Pembunuhan Terancang Dalam Keluarga Hosoya
Kes pasangan Kenichi dan Shiho Hosoya merupakan antara kes pembunuhan bersiri paling menggemparkan di Jepun dalam dekad ini. Pasangan yang kelihatan seperti keluarga biasa dari Tokyo ini sebenarnya menyimpan rahsia gelap melibatkan siri pembunuhan kejam terhadap ahli keluarga terdekat mereka sendiri termasuk seorang anak kecil berusia empat tahun.
Kenichi Hosoya berusia 43 tahun ketika ditahan dan isterinya Shiho Hosoya, 38 tahun, merupakan pengusaha sebuah penginapan tradisional Jepun (ryokan) di Asakusa, Tokyo. Selain itu, mereka turut menguruskan syarikat penginapan milik keluarga yang dikenali sebagai Hosoya Sangyo. Pasangan ini dilihat berjaya dalam bidang perniagaan dan tinggal bersama tiga anak mereka di sebuah apartmen mewah berhampiran kawasan pelancongan terkenal, kuil Sensoji. Namun di sebalik kehidupan yang tampak sempurna itu, tersembunyi perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Siri pembunuhan bermula dengan kematian ibu Kenichi, Yaeko Hosoya pada Januari 2018. Ketika itu, Yaeko dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang. Walau bagaimanapun, hasil siasatan forensik mendedahkan bahawa tubuhnya mengandungi kesan etilena glikol, sejenis bahan toksik yang lazimnya digunakan dalam cecair antibeku. Bahan ini dipercayai telah diberikan secara berterusan dalam tempoh beberapa bulan sebelumnya iaitu dari Ogos 2017 hingga awal Januari 2018. Hubungan dingin antara Shiho dan ibu mentuanya didakwa menjadi salah satu punca motif pembunuhan ini.
Tidak lama kemudian, kematian kedua berlaku pada April 2018 melibatkan kakak Kenichi, Minako Hosoya yang ketika itu berusia 41 tahun. Pada mulanya, kematian Minako tidak menimbulkan syak wasangka memandangkan tiada tanda-tanda jelas yang mencurigakan. Cuma selepas kematian anak Kenichi pada tahun 2023, pihak berkuasa menjalankan semula ujian toksikologi ke atas organ Minako dan mendapati kehadiran etilena glikol yang sama. Ini menunjukkan bahawa kaedah pembunuhan yang digunakan adalah konsisten dan telah dirancang rapi.

Kematian ketiga berlaku tidak lama selepas itu iaitu pada Jun 2018 melibatkan bapa Kenichi, Isamu Hosoya. Isamu meninggal dunia di hospital akibat sepsis tetapi seperti dalam kes sebelumnya, siasatan forensik kemudiannya mengesahkan bahawa dia juga diracun dengan etilena glikol. Bahan tersebut dipercayai diberikan semasa Isamu menjalani rawatan di hospital dan juga ketika berada di kediamannya. Setelah kematian Isamu, Kenichi mengambil alih pengurusan syarikat keluarga dan hanya sebulan kemudian, Shiho turut dilantik sebagai pengarah syarikat. Peralihan kuasa yang drastik ini menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa khususnya apabila dikaitkan dengan kematian misteri tiga ahli keluarga terdekat secara berturut-turut dalam tempoh singkat.
Kemuncak kepada jenayah kejam pasangan ini adalah kematian tragis anak perempuan mereka sendiri, Yoshiki Hosoya yang baru berusia empat tahun. Pada Mac 2023, Yoshiki dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Autopsi yang dijalankan ke atas mayat mangsa mendapati terdapat kesan etilena glikol dan juga olanzapine yakni sejenis ubat antipsikotik dalam tubuhnya. Lebih mencurigakan, ubat tersebut tidak pernah direkodkan sebagai preskripsi rasmi kepada Yoshiki dan disiasat telah diperoleh secara haram daripada laman web luar negara. Penemuan ini akhirnya membawa kepada penahanan pasangan Hosoya dan membuka semula penyiasatan terhadap kematian tiga ahli keluarga terdahulu.
Selain tuduhan membunuh, Kenichi dan Shiho juga berdepan dengan dakwaan penipuan insurans. Mereka disyaki memalsukan dokumen kematian dan menuntut pampasan insurans bernilai kira-kira ¥26 juta (bersamaan hampir RM830 000) berikutan kematian ibu, bapa dan kakak Kenichi. Penipuan ini memperkukuh motif jenayah sebagai berpunca daripada dorongan kewangan dan kuasa dalam keluarga. Pasangan tersebut dipercayai telah merancang pembunuhan untuk menyingkirkan ahli keluarga yang menjadi penghalang kepada cita-cita mereka menguasai sepenuhnya perniagaan keluarga.

Lebih menyedihkan, kes ini turut mendedahkan kelemahan serius dalam sistem perlindungan kanak-kanak di Jepun. Pusat perlindungan kanak-kanak Taito Ward dilaporkan telah menerima sekurang-kurangnya lima aduan berkenaan kecederaan dan pengabaian terhadap Yoshiki dalam tempoh beberapa tahun sebelum kematiannya. Malah Yoshiki pernah ditempatkan di bawah jagaan perlindungan sebelum dikembalikan semula kepada ibu bapanya. Kegagalan sistem ini mengambil tindakan yang tegas dan konsisten akhirnya membawa kepada tragedi yang tidak sepatutnya berlaku.
Reaksi masyarakat Jepun terhadap kes ini amat mengejutkan dan penuh emosi. Rakyat negara itu bukan sahaja marah terhadap tindakan kejam pasangan Hosoya tetapi juga kecewa terhadap kelemahan sistem sosial yang seharusnya melindungi mangsa, khususnya kanak-kanak. Pakar psikologi dan peguam kanak-kanak di Jepun menyeru kepada reformasi dalam dasar perlindungan keluarga dan memperketatkan pengawasan terhadap ibu bapa yang dilaporkan melakukan penderaan.
Catat Ulasan for "Pembunuhan Terancang Dalam Keluarga Hosoya"