KISAH KEMATIAN HEDVIGA GOLIK YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN
![]() |
Gambar sekadar hiasan |
Pada tahun 2008, satu kisah tragis yang mengejutkan dunia telah ditemui di sebuah apartmen kecil di Zagreb, ibu negara Croatia. Kisah ini bukan tentang pembunuhan bersiri, rompakan kejam atau bencana alam tetapi tentang seorang wanita biasa yang mati bersendirian di rumahnya tanpa sesiapa pun menyedari kehilangannya selama lebih 40 tahun. Nama wanita itu ialah Hedviga Golik.
Hedviga Golik dilahirkan pada tahun 1924. Tidak banyak maklumat diketahui tentang kehidupan peribadinya tetapi berdasarkan rekod dan keterangan jiran tetangga, dia hidup secara bersederhana dan lebih suka menyendiri. Hedviga tidak mempunyai pasangan, anak dan hubungan rapat dengan mana-mana individu yang diketahui. Dia tinggal di sebuah apartmen kecil di kawasan perumahan di Zagreb. Jiran-jirannya menggambarkannya sebagai wanita yang tidak banyak bercakap dan jarang melibatkan diri dalam kegiatan kejiranan. Walau bagaimanapun, Hedviga bukanlah orang yang bermasalah kerana dia hanya seorang wanita tua yang memilih untuk hidup dalam dunianya sendiri.
Pada sekitar awal tahun 1960-an, Hedviga mula tidak kelihatan. Kehilangannya tidak menimbulkan tanda tanya besar. Jiran-jiran menganggap bahawa wanita tua itu telah berpindah ke rumah jagaan warga emas atau mungkin ke kampung halaman. Pada waktu itu, tiada siapa melaporkan kehilangannya kepada pihak berkuasa. Hidupnya yang sunyi menyebabkan kematiannya juga tidak disedari. Lagipun pada era pemerintahan Yugoslavia ketika itu, sistem pentadbiran dan pengurusan kediaman tidak begitu cekap atau tersusun. Tiada penyelarasan antara pihak perumahan, pengurusan bandar dan pendaftaran penduduk. Maka kehilangan Hedviga terus lenyap dalam senyap tanpa satu pun laporan rasmi dibuat.
Hampir separuh abad berlalu. Bangunan yang didiaminya terus dihuni oleh penduduk lain tetapi unit apartmen Hedviga kekal terkunci. Tiada siapa berani atau berusaha untuk memasuki kediaman itu. Hinggalah pada tahun 2008, pihak berkuasa bandar Zagreb membuat keputusan untuk menyita apartmen-apartmen lama yang sudah tidak dibayar sewa selama bertahun-tahun. Apartmen Hedviga tersenarai sebagai salah satu unit yang ingin dibersihkan dan dibuka semula untuk tujuan pemilikan semula oleh bandar.
Apabila pegawai perbandaran dan polis membuka pintu apartmen itu buat kali pertama selepas lebih empat dekad, mereka disambut dengan pemandangan yang mengerikan dan menyayat hati. Di ruang tamu, segala-galanya masih dalam keadaan seperti zaman 1960-an. Perabot lama tidak berubah, cawan teh masih berada di atas meja dan surat khabar yang bertarikh lebih 40 tahun dahulu masih tersusun di rak. Televisyen model lama masih diletakkan di tempat asal dan habuk menebal di setiap sudut rumah. Di atas sebuah kerusi rotan yang menghadap televisyen yang sudah lama tidak berfungsi, terdapat satu rangka manusia lengkap dengan pakaian lusuh yang telah reput.
Pemeriksaan forensik mengesahkan bahawa rangka itu ialah milik Hedviga Golik. Tiada tanda-tanda jenayah atau pencerobohan. Berdasarkan siasatan, besar kemungkinan Hedviga meninggal dunia secara semula jadi ketika sedang duduk menonton televisyen. Tubuhnya tidak pernah disentuh, tidak pernah dialihkan dan tiada siapa pun mengetahui wanita itu sudah tiada.
Penemuan ini mencetuskan pelbagai persoalan yang mengejutkan. Bagaimana mungkin bau mayat tidak dihidu oleh sesiapa selama berminggu apatah lagi bertahun-tahun? Adakah sistem ventilasi bangunan ketika itu menyebabkan bau tidak tersebar? Bagaimana pula pihak perumahan tidak mengesan ketiadaan bayaran sewa atau bil utiliti selama puluhan tahun? Apakah rekod pemilikan dan identiti tidak disemak oleh pihak bandar raya? Paling menyayat hati, bagaimana mungkin seorang manusia boleh mati bersendirian dan dilupakan oleh seluruh dunia?
Kematian Hedviga bukan sahaja membangkitkan rasa bersalah dalam masyarakat bahkan turut mendorong pihak berkuasa Croatia untuk menyemak semula sistem pemantauan penduduk warga emas dan mereka yang tinggal bersendirian. Sejak kejadian itu, banyak kempen kesedaran telah dijalankan untuk menggalakkan masyarakat agar lebih peka terhadap jiran tetangga, khususnya warga emas yang hidup sendiri.
Kisah Hedviga Golik ini seakan-akan menyerupai kes Joyce Carol Vincent iaitu seorang wanita di London yang turut ditemui sudah meninggal dunia di dalam apartmennya selepas bertahun-tahun tanpa sesiapa menyedari kehilangannya. Kedua-duanya meninggal dalam keadaan sunyi dan terasing tanpa disedari sesiapa pun. Kisah penuh Joyce Carol Vincent ini boleh baca di si sini : Kisah Kematian Joyce Carol Vincent yang Benar-Benar Menyedihkan
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN HEDVIGA GOLIK YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "