Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEHILANGAN DUA KANAK-KANAK DI NOVA SCOTIA

 

     KANADA - Kehilangan dua beradik, Lily Sullivan (6 tahun) dan Jack Sullivan (4  tahun) di kawasan pedalaman Lansdowne Station, Nova Scotia kini mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan penduduk tempatan dan seluruh Kanada. Kes yang pada awalnya disifatkan sebagai kehilangan biasa kini diklasifikasikan oleh Polis Diraja Kanada (RCMP) sebagai mencurigakan apabila siasatan awal dan pencarian selama beberapa hari tidak menemui sebarang petunjuk yang signifikan.

     Kedua-dua kanak-kanak itu kali terakhir dilihat di rumah mereka sekitar jam 10 pagi oleh ibu mereka iaitu Malehya Brooks-Murray dan bapa tiri, Daniel Martell. Pasangan tersebut mendakwa bahawa Lily dan Jack dipercayai keluar dari rumah mereka sendiri ketika mereka sedang tidur bersama anak bongsu mereka yang berusia 16 bulan. Rumah keluarga ini terletak di kawasan terpencil, dikelilingi hutan tebal, belukar dan tanah lembap yang terkenal dengan rupa bumi mencabar.

     Operasi mencari dan menyelamat digerakkan sejurus laporan polis dibuat. RCMP mengetuai operasi besar-besaran yang melibatkan lebih 160 anggota keselamatan dan sukarelawan termasuk penggunaan anjing pengesan, pasukan berkuda, dron udara dan helikopter. Pencarian dilakukan dalam radius beberapa kilometer dari rumah mereka termasuk kawasan sungai, belukar dan tanah berbukit. Namun selepas lebih 72 jam, tiada jejak yang signifikan ditemui kecuali satu kesan tapak kaki kecil yang dipercayai milik salah seorang kanak-kanak itu ditemui berhampiran kawasan rumah.

     Menurut jurucakap RCMP, operasi pencarian berdepan cabaran besar termasuk cuaca buruk, kabus tebal dan suhu rendah yang boleh membahayakan nyawa jika kanak-kanak terperangkap di luar terlalu lama. Kawasan yang dicari juga terdiri daripada laluan sukar menyebabkan usaha pencarian menjadi lambat dan berisiko.

     Pada 3 Mei, Unit Jenayah Utama RCMP mula mengambil alih kes ini sekali gus menandakan perubahan dalam arah siasatan. Polis menyatakan bahawa beberapa elemen dalam kes ini menimbulkan keraguan seperti ketiadaan sebarang petunjuk fizikal selepas pencarian intensif serta keterangan saksi yang belum menyeluruh. Keluarga kanak-kanak itu turut disoal siasat berulang kali bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang apa yang berlaku sebelum kehilangan.

     Jurucakap RCMP, Inspektor Rob Frizzell dalam satu sidang media pada 7 Mei berkata,

"Kami tidak lagi menganggap ini sebagai kes kanak-kanak sesat. Kami sedang menyiasat pelbagai kemungkinan termasuk penglibatan pihak ketiga atau unsur jenayah lain. Walaupun kami belum menamakan sebarang suspek, kami tidak mengetepikan sebarang kemungkinan."

     Media tempatan turut melaporkan bahawa rumah keluarga Sullivan diperiksa beberapa kali oleh forensik termasuk mengambil bahan bukti daripada dalam dan luar rumah. Walau bagaimanapun, polis masih belum mengesahkan jika terdapat sebarang unsur jenayah yang berlaku di lokasi kejadian. Tambahan pula, tiada laporan tentang saksi yang melihat kanak-kanak itu berjalan keluar dari rumah atau kehadiran individu mencurigakan di kawasan kejiranan.

     Komuniti tempatan turut memainkan peranan dalam membantu pencarian. Ramai penduduk kampung dan sukarelawan dari bandar berhampiran turun padang untuk membantu usaha pencarian di kawasan hutan tetapi kebanyakan mereka mengakui bahawa kawasan itu amat sukar untuk diterokai. “Kawasan ini sangat padat dan jika mereka sesat sekalipun, kami patut jumpa sesuatu. Tapi langsung tak ada apa-apa,” kata salah seorang sukarelawan.

     Sementara itu, pihak berkuasa telah mengurangkan skala pencarian lapangan selepas hampir seminggu tanpa hasil tetapi siasatan jenayah diteruskan secara intensif. RCMP meminta mana-mana pihak yang mungkin melihat Lily dan Jack atau mempunyai maklumat walaupun kecil untuk tampil segera. Talian khas juga telah dibuka untuk memudahkan maklumat disalurkan.

     Sehingga kini, tiada perkembangan baharu diumumkan oleh pihak berkuasa. Harapan untuk menemui kedua-dua beradik itu dalam keadaan selamat semakin tipis. Walau bagaimanapun, keluarga mereka masih merayu kepada sesiapa sahaja yang mungkin tahu sesuatu untuk tampil membantu.

    “Kami hanya mahu anak-anak kami pulang,” kata Malehya Brooks-Murray dalam satu temubual ringkas sambil menahan air mata.

Catat Ulasan for "MISTERI KEHILANGAN DUA KANAK-KANAK DI NOVA SCOTIA"