Misteri Kehilangan Lisa Theris: 28 Hari di Hutan Tanpa Pakaian

Pada tahun 2017, Lisa Theris adalah seorang wanita berusia 25 tahun dari Louisville, Alabama, Amerika Syarikat. Sebelum kejadian berlaku, Lisa yang juga merupakan pelajar jurusan radiologi dikenali sebagai seorang yang peramah. Walau bagaimanapun, perangai Lisa berubah selepas berkenalan dengan dua orang lelaki yang bernama Manley Davis dan Randall Oswald. Kedua-dua lelaki tersebut diketahui terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta mempunyai rekod jenayah.
Kisah bermula pada bulan Ogos 2017 apabila Manley dan Randall dipercayai telah melakukan rompakan dengan memecah masuk ke sebuah kem memburu di Midland, Alabama di mana mereka mencuri peralatan yang dianggarkan bernilai sekitar $40,000. Semasa kejadian rompakan tersebut, Lisa dipercayai bersama dengan mereka sebelum dia tiba-tiba hilang tanpa sebarang jejak. Manley dan Randall yang kemudian ditangkap dan didakwa atas jenayah rompakan tidak dapat memberikan penjelasan tentang apa yang telah berlaku kepada Lisa.

Hinggalah pada 12 Ogos 2017 yakni 28 hari selepas Lisa menghilang, dia akhirnya keluar dari kawasan hutan dan sampai ke tepi jalan di Bullock County, Alabama lalu ditemui oleh seorang pemandu wanita yang sedang melalui di kawasan tersebut. Lisa didapati dalam keadaan tidak berpakaian, kurus kering dan sangat lemah. Tubuhnya penuh dengan luka, calaran, lebam serta gigitan serangga. Selain itu, Lisa turut mengalami dehidrasi serta kekurangan zat makanan yang serius. Dia seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jadi, apa sebenarnya berlaku kepada Lisa sepanjang tempoh 25 hari kehilangannya itu?
Dimulakan dengan beberapa teori terlebih dahulu tentang punca kehilangan Lisa. Pertama, dia melarikan diri ke dalam hutan. Ada yang berpendapat bahawa Lisa mungkin panik setelah mengetahui niat jahat Manley dan Randall, lalu melarikan diri ke dalam hutan untuk mengelakkan terlibat dalam jenayah rompakan tersebut. Teori ini menyatakan bahawa dia melarikan diri tanpa tujuan yang jelas hingga akhirnya tersesat dalam hutan. Kedua, Lisa di bawah pengaruh dadah jenis syabu. Dia berkemungkinan mengalami halusinasi dan tingkah laku tidak rasional seperti berlari tanpa arah ke dalam hutan tanpa pakaian. Spekulasi ini timbul memandangkan Manley dan Randall terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Namun harus diketahui, tiada bukti kukuh tentang Lisa mengambil dadah tersebut. Ketiga, Lisa menjadi mangsa serangan. Ada juga yang berpendapat bahawa Lisa mungkin menjadi mangsa serangan oleh Manley atau Randall atau juga pihak lain tetapi tiada bukti yang menunjukkan bahawa dia dicederakan atau diserang.

Berbalik semula dengan cerita kehilangan Lisa iaitu selepas dia melarikan diri, Lisa telah masuk dalam hutan Midland, Alabama, tanpa pakaian serta bekalan makanan atau minuman. Satu-satunya cara untuk dia bertahan hidup adalah melalui sumber alam seperti meminum air daripada sungai serta lopak, memakan beri liar, akar pokok dan cendawan.
Tubuh Lisa telah mengalami luka dan calar yang teruk kerana terpaksa meredah semak dan belukar yang tebal. Lisa juga kehilangan berat badan lebih daripada 18 kilogram dalam masa yang singkat. Dia bagaimanapun tetap tidak berputus asa mencari jalan keluar hingga pada akhirnya berjaya berbuat sedemikian.
Lisa tidak pernah didakwa dengan sebarang kesalahan dan pihak berkuasa tidak dapat menemui bukti kukuh yang mengaitkan dirinya melakukan aktiviti jenayah bersama Manley dan Randall. Persoalan yang timbul, bagaimana Lisa boleh bertahan selama hampir sebulan di hutan tanpa pakaian, makanan dan perlindungan? Dan apa sebenarnya yang berlaku sebelum dia melarikan diri ke dalam hutan?

Selepas menerima rawatan di hospital, Lisa akhirnya pulih sepenuhnya. Cuma dia sendiri tidak pernah mendedahkan keseluruhan kisah tentang pengalamannya di hutan itu. Hingga pada hari ini, terdapat banyak persoalan tentang kehilangan Lisa masih lagi belum mempunyai jawapan. Kekal misteri.
Catat Ulasan for "Misteri Kehilangan Lisa Theris: 28 Hari di Hutan Tanpa Pakaian"