Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Rahsia Gelap Unit 731: Eksperimen Maut Tentera Jepun


     Semasa zaman Perang Dunia Kedua dari tahun 1937 hingga 1945, Jepun telah menjalankan eksperimen manusia yang paling kejam dalam sejarah di sebuah kem rahsia yang dikenali sebagai Unit 731. Kem ini terletak di Pingfang, Harbin, di wilayah Manchuria yang ketika itu diduduki oleh Jepun. Unit ini secara rasmi dinamakan "Unit Pencegahan Wabak dan Pemurnian Air Tentera Kwantung" tetapi secara realitinya ia adalah pusat penyeksaan yang tidak berperikemanusiaan.

     Unit 731 ini diketuai oleh Shiro Ishii, seorang doktor tentera Jepun yang obses untuk mengembangkan senjata biologi. Dia percaya bahawa dengan mencipta penyakit yang lebih berbahaya, Jepun boleh menggunakannya sebagai senjata dalam peperangan. Namun untuk menguji sejauh mana keberkesanan senjata biologi ini, dia dan pasukannya telah menjadikan manusia sebagai bahan eksperimen.


     Mangsa utama Unit 731 terdiri daripada kalangan orang China termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua. Selain itu, tawanan perang dari Korea, Rusia dan  tahanan Barat lain turut juga dijadikan bahan ujian. Di dalam kem ini, mangsa tidak diberikan apa-apa hak di mana mereka dipaksa menjalani ujian yang mengerikan dan lebih dahsyat tiada siapa yang dibenarkan keluar hidup-hidup.

     Di dalam kem Unit 731, para doktor dan saintis Jepun menjalankan eksperimen mengerikan yang melanggar semua etika perubatan dan nilai kemanusiaan. Salah satu kekejaman ngeri yang dilakukan di Unit 731 itu adalah pembedahan tanpa bius. Para doktor Jepun akan membedah tubuh mangsa yang masih hidup untuk mengkaji bagaimana penyakit merebak atau bagaimana tubuh manusia bertindak balas terhadap kecederaan. Organ dalaman seperti hati, paru-paru dan usus akan dikeluarkan tanpa menggunakan sebarang anestesia hingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan yang tidak terhingga. Ada juga yang dipotong anggota badannya sedikit demi sedikit hanya untuk melihat berapa lama mereka boleh bertahan sebelum mati.


     Eksperimen lain yang kejamn adalah ujian pembekuan. Dalam ujian ini, mangsa dipaksa berdiri di luar dalam suhu beku sehingga anggota badan mereka menjadi keras seperti batu. Selepas itu, doktor akan memukul atau memotong bahagian tubuh yang beku tersebut untuk mengkaji bagaimana tisu manusia bertindak balas terhadap radang dingin. Ada yang dicelup ke dalam air panas untuk melihat sama ada anggota yang beku itu boleh kembali normal tetapi kebanyakan mereka mati akibat kejutan dan kesakitan yang melampau.

     Unit 731 juga terkenal dengan ujian penyebaran penyakit berbahaya. Para penyelidik Jepun akan menyuntik bakteria seperti wabak bubonik, antraks dan kolera ke dalam tubuh mangsa untuk melihat bagaimana penyakit itu merebak dan membunuh mereka. Ada juga mangsa yang dipaksa untuk meminum cecair beracun hingga menyebabkan mereka mati dalam kesakitan. Malah, tentera Jepun pernah melepaskan tikus dan serangga yang dijangkiti penyakit ke kampung-kampung di China sebagai ujian perang biologi.

     Eksperimen lain yang dilakukan adalah menguji kesan letupan bom ke atas manusia hidup. Mangsa akan dipaksa berdiri di kawasan ujian sebelum bom kimia atau biologi diletupkan ke arah mereka. Doktor Jepun akan memerhatikan bagaimana badan manusia hancur akibat letupan atau bagaimana gas beracun meresap ke dalam sistem tubuh. Ada juga mangsa yang sengaja diletakkan berhampiran bahan letupan untuk melihat kesan serpihan bom ke atas tubuh manusia.


     Kaum wanita termasuk mereka yang sedang mengandung turut menjadi mangsa kekejaman di Unit 731. Mereka sering dirogol oleh tentera Jepun dan ada yang dijangkiti penyakit kelamin secara paksa untuk melihat bagaimana jangkitan itu berkembang. Wanita hamil pula akan dipaksa melahirkan bayi dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan. Bayi yang baru lahir itu akan digunakan sebagai bahan eksperimen. Ada bayi yang dicelup ke dalam air mendidih, ada yang disuntik dengan virus dan ada yang ditinggalkan tanpa makanan untuk melihat berapa lama mereka boleh bertahan sebelum mati.

     Apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, Unit 731 dihancurkan. Shiro Ishii dan pegawainya memusnahkan semua bukti dan membunuh mangsa yang tinggal sebelum melarikan diri. Cuma apa yang lebih mengejutkan ialah Shiro Ishii tidak pernah dihukum atas jenayah kejamnya. Perkara ini berikutan Amerika Syarikat yang ketika itu berminat dengan penyelidikan senjata biologi telah membuat perjanjian rahsia dengan Jepun sebagai pertukaran untuk data eksperimen Unit 731 dengan para doktor Jepun diberi kekebalan daripada menerima pendakwaan. Shiro Ishii menjalani kehidupan bebas selepas perang dan meninggal dunia akibat kanser tekak pada tahun 1959 tanpa pernah menghadapi keadilan.


     Pada hari ini, kisah Unit 731 menjadi salah satu tragedi paling gelap dalam sejarah manusia. China masih menuntut keadilan untuk mangsa tetapi kebanyakan fakta mengenai kekejaman ini masih tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya dari Jepun. Muzium Unit 731 di Harbin kini menjadi tempat peringatan bagi mereka yang terkorban, satu peringatan tentang sejauh mana manusia boleh menjadi kejam atas nama sains dan peperangan.

Catat Ulasan for "Rahsia Gelap Unit 731: Eksperimen Maut Tentera Jepun"