Pelakon Seram Ini Tak Perlukan CGI – Kenali Javier Botet, ‘Hantu Sebenar’ Hollywood!

Javier Botet Lopez ialah seorang pelakon dan pelukis dari Sepanyol yang terkenal dengan lakonannya sebagai makhluk atau hantu menyeramkan dalam filem seram.
Javier Botet yang dilahirkan pada 30 Julai 1977 di Ciudad Real, Sepanyol telah mengalami Sindrom Marfan sejak dari kecil lagi. Secara ringkasnya, Sindrom Marfan adalah sejenis gangguan genetik yang mempengaruhi tisu penghubung dalam badan hingga menjadikan mereka yang menghidapnya memiliki tubuh yang luar biasa tinggi, kurus dan fleksibel. Javier Botet sendiri mempunyai ketinggian 6 kaki 6 inci (1.98 meter) dan jari yang sangat panjang serta lentur hingga memberinya keupayaan untuk melakukan pergerakan luar biasa.

Walaupun sindrom ini boleh membawa beberapa komplikasi kesihatan tetapi ia telah membuka peluang unik untuk Javier Botet dalam industri filem. Daripada menggunakan CGI atau prostetik berat, kebanyakan pengarah filem seram sering memilih Javier Botet kerana keupayaannya untuk membawakan watak makhluk aneh dan menyeramkan dengan realisme yang sukar ditandingi.
Javier Botet memulakan perjalanan seninya sebagai seorang pelukis dan ilustrator sebelum beralih ke dunia perfileman. Dia berpindah ke Madrid pada usia muda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni dan mula bekerja dalam bidang kesan khas dan animasi.
Namun nasib Javier Botet berubah setelah dia bertemu dengan pengarah filem iaitu Brian Yuzna yang terkenal dengan filem seram seperti Re-Animator dan Bride of Re-Animator. Brian menawarkan Javier Botet untuk memegang watak dalam filem Beneath Still Waters (2005) sekali gus menjadi debutnya sebagai pelakon makhluk seram.

Nama Javier Botet mula mendapat perhatian global selepas membintangi filem seram Sepanyol [REC] (2007) arahan Jaume Balagueró dan Paco Plaza di mana dalam filem ini, dia melakonkan watak Tristana Medeiros, makhlukyang menjadi punca wabak zombie dalam bangunan pangsapuri tersebut. Filem ini berjaya besar dan menghasilkan beberapa sekuel dengan Javier Botet kembali dalam [REC] 2 (2009) dan [REC] 4: Apocalypse (2014).
Selepas kejayaan filem [REC], Javier Botet mendapat perhatian daripada Hollywood dan mula menerima tawaran untuk melakonkan pelbagai makhluk dalam beberapa buah filem seram terkenal seperti :
- Mama dalam Mama (2013)
* Javier Botet melakonkan watak roh jahat yang dikenali sebagai "Mama".
- The Crooked Man dalam The Conjuring 2 (2016)
* Javier Botet melakonkan watak The Crooked Man, salah satu entiti jahat dalam The Conjuring.
- The Mummy (2017)
* Dalam reboot The Mummy lakonan Tom Cruise, Javier Botet muncul sebagai dewa Mesir purba, Set, yang bertanggungjawab atas kebangkitan semula Ahmanet.
- Slender Man dalam Slender Man (2018)
* Dalam filem yang diilhamkan daripada legenda urban internet, Javier Botet melakonkan watak makhluk tinggi dan menyeramkan yang menghantui sekumpulan remaja.
- Tooth Fairy dalam Scary Stories to Tell in the Dark (2019)
* Javier Botet membawa kehidupan kepada salah satu makhluk dalam filem yang diadaptasi daripada buku cerita kanak-kanak terkenal ini.
Lain-lain filem seram yang pernah dibintangi oleh Javier Botet ini adalah seperti Crimson Peak (2015), It (2017), Alien: Covenant (2017), Insidious: The Last Key (2018) dan The Last Voyage of the Demeter (2023).
Apa yang membezakan Javier Botet daripada pelakon lain yang memainkan watak makhluk seram ialah pergerakannya yang asli. Tanpa memerlukan kesan khas CGI yang berlebihan, dia mampu menampilkan gerakan yang tidak normalterutamanya dalam babak yang memerlukan dia merangkak atau bergerak dengan pergerakan yang luar biasa.

Dalam satu temu bual, Javier Botet menjelaskan bahawa dia sering menghabiskan masa berlatih di depan cermin untuk memahami bagaimana tubuhnya boleh digunakan secara optimum bagi menimbulkan perasaan seram.
Biarpun terkenal dengan karakter menakutkan, Javier Botet dikenali sebagai seorang yang mesra dan periang di luar set penggambaran. Dia juga terus aktif dalam bidang seni visual dan sering berkongsi karya-karya lukisannya di media sosial.
Catat Ulasan for "Pelakon Seram Ini Tak Perlukan CGI – Kenali Javier Botet, ‘Hantu Sebenar’ Hollywood!"