Jam di Lautan: Kisah Luar Biasa Harrison Okene Bertahan Hidup


     Pada 26 Mei 2013, Harrison Okene iaitu seorang tukang masak kapal dari Nigeria mengalami kejadian yang hampir mustahil untuk dipercayai. Dia terselamat selama 60 jam di dasar laut selepas kapal tempatnya bekerja karam akibat cuaca buruk di perairan Atlantik. 

     Jascon-4 ialah sebuah kapal tunda yang berfungsi sebagai kapal sokongan untuk operasi minyak dan gas di perairan Nigeria. Semasa hari kejadian, kapal itu sedang berada di lokasi operasi kira-kira 30 kilometer dari pantai Delta Niger untuk melakukan kerja menambat kapal tangki minyak di pelantar minyak Chevron. Pada sekitar jam 4:50 pagi yakni ketika kebanyakan anak kapal masih tidur, ombak besar tiba-tiba melanda kawasan tersebut. Dalam sekelip mata, kapal itu telah terbalik. Air laut mula membanjiri setiap ruang kapal sebelum tenggelam ke dasar laut dengan kedalaman 30 meter.

     Harrison yang ketika itu sedang berada di dalam tandas tidak sempat mencapai sebarang jaket keselamatan atau keluar ke dek. Dalam keadaan panik, dia cuba merangkak keluar dari tandas dan mencari jalan menyelamatkan diri. Walau bagaimanapun, air yang masuk dengan deras menolak dan menghanyutkannya ke dalam satu ruang kecil di bahagian enjin kapal.


     Dalam keadaan gelap gelita selain kesejukan dan tekanan tinggi di dasar laut, Harrison terperangkap tanpa mengetahui sama ada bantuan akan tiba atau sebaliknya. Selain itu,dia menghadapi cabaran berdepan dengan masalah kekurangan oksigen, kesejukan melampau, dahaga, kelaparan dan bau busuk mayat rakan-rakannya yang terapung berhampiran. Seperkara harus diketahui, satu-satunya minuman yang Harrison temui ialah sebotol air Coke yang terapung di dalam ruang itu. 

     Selepas tiga hari tanpa sebarang harapan bahawa dia akan terselamat, Harrison hampir berputus asa. Namun  pada hari ketiga, dia telah terdengar bunyi ketukan logam di bahagian kapal yang karam. Ini memberi petanda bahawa ada penyelam sedang melakukan operasi mencari mangsa. Pada ketika itu, pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi untuk mengeluarkan mayat anak kapal yang dipercayai telah meninggal dunia. Mereka tidak menjangka masih ada mangsa yang hidup di dalam kapal itu.


     Semasa operasi mencari dan menyelamat tersebut berjalan, seorang anggota penyelam bernama Nico van Heerden yang sedang merakam pergerakannya menggunakan kamera helmet terkejut apabila ternampak tangan manusia muncul dari dalam kegelapan lalu menyentuh tangannya. Pada awalnya, Nico menyangka dia telah menemui mayat yang masih bergerak akibat arus air tetapi apabila dia melihat Harrison menggenggam tangannya erat, barulah dia menyedari bahawa ada mangsa yang masih hidup!

     Selepas kejutan itu, pasukan penyelam segera memberikan Harrison topeng oksigen dan membantunya keluar dari bangkai kapal. Cuma ada satu lagi masalah besar kesan tekanan tinggi terhadap tubuhnya. Memandankan Harrison telah berada di dasar laut selama 60 jam, tubuhnya sudah menyerap banyak nitrogen akibat tekanan tinggi. Jika Harrison naik ke permukaan terlalu cepat, dia boleh diserang penyakit akibat perubahan tekanan yang boleh membawa maut.

     Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, Harrison terpaksa menjalani proses dekompresi dalam bilik khas selama 60 jam sebelum dibenarkan kembali ke darat. Harrison akhirnya berjaya diselamatkan walaupun tubuhnya berada dalam keadaan sangat lemah dan lesu. 


     Selepas kejadian ini, Harrison mengalami trauma yang mendalam di mana dia kerap bermimpi ngeri dan  kesukaran untuk tidur selama berbulan-bulan. Harrison juga bertekad ntuk tidak lagi bekerja di laut kerana tidak mahu mengalami kejadian seperti itu lagi.  Hinggalah pada tahun 2015, Harrison berjaya mendapatkan sijil penyelam profesional. Keputusan ini mengejutkan ramai orang kerana dia memilih untuk mengatasi ketakutan yang hampir meragut nyawanya.

Catat Ulasan for "60 Jam di Lautan: Kisah Luar Biasa Harrison Okene Bertahan Hidup"