Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Tragedi Oh Yoanna: Skandal Buli Tempat Kerja yang Menggemparkan Dunia Penyiaran Korea!"

     Pada bulan September 2024, dunia penyiaran Korea Selatan dikejutkan dengan berita kematian Oh Yoanna iaitu seorang penyampai cuaca berusia 28 tahun yang bekerja dengan stesen penyiaran MBC. Dia ditemui meninggal dunia dipercayai akibat bunuh diri.

     Sedikit tentang latar belakang Oh Yoanna, dia dilahirkan pada tahun 1996. Namanya mula meraih perhatian umum setelah memenangi tempat kelima dalam Pertandingan Kecantikan Chunhyang pada tahun 2019. Selepas itu, dia telah menyertai MBC sebagai penyampai cuaca pada Mei 2021. Selain tugasnya sebagai penyampai cuaca, Oh Yoanna juga pernah muncul dalam program popular 'You Quiz on the Block' pada November 2022, di mana dia berkongsi tentang perjalanan kerjayanya.

     Berbalik dengan cerita kematian Oh Yoanna, satu nota bunuh diri sepanjang 17 halaman telah ditemui dalam telefonnya. Nota itu adalah catatan pengalaman pahit yang dialami oleh Oh Yoanna di tempat kerja termasuk dakwaan bahawa dia menjadi mangsa buli oleh dua rakan sekerja. Nama mereka tidak dinyatakan secara rasmi pada peringkat awal tetapi spekulasi mula tersebar di kalangan netizen.

     Dalam nota tersebut, Oh Yoanna menggambarkan betapa tekanan di tempat kerja membuatkan dia tidak dapat bertahan. Oh Yoanna menceritakan bagaimana dia sering dipulaukan dan diperlakukan dengan kasar oleh rakan sekerjanya itu. Hingga pada akhirnya, Oh Yoanna yang semakin berasa tertekan dan putus asa akhirnya pun tekad untun membunuh diri.

     Selepas kematian Oh Yoanna, isu buli di tempat kerja mula menjadi perbualan hangat di Korea Selatan. Stesen penyiaran MBC segera mengumumkan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada jika benar terdapat unsur buli yang menyebabkan kematian Oh Yoanna.

     MBC turut menubuhkan jawatankuasa penyiasatan yang diketuai oleh pakar luar bagi memastikan ketelusan siasatan. Pada masa sama, keluarga Oh Yoanna mengambil langkah perundangan dengan memfailkan saman sivil terhadap dua individu yang didakwa membuli Yoanna bagi menuntut keadilan atas kematian anak mereka.

     Pada awal bulan Februari 2025, seorang penyampai cuaca MBC bernama Kim Ga-young didakwa sebagai salah seorang individu yang terlibat dalam kes buli ini. Akibat tekanan awam dan siasatan yang sedang dijalankan, Kim Ga-young menbuat keputusan untuk meletakkan jawatan dari MBC. Bukan itu sahaja, dia juga telah pun dikeluarkan daripada beberapa program siaran lain sementara menunggu hasil siasatan rasmi. Keputusan ini dianggap sebagai satu langkah untuk meredakan kemarahan orang ramai dan memastikan siasatan berjalan dengan lancar.

     Ramai pihak yang menyeru agar peraturan lebih ketat diperkenalkan bagi mengelakkan kes serupa berulang. MBC kini dalam usaha untuk memperbaiki budaya kerja di syarikat mereka termasuk menilai semula hubungan antara pekerja dan tindakan disiplin terhadap kes buli.

     Buat masa ini, siasatan masih berlangsung dan masyarakat Korea terus menanti keadilan untuk Oh Yoanna.

Catat Ulasan for "Tragedi Oh Yoanna: Skandal Buli Tempat Kerja yang Menggemparkan Dunia Penyiaran Korea!""