Vesna Vulovic: Wanita yang Terselamat dari Kejatuhan Pesawat Tertinggi dalam Sejarah

Vesna Vulovic dilahirkan pada 3 Januari 1950 di Belgrade, Yugoslavia (kini Serbia). Setelah menamatkan pendidikan, Vesna memutuskan untuk menjadi pramugari kerana ia memberikan peluang kepadanya untuk mengembara ke luar negara. Dia menyertai JAT Airways (Jugoslovenski Aerotransport), syarikat penerbangan Yugoslavia lalu menjalani latihan sebagai pramugari.
Diringkaskan cerita yakni pada 26 Januari 1972, Pesawat DC-9 yang dinaiki oleh Vesna yang dikenali sebagai "JAT Flight 367" telah berlepas dari Stockholm, Sweden, menuju ke Belgrade. Harus diketahui, penerbangan maut pada hari tersebut bukanlah jadual asal Vesna. Dia sebenarnya dijadualkan bertugas pada penerbangan lain tetapi dia tersilap menyertai kumpulan kru yang salah.

Ketika berada di ruang udara Czechoslovakia, pesawat tersebut tiba-tiba meletup akibat bom yang diletakkan di dalam kargo. Letupan itu telah menyebabkan pesawat terputus dua di udara. Dalam letupan yang dahsyat tersebut, semua penumpang dan kru pesawat terkorban kecuali Vesna. Pesawat itu terhempas ke kawasan pergunungan di Czechoslovakia dan Vesna jatuh dari ketinggian lebih 10,000 meter (33,000 kaki) ke tanah.
Keajaiban berlaku apabila Vesna terselamat. Sebahagian daripada teori yang diterima ialah dia berkemungkinan terjatuh ke atas pokok-pokok di kawasan pergunungan,yang mungkin membantu mengurangkan impak kejatuhan dan memberi sedikit perlindungan. Tambahan pula, kawasan tersebut diliputi salji sekaligus mengurangkan kecederaan. Walaupun Vesna jatuh dari jarak yang sangat tinggi, dia berjaya bertahan hidup dalam keadaan mustahil sedemikian.

Cumanya Vesna tidak sedarkan diri selepas kejadian itu. Semasa ditemui oleh penyelamat, Vesna berada dalam keadaan koma. Dia mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang belakang, tengkorak retak dan pelbagai kecederaan dalaman yang memerlukan rawatan rapi. Dia kemudian dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan intensif.
Selama beberapa hari dalam keadaan koma, Vesna tidak dapat megingati kejadian letupan atau kejatuhannya. Selepas tersedar, Vesna terus menjalani rawatan dan pembedahan untuk proses pemulihan. Proses pemulihan itu memakan masa yang panjang dan Vesna terpaksa berhadapan dengan kesan fizikal dan psikologi dari kecederaan yang dialaminya.
Walaupun kecederaannya teruk, Vesna akhirnya pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan selama beberapa tahun. Guinness World Records turut mengiktiraf Vesna sebagai manusia yang terselamat daripada kejatuhan pesawat pada ketinggian paling tinggi. Walaupun kejadian yang menimpanya itu menjadi terkenal di seluruh dunia, Vesna lebih memilih untuk menjalani kehidupan yang tenang dan jauh dari perhatian media.

Vesna meninggal dunia pada 23 Disember 2016 pada usia 66 tahun. Tentang bagaimana bom boleh berada dalam pesawat JAT Flight 367 semasa kejadian, hasil siasatan mendapati bom tersebut diletakkan dalam sebuah beg yang disimpan di ruang kargo. Berdasarkan bukti yang ada, pihak berkuasa percaya bahawa serangan ini dilakukan oleh kumpulan pengganas nasionalis Croatia yang dikenali sebagai "Ustase". Kumpulan ekstremis ini menentang kerajaan Yugoslavia dan pernah melakukan beberapa serangan pengganas sebelumnya. Beberapa hari sebelum tragedi itu berlaku, pihak berkuasa menerima panggilan ancaman bom tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan letupan pesawat tersebut. Pihak FBI serta pasukan penyiasat antarabangsa percaya bahawa kumpulan pengganas ini menghantar bom melalui bagasi yang dimasukkan ke dalam pesawat tetapi tiada suspek yang berjaya ditangkap atau didakwa secara rasmi. Kes ini akhirnya ditutup tanpa ada sebarang tangkapan atau tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak.
Catat Ulasan for "Vesna Vulovic: Wanita yang Terselamat dari Kejatuhan Pesawat Tertinggi dalam Sejarah"