Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Seram Edificio Joelma: Bangunan Paling Berhantu di Brazil

     Edificio Joelma adalah sebuah bangunan yang terletak di Sao Paulo, Brazil. Bangunan yang mempunyai 25 tingkat ini menempatkan pejabat-pejabat korporat dan menjadi sebahagian daripada pembangunan pesat kawasan komersial di pusat bandar.

     Sebelum Edificio Joelma ini dibina, kawasan tapaknya sudah lama dikaitkan dengan peristiwa tragis. Pada awal abad ke-20, lokasi ini menempatkan sebuah rumah milik seorang profesor kimia bernama Dr. Paulo Camargo. Diringkaskan cerita yakni pada tahun 1948, Dr. Paulo Camargo dilaporkan telah membunuh ibu dan dua orang adik perempuannya sebelum menanam mayat mereka di dalam sebuah perigi di halaman rumahnya. Motif sebenar pembunuhan ini tidak pernah diketahui dengan jelas tetapi ramai berpendapat ia berpunca daripada konflik keluarga. Selepas jenayahnya terbongkar, Dr. Camargo memilih untuk membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri sebelum sempat untuk ditangkap. Sejak itu, rumah tersebut menjadi terkenal dengan cerita-cerita seram di mana penduduk sekitar sering melaporkan suara tangisan dan jeritan.

     Beberapa dekad kemudian, rumah tersebut dirobohkan dan tapaknya digunakan untuk membina Edifício Joelma pada awal 1970-an.

     Pada 1 Februari 1974, bangunan Edifício Joelma dilanda kebakaran yang dahsyat. Kebakaran bermula di tingkat 12 yang berpunca daripada litar pintas pada penghawa dingin. Api telah merebak dengan begitu pantas hingga meragut banyak nyawa dalam sekelip mata. Pada waktu itu, kira-kira seramai 800 orang pekerja dilaporkan berada di dalam bangunan. Ramai yang terperangkap dan tidak dapat melarikan diri kerana tangga yang sempit, pintu terkunci dan lif tidak berfungsi akibat kebakaran. Mangsa-mangsa yang berada di tingkat atas terperangkap dalam asap tebal dan api yang marak. Beberapa orang cuba melompat keluar dari tingkap tetapi malangnya ramai yang maut dalam percubaan tersebut.

     Kebakaran ini berterusan selama hampir 5 jam sebelum akhirnya dapat dipadamkan tetapi ia terlalu terlambat untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap. Seramai 191 nyawa telah terkorban dalam tragedi ini dan angka ini menjadikannya salah satu kebakaran paling teruk dalam sejarah Brazil.

     Selepas kejadian kebakaran tersebut berlaku, bangunan itu dibaik pulih serta dibuka semula kepada orang ramai pada tahun 1980. Maka bermulalah kisah seram bangunan Edificio Joelma. Walaupun bangunan telah dipulihkan dan diubah suai semula, ramai pekerja dan pengunjung mula mengalami kejadian seram dalam bangunan tersebut.

     Salah satu cerita datang daripada seorang pekerja yang baru sahaja mula bekerja di Edificio Joelma selepas ia dibuka semula. Menurutnya, semasa dia bekerja pada waktu malam, dia sering berasa bahawa dia sedang diperhatikan dan diawasi. Seorang lagi pekerja pula berkongsi kisah mengenai penampakan bayangan manusia yang muncul di tingkap bangunan pada waktu malam. Bayangan tersebut dikatakan seperti seseorang yang terperangkap dan cuba melarikan diri akan tetapi tidak dapat keluar. Ada juga yang mendakwa melihat wanita-wanita yang kelihatan seperti mereka sedang mencari jalan keluar tetapi tidak menemui jalan itu. Ramai yang percaya bahawa ini adalah roh-roh mangsa kebakaran yang terperangkap dalam bangunan tersebut.  Beberapa laporan lain mendakwa bahawa mereka mengalami sesak nafas dan rasa cemas apabila berada di sekitar tempat-tempat tertentu di bangunan itu terutamanya pada waktu malam. Paling menyeramkan adalah tentang seorang wanita yang dikatakan menghantui tingkat paling atas bangunan itu. Beberapa orang pekerja pernah melaporkan melihat wanita yang berpakaian merah itu muncul di tingkap pada waktu malam. Wanita ini dipercayai adalah salah seorang mangsa kebakaran yang terperangkap di tingkat atas dengan dia dipercayai muncul sebagai roh tidak tenteram yang masih mencari jalan keluar.

     Hari ini, walaupun Edifucio Joelma masih berfungsi sebagai pusat pejabat, kisah-kisah seram mengenai bangunan ini terus menjadi bualan. Ramai pihak yang percaya bahawa roh-roh mangsa kebakaran itu tidak akan pernah tenang disebabkan situasi huru-hara yang mereka alami semasa tragedi tersebut.

Catat Ulasan for "Kisah Seram Edificio Joelma: Bangunan Paling Berhantu di Brazil"