27 Tahun Hidup Sendirian di Hutan: Kisah Luar Biasa Christopher Knight

Christopher Thomas Knight dilahirkan pada 7 Disember 1965 di Maine, Amerika Syarikat. Dia membesar dalam sebuah keluarga yang sederhana dengan ibu bapa dan adik-beradiknya di Albion, sebuah pekan kecil. Keluarganya bukanlah jenis yang sosial di mana mereka jarang bercakap dengan jiran dan lebih suka hidup privasi. Christopher adalah seorang lelaki bijak yang cenderung kepada bidang elektronik. Selepas tamat sekolah menengah, dia bekerja dalam bidang pemasangan sistem keselamatan.
Namun pada tahun 1986 yakni ketika Christopher berusia 20 tahun memandu kereta milik keluarganya menuju ke kawasan terpencil di North Pond, Maine secara rahsia. Dia kemudian meninggalkan keretanya dan terus berjalan ke dalam hutan tanpa membawa peta, kompas atau peralatan ikhtiar hidup yang lengkap. Sejak hari itu, Christopher telah memutuskan hubungan dengan dunia luar termasuk keluarganya sendiri.

Dalam hutan tebal tersebut, Christopher menemui lokasi terpencil untuk dijadikan sebagai tempat tinggalnya. Dia telah mendirikan khemah kecil yang tersembunyi di celah-celah pokok dan batu besar supaya tidak mudah dikesan oleh penduduk tempatan sekitar. Pada musim sejuk yang ekstrem, suhu di kawasan situ boleh turun hingga -20°C. Christopher tidak pernah menyalakan api kerana takut asapnya dapat dilihat.
Christopher tidak memburu atau menangkap ikan. Dia sebaliknya menjadi seorang pencuri senyap dengan memecah masuk ke kabin dan rumah percutian berdekatan untuk mendapatkan bekalan seperti makann, minuman, pakaian dan keperluan asas lain. Semasa mencuri, Christopher sangat berhati-hati. Dia bahkan hanya mencuri sedikit barang supaya pemilik rumah tidak menyedari kehilangan barang itu dengan segera. Christopher turut memastikan dia tidak meninggalkan sebarang jejak seperti kesan tapak kaki atau pintu yang dipecahkan.

Penduduk sekitar mula menyedari kehilangan barangan mereka tetapi tiada siapa pernah melihat Christopher. Selama 27 tahun, dia telah menjadi legenda tempatan yang digelar sebagai "The North Pond Hermit", makhluk misteri yang dikatakan menghantui kawasan itu.
Selama hampir tiga dekad, Christopher tidak pernah bercakap dengan sesiapa kecuali sekali sahaja iaitu pada tahun 1990-an, ketika dia terserempak dengan seorang pejalan kaki di dalam hutan. Walau bagaimanapun, mereka hanya berborak ringkas sebelum Christopher beredar.
Penduduk tempatan akhirnya bosan dengan kehilangan barangan mereka lalu memasang sistem keselamatan di beberapa kabin. Pada 4 April 2013, Christopher seterusnya ditangkap ketika cuba mencuri makanan dari Pine Tree Camp, sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak kurang upaya. Kamera keselamatan merakam pergerakannya dan pihak polis pun tiba di lokasi untuk menangkapnya.

Sewaktu Christopher ditahan, dia kelihatan sangat bersih dan bercukur rapi sekaligus membuatkan polis terkejut dengan bagaimana dia mampu untuk hidup begitu lama di dalam hutan tanpa kehilangan akal atau jatuh sakit.
Selepas penangkapannya itu, Christopher mengaku telah melakukan lebih daripada 1,000 kes pecah masuk sepanjang 27 tahun hidup terasing dari dunia. Cuma harus diketahui, Christopher tidak pernah melakukan kekerasan kerana dia mencuri hanya untuk kelangsungan hidup dirinya sendiri.
Semasa proses perbicaraan, Christopher memberitahu,"Saya tidak tahu mengapa saya memilih kehidupan ini. Saya hanya merasa lebih selesa hidup terasing."
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman tujuh bulan penjara selain diperintahkan untuk menjalani kaunseling psikologi untuk membantunya menyesuaikan diri semula dalam masyarakat. Christopher dibebaskan pada 2014 dan kembali ke kehidupan biasa di Maine. Dia bagaimanapun berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri selepas bertahun-tahun hidup bersendirian.

Beberapa tahun berikutnya, seorang wartawan bernama Michael Finkel telah menulis buku " The Stranger in the Woods" yang mendokumentasikan kisah hidup Christopher secara mendalam berdasarkan temu bual eksklusif dengannya. Berdasarkan pengakuannya sendiri, Christopher berkata bahawa dia memang sengaja menghilangkan diri akan tetapi dia tidak dapat memberikan sebab yang jelas.
Christopher kini menjalani kehidupan yang tertutup dan jarang berhubung dengan orang luar. Dia juga tidak tertarik dengan teknologi moden dan dilaporkan lebih suka hidup dalam keadaan yang sangat sederhana walaupun dia tidak lagi tinggal di dalam hutan.
Catat Ulasan for "27 Tahun Hidup Sendirian di Hutan: Kisah Luar Biasa Christopher Knight"