Kisah Wanita Terbang ke Pakistan Demi Cinta, Ditolak Kekasih & Enggan Pulang!

Pada 11 Oktober 2024, seorang wanita berusia 33 tahun dari New York, Amerika Syarikat iaitu Onijah Andrew Robinson telah tiba di Karachi, Pakistan pada 11 Oktober 2024 dengan niat ingin berkahwin dengan seorang pemuda berusia 19 tahun bernama Nidal Ahmed Memon yang dikenalinya melalui internet.
Namun apa yang berlaku kemudian adalah keluarga Nidal tidak merestui hubungan tersebut. Disebabkan itu, Nidal memutuskan untuk meninggalkan Onijah hingga menyebabkan wanita terbabit terkontang-kanting di negara itu. Onijah yang enggan menerima hakikat memilih untuk tetap tinggal di Karachi selain berusaha mencari jalan untuk hidup bersama dengan Nidal.

Pada awalnya, Onijah menghabiskan masa hari-harinya duduk menunggu di luar apartmen Nidal. Keadaan yang tidak menentu akhirnya memaksa Onijah mencari perlindungan di Chhipa Welfare Association yakni sebuah pertubuhan kebajikan membantu orang dalam kesusahan di Pakistan.
Keadaan Onijah semakin membimbangkan apabila dia dipindahkan ke wad psikiatri di Jinnah Postgraduate Medical Centre kerana disyaki mempunyai masalah mental.
Pada bulan Januari 2025, kisah Onijah mula mendapat perhatian luas selepas Zafar Abbas Jafri dari JDC Foundation berkongsi video mengenai dirinya. Dalam video tersebut, Zafar mendakwa bahawa Onijah telah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah selama beberapa hari tanpa sebarang hala tuju.
Lebih mengejutkan apabila Onijah muncul dalam beberapa sidang media di mana dia membuat pelbagai tuntutan yang mengejutkan. Salah satu tuntutan Onijah yang menjadi kontroversi adalah permintaannya untuk diberikan sejumlah wang yang besar bagi "membangunkan semula" Pakistan.

Situasi menjadi semakin rumit apabila visa Onijah tamat tempoh. Visanya itu kemudian dilanjutkan tempoh buat sementara waktu atas dasar kemanusiaan oleh pihak berkuasa Pakistan. Onijah turut diberikan tiket penerbangan percuma untuk pulang semula ke Amerika Syarikat. Dia pada mulanya enggan meninggalkan Pakistan sebelum akhirnya terpaksa akur berbuat sedemikian pada 7 Februari 2025.
Ada yang percaya bahawa Onijah enggan meninggalkan Pakistan kerana masih berharap dapat bersama Nidal. Ada juga yang berpendapat bahawa Onijah sebenarnya mengalami gangguan mental yang menyebabkan dia tidak mahu kembali ke kehidupannya di Amerika Syarikat.
Catat Ulasan for "Kisah Wanita Terbang ke Pakistan Demi Cinta, Ditolak Kekasih & Enggan Pulang!"