KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ZHANG YUQING

Tahun 2018, Zhang Yuqing ialah seorang wanita muda berusia 24 tahun yang juga merupakan pelakon dan pelajar berbakat dari China. Dia sedang menuntut di Akademi Seni Yunnan dan memiliki masa depan yang sangat cerah dalam bidang seni lakon. Sejak kecil, Zhang yang dikenali sebagai pelajar pintar dan rajin dibesarkan oleh ibunya selepas penceraian ibu bapanya. Dia juga mula mencipta nama dalam dunia lakonan setelah membintangi filem pendek berjudul Cut Love yang memberi perhatian ramai terhadap bakatnya. Di samping kejayaannya, Zhang juga sedang merancang untuk berkahwin dengan tunangnya dan majlis perkahwinan mereka dijangka berlangsung dalam masa dua bulan. Segalanya tampak sempurna sehinggalah tragedi yang meragut nyawanya secara kejam.
Pada 15 Jun 2018, Zhang Yuqing memaklumkan kepada tunangnya bahawa dia akan ke sebuah salon rambut di dalam kawasan kampus untuk mencuci rambut. Salon kecil itu diusahakan oleh seorang pendandan lelaki bernama Huang. Zhang bagaimanapun tidak pernah pulang selepas itu. Beberapa jam kemudian, tunangnya menerima mesej daripada telefon Zhang yang menyatakan bahawa dia keluar untuk membaiki telefon dan tidak perlu dicari. Namun mesej tersebut tampak mencurigakan kerana gaya bahasa itu tidak seperti kebiasaannya. Tunangnya yang sudah mengenali corak komunikasi Zhang, mula berasa bimbang dan mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku.

Keesokan harinya, polis menerima laporan tentang penemuan mayat wanita muda di tepi sungai berhampiran padang bola sepak kampus. Mayat tersebut dikenal pasti sebagai Zhang Yuqing. Keadaan fizikal mangsa amat menyayat hati. Wajahnya telah dicacatkan dengan teruk dipercayai untuk menyukarkan pengecaman. Lehernya terdapat kesan cekikan dan terdapat juga kesan serangan fizikal yang kasar. Penemuan ini mengejutkan seluruh komuniti universiti, apatah lagi apabila diketahui mangsa baru sahaja ke salon kampus sebelum kejadian. Polis segera melancarkan siasatan penuh terhadap semua individu yang ada kaitan dengan pergerakan terakhir Zhang dan semestinya perhatian tertumpu kepada Huang, pendandan rambut yang kali terakhir dilihat bersama mangsa.
Setelah disoal siasat, Huang akhirnya mengaku bahawa dia telah membunuh Zhang Yuqing. Menurut keterangan awalnya, Huang mengaku bahawa berlaku pergaduhan antara mereka yang menyebabkan kematian Zhang secara tidak sengaja. Namun siasatan lanjut mendapati bahawa pembunuhan ini bukan dilakukan secara spontan atau tidak sengaja. Huang dipercayai telah merancang serangan tersebut dan terdapat juga dakwaan bahawa Zhang menjadi mangsa serangan seksual sebelum dibunuh. Selepas membunuhnya, Huang mencacatkan wajah mangsa, menghantar mesej palsu menggunakan telefon Zhang untuk mengelirukan tunangnya lalu membuang mayat ke sungai berhampiran.

Siasatan forensik turut menunjukkan cubaan Huang untuk menghapuskan bukti jenayah termasuk pembersihan tempat kejadian dan penghapusan data telefon. Penemuan bukti digital seperti rakaman CCTV, data lokasi telefon serta analisis cap jari mengukuhkan lagi kes terhadap Huang. Polis juga mendapati Huang pernah mempunyai kelakuan mencurigakan dan aduan dari pelanggan wanita sebelum ini tetapi tiada tindakan serius diambil terhadapnya.
Berita pembunuhan Zhang Yuqing segera tular di media sosial China. Pengguna media sosial meluahkan rasa sedih dan marah terhadap jenayah kejam ini terutamanya kerana ia berlaku di kawasan kampus yakni tempat yang sepatutnya selamat bagi pelajar. Mereka mempersoalkan bagaimana seseorang seperti Huang dibenarkan mengendalikan perniagaan dalam universiti tanpa pemeriksaan latar belakang yang teliti. Ibu Zhang pula tampil di hadapan media di mana dia merayu agar hukuman paling berat dikenakan terhadap pelaku. Tunangnya yang masih trauma dengan kehilangan itu juga menyuarakan keperluan keadilan ditegakkan agar tragedi ini tidak berulang kepada orang lain.

Huang didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dengan niat, mencacatkan mayat dan melakukan serangan seksual. Selepas perbicaraan yang panjang, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman mati ke atas Huang sebagai balasan atas jenayahnya yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Hukuman mati ini dijatuhkan oleh Mahkamah Rakyat dan perlu melalui proses pengesahan oleh Mahkamah Rakyat Tertinggi seperti yang ditetapkan dalam sistem perundangan China.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ZHANG YUQING"