Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES PEMBUNUHAN LARISSA RODRIGUES


     Pada 22 Mac 2025 bertempat di sebuah kediaman di Ribeirao Preto, Sao Paulo, Brazil, Larissa Rodrigues iaitu seorang wanita berusia 37 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik mandi rumahnya. Suaminya, Dr. Luiz Antonio Garnica, seorang pakar ortopedik dan perubatan sukan yang dihormati di bandar itu mendakwa bahawa isterinya tiba-tiba rebah dan pengsan ketika sedang mandi. Lelaki itu turut memberitahu bahawa dia cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum menghubungi perkhidmatan kecemasan. Namun apabila pasukan perubatan tiba di lokasi, mereka berasa ada sesuatu yang tidak kena. Tubuh Larissa sudah menunjukkan tanda-tanda rigor mortis iaitu kekakuan mayat yang biasanya hanya berlaku beberapa jam selepas seseorang meninggal dunia. Ini menimbulkan syak wasangka awal bahawa waktu kematian Larissa tidak sepadan dengan masa panggilan kecemasan yang dibuat suaminya.

     Siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihak berkuasa menemui pelbagai petunjuk mencurigakan. Antara yang paling menonjol ialah keputusan autopsi serta ujian toksikologi yang mengesahkan bahawa Larissa meninggal dunia akibat keracunan chumbinho, sejenis racun tikus yang amat toksik dan telah diharamkan penggunaannya di Brazil sejak bertahun-tahun lalu. Mangsa dipercayai menunjukkan simptom-simptom awal seperti muntah, cirit-birit dan sakit perut. Semua ini sejajar dengan kesan keracunan bahan kimia berbahaya. Ini memberi isyarat jelas bahawa kematian Larissa bukan satu kemalangan biasa tetapi mungkin dirancang dengan penuh teliti.

     Pihak polis kemudian mula menggali latar belakang kehidupan peribadi pasangan itu. Hasil siasatan mendapati bahawa rumah tangga mereka sedang bergolak hebat khususnya selepas Larissa menemui bukti-bukti yang menunjukkan suaminya sedang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain. Mangsa dikatakan telah menjumpai mainan seks dan resit-resit mencurigakan di dalam kereta suaminya. Hasil temu bual bersama kenalan rapat Larissa turut mendedahkan bahawa mangsa berada dalam keadaan tertekan dan kecewa dalam minggu-minggu terakhir hidupnya. Pertengkaran demi pertengkaran berlaku antara mereka dan hubungan pasangan itu dilaporkan semakin tegang.

     Apa yang lebih mengejutkan ialah keterlibatan ibu mentua mangsa, Elizabete Arrabaca, dalam konspirasi ini. Berdasarkan bukti yang dikumpulkan, Elizabete didapati telah menghubungi seorang pekerja ladang untuk mendapatkan maklumat mengenai pembelian chumbinho hanya beberapa minggu sebelum kematian menantunya. Ini menimbulkan kecurigaan bahawa dia mungkin berperanan dalam merancang atau membantu melaksanakan jenayah tersebut. Tambahan pula, Elizabete adalah individu terakhir yang berinteraksi secara langsung dengan Larissa sebelum mangsa menemui ajal.

     Pada 6 Mei 2025, pihak polis akhirnya menahan Dr. Luiz Garnica dan ibunya, Elizabete selepas bukti yang dikumpulkan mengaitkan mereka secara langsung dengan kes pembunuhan ini. Penahanan preventif dikenakan ke atas kedua-dua suspek atas alasan mereka boleh mengganggu siasatan sekiranya dibebaskan. Pendakwa raya menyifatkan kes ini sebagai satu jenayah kejam yang melibatkan manipulasi emosi, penipuan dan perancangan terperinci untuk menamatkan riwayat seseorang demi kepentingan peribadi.

     Siasatan turut diperluaskan kepada wanita yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan Dr. Garnica. Rakaman kamera CCTV menunjukkan pasangan itu menonton wayang bersama-sama pada malam sebelum Larissa meninggal dunia sekali gus menambah lagi beban kecurigaan terhadap motif dan peranan wanita tersebut. Pihak polis juga telah merampas telefon bimbit milik semua individu yang terlibat untuk dianalisis termasuk telefon milik mangsa bagi meneliti sebarang mesej, rakaman suara atau perbualan yang boleh menjadi bukti tambahan.

     Dalam satu lagi perkembangan yang tidak dijangka, pihak berkuasa kini sedang menyiasat semula kematian Nathalia Garnica, adik perempuan Dr. Garnica yang meninggal dunia pada Februari 2025 akibat serangan jantung. Walaupun pada ketika itu kematiannya dilaporkan sebagai kes biasa, kini terdapat keraguan bahawa ia mungkin mempunyai kaitan dengan modus operandi racun yang sama.

Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN LARISSA RODRIGUES"