Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Timothy Treadwell dan Amie Huguenard (2003) – “The Grizzly Man”

     Timothy Treadwell ialah seorang pencinta alam dan aktivis hidupan liar yang menghabiskan lebih daripada 13 tahun hidup di antara beruang grizzly di Taman Negara dan Rizab Katmai, Alaska. Dia dan teman wanitanya, Amie Huguenard akhirnya dibunuh dan dimakan oleh beruang yang mereka cuba lindungi.

     Timothy dilahirkan pada tahun 1957 di New York dan membesar sebagai seorang lelaki biasa. Menginjak usia dewasa, dia mengalami ketagihan dadah dan alkohol. Setelah mendakwa hampir mati akibat overdosis heroin, Timothy mendakwa menemui “panggilan hidupnya” dalam melindungi beruang grizzly. Sejak itu, dia berhenti daripada gaya hidup lamanya dan mengabdikan diri untuk mengkaji dan mendokumentasikan kehidupan beruang liar di Katmai.


     Timothy bukan ahli biologi terlatih tetapi dia percaya bahawa dia memahami bahasa dan tingkah laku beruang. Timothy sering mendekati beruang secara dekat dan memberi nama kepada setiap ekor beruang yang ditemuinya. Dia juga menentang pemburuan beruang dan percaya bahawa beruang oleh mempercayai manusia jika manusia mempercayai beruang. 

     Namun ramai pakar hidupan liar mengkritik kaedah Timothy dengan menyatakan bahawa tindakannya tidak bertanggungjawab dan berbahaya. Dia bukan saja tidak menggunakan sebarang senjata atau semburan lada untuk melindungi diri bahkan menolak langkah keselamatan yang disyorkan oleh pihak taman.


     Pada musim panas tahun 2003, Timothy kembali ke Katmai untuk musim ke-13. Kali ini dia ditemani oleh teman wanitanya iaitu Amie Huguenard ya g juga merupakan seorang doktor dari Colorado yang berkongsi kecintaannya terhadap alam semula jadi.

     Mereka berdua sepatutnya meninggalkan kawasan itu lebih awal pada bulan September tetapi pasangan tersebut memutuskan untuk tinggal lebih lama sehingga awal Oktober disebabkan masalah tiket penerbangan. Waktu ini, kebanyakan beruang yang biasa mereka temui telah mula bersiap untuk hibernasi. Namun beruang-beruang baru yang lebih agresif dan tidak biasa dengan kehadiran manusia mula berkeliaran di kawasan itu kerana kekurangan makanan. 


     Pada petang 5 Oktober, Timothy dan Amie berada di dalam khemah mereka berhampiran Sungai Kaflia. Menurut rakaman yang ditemui kemudian yakni pada sekitar jam 6 petang, seekor beruang grizzly besar yang tidak dikenali (dipercayai beruang kelaparan yang baru tiba di kawasan itu) mula berkeliaran di sekitar khemah mereka. Timothy dipercayai cuba menghalau beruang itu dengan kaedahnya sendiri tetapi tidak berjaya berbuat sedemikian. Tidak lama kemudian, beruang itu menyerang dengan ganas. Kamera mereka yang pada masa itu sedang berada dalam mod rakaman audio tetapi tanpa lensa terbuka secara tidak sengaja merakam detik-detik terakhir pasangan itu.

     Dalam rakaman tersebut, Timothy boleh didengari menjerit meminta Amie memukul beruang dengan kuali untuk menghalangnya. Jeritannya bagaimanapun berubah menjadi jeritan kesakitan apabila beruang itu menggigit dan menariknya keluar dari khemah. Amie yang panik cuba menyelamatkan Timothy tetapi tidak berdaya. Dia hanya mampu menjerit ketakutan ketika serangan tersebut berterusan selama beberapa minit sebelum akhirnya beruang itu membunuhnya juga. Rakaman ini berlangsung selama kira-kira 6 minit tetapi tiada sesiapa yang melihatnya kerana hanya audio yang dirakam.

     Keesokan paginya, juruterbang yang sepatutnya menjemput mereka melihat sesuatu yang mencurigakan di kawasan khemah mereka. Apabila dia mendarat dan menghampiri khemah, dia menemui mayat mereka yang telah dicarik dan sebahagiannya dimakan. Bahagian tubuh mereka berselerak menunjukkan bahawa beruang itu telah mengheret mereka ke beberapa lokasi berbeza.


     Pasukan penyiasat seterusnya datang dan menemui seekor beruang besar yang masih berada di sekitar kawasan itu. Beruang tersebut bertindak agresif dan akhirnya ditembak mati oleh renjer taman. Pemeriksaan perut beruang itu mengesahkan bahawa ia telah memakan sebahagian besar sisa manusia termasuk pakaian dan tulang mereka.

     Semasa memeriksa khemah, penyiasat menemui kamera yang merakam audio insiden itu. Walaupun rakaman tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum, beberapa individu yang mendengarnya menggambarkannya sebagai sangat mengerikan. Werner Herzog, seorang pengarah filem dokumentari yang menghasilkan filem Grizzly Man berdasarkan kisah Timothy telah mendengar rakaman itu tetapi menasihatkan pemilik rakaman agar tidak pernah menyiarkannya kerana terlalu mengerikan.

Catat Ulasan for "Kisah Timothy Treadwell dan Amie Huguenard (2003) – “The Grizzly Man”"