Kisah Kematian Omayra Sanchez yang Benar-Benar Menyedihkan

Pada 13 November 1985, gunung berapi Nevado del Ruiz di Colombia telah meletus. Letusan tersebut direkod sebagai salah satu bencana alam paling dahsyat dalam sejarah negara itu. Letusan tersebut mengakibatkan aliran lahar yang deras menuju ke bandar kecil Armero yang terletak kira-kira 48 kilometer dari gunung tersebut. Lumpur panas yang bercampur dengan batu dan serpihan gunung berapi mengalir dengan pantas hingga meratakan bandar itu pada masa singkat serta meragut hampir 23,000 nyawa daripada kira-kira 29,000 penduduknya. Di tengah-tengah kemusnahan ini, kisah seorang gadis berusia 13 tahun bernama Omayra Sanchez menjadi perhatian dunia.
Gunung Nevado del Ruiz telah menunjukkan tanda-tanda peningkatan aktiviti sejak awal tahun 1985 tetapi pihak berkuasa Colombia gagal mengambil langkah sewajarnya untuk memindahkan penduduk. Amaran daripada pakar gunung berapi diabaikan dan walaupun terdapat gegaran kecil serta letusan kecil beberapa bulan sebelum itu, tiada tindakan drastik diambil. Ketika letusan berlaku, glasier di puncak gunung mencair hingga menyebabkan aliran lahar yang membawa kemusnahan besar ke lembah di bawah.

Apabila lahar menghentam Armero, rumah-rumah musnah dalam sekelip mata. Lumpur setebal beberapa meter menenggelamkan bandar itu hingga meninggalkan hanya sisa-sisa bangunan yang terkeluar dari permukaan lumpur. Ribuan orang maut serta-merta manakala sebahagian lagi terperangkap di bawah runtuhan dan lumpur tanpa keupayaan untuk menyelamatkan diri.
Di tengah-tengah keadaan yang huru-hara itu, Omayra Sachez ditemui oleh pasukan penyelamat dalam keadaan tersepit di bawah runtuhan rumahnya. Kakinya dihimpit oleh kayu dan batu bata, menghalangnya daripada bergerak. Jasad abangnya yang telah meninggal dunia berada berhampiran dengannya. Walaupun mengalami kesakitan dan keletihan, Omayra masih sedar dan mampu berbual dengan pasukan penyelamat serta wartawan yang mula tiba di lokasi kejadian.

Selama hampir tiga hari, Omayra bertahan di dalam lumpur tanpa makanan dan minuman yang mencukupi. Pasukan penyelamat berusaha untuk mengeluarkannya tetapi menghadapi pelbagai cabaran. Lumpur yang mengeras di sekelilingnya menyukarkan pergerakan dan ketiadaan peralatan berat membuatkan mereka tidak dapat mengangkat runtuhan tanpa membahayakan dirinya. Seorang doktor yang berada di tempat kejadian mendapati bahawa satu-satunya cara untuk menyelamatkan Omayra adalah dengan memotong kakinya tetapi mereka tidak mempunyai peralatan pembedahan yang sesuai untuk melakukannya dengan selamat.
Keadaan Omayra semakin merosot apabila hipotermia, keletihan dan jangkitan mula menyerang tubuhnya. Matanya yang sebelum ini cerah mula menjadi merah kehitaman dan bengkak. Dia juga semakin sukar untuk bercakap. Namun dalam saat-saat terakhirnya, Omayra tetap berusaha untuk tersenyum dan bercakap dengan mereka di sekelilingnya. Dia ada menyebut tentang impiannya untuk kembali ke sekolah dan mengambil peperiksaan. Pada pagi 16 November 1985 yakni selepas hampir 60 jam bertarung nyawa, Omayra akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya.

Gambar terakhir Omayra dengan matanya yang kehitaman, wajahnya yang pucat dan bibirnya yang pecah-pecah akibat dehidrasi diambil oleh jurugambar bernama Frank Fournier telah menjadi salah satu imej paling ikonik dalam sejarah kewartawanan. Rambutnya yang basah dan kusut melekat di dahinya menunjukkan keletihan melampau selepas hampir 60 jam terperangkap dalam lumpur. Tangannya yang kedut dan kecut akibat rendaman berpanjangan dalam air berlumpur menambah lagi gambaran penderitaan yang dialaminya. Apabila gambar ini tersebar ke seluruh dunia, ia mencetuskan gelombang kemarahan dan kekecewaan terhadap pihak berkuasa Colombia yang gagal memberikan bantuan kecemasan yang berkesan kepada penduduk Armero.
Ramai pihak berpendapat bahawa Omayra boleh diselamatkan sekiranya bantuan lebih pantas diberikan dan peralatan yang mencukupi disediakan. Kekurangan alat berat untuk mengangkat runtuhan, ketiadaan tenaga pakar perubatan yang mencukupi dan kelewatan bantuan antarabangsa menyebabkan ribuan nyawa terkorban dengan cara yang menyayat hati. Omayra adalah salah seorang daripada mangsa yang terbiar tanpa bantuan sewajarnya. Tugu peringatan telah didirikan di lokasi bekas bandar Armero untuk mengenang mangsa-mangsa yang terkorban termasuk Omayra.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Omayra Sanchez yang Benar-Benar Menyedihkan"