Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SERAM DEAR DAVID YANG PERNAH VIRAL DI TWITTER


     Pada tahun 2017, dunia media sosial digemparkan oleh satu kisah seram yang dimuat naik secara bersiri oleh seorang lelaki Amerika bernama Adam Ellis. Dia ialah seorang kartunis yang pernah bekerja di Buzzfeed yang terkenal dengan lukisan bergaya unik dan humor satira. Cuma kali ini Adam tampil dengan sesuatu yang sangat berbeza iaitu satu bebenang (thread) seram yang mendakwa dia sedang diganggu oleh roh seorang budak kecil yang ingin membunuhnya. Kisah ini dinamakan Dear David dan ia dengan cepat menarik perhatian ratusan ribu pengikut di Twitter (kini dikenali X). 

     Menurut ciapan pertama Adam, segalanya bermula dengan mimpi. Dalam mimpi tersebut, dia melihat seorang budak lelaki yang aneh. Badannya kecil dengan wajah yang pucatm Paling menakutkan, sebelah kepalanya remuk seolah-olah telah dihentak dengan kuat. Budak itu duduk di sebuah kerusi goyang hijau di hujung katilnya dan memerhatikannya tanpa berkata sepatah pun. Dalam mimpi itu, Adam mendengar satu suara ghaib yang memberi amaran bahawa dia boleh bertanya dua soalan sahaja kepada budak itu. Jika Adam bertanya soalan ketiga, budak itu akan membunuhnya.


     Adam mengaku bahawa dia telah bermimpi lagi beberapa hari selepas itu. Kali ini Adam bercakap dengan budak tersebut. Dia bertanya dua soalan: “Apa yang berlaku kepada kamu?” dan “Siapa yang buat begini pada kamu?”. Budak itu menjawab dengan nada perlahan, memberitahu bahawa dia mati kerana kemalangan dan seseorang telah menghentaknya. Namun dalam keterujaan, Adam terlupa akan amaran suara ghaib itu dan bertanya soalan ketiga secara spontan. Budak itu tidak menjawab. Suasana menjadi gelap dan Adam terjaga dari tidur dalam keadaan menggigil. Mulai saat itu, gangguan pelik mula berlaku dalam hidupnya.

     Adam mendakwa rumahnya mula mengalami pelbagai kejadian seram. Kerusi bergerak sendiri, barang-barang jatuh tanpa sebab dan bunyi tapak kaki kedengaran waktu malam. Apa yang lebih menyeramkan ialah dua ekor kucing peliharaannya sering merenung ke arah pintu masuk setiap malam pada jam 12.00 tengah malam seolah-olah melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia. Kucing itu akan duduk diam, merenung pintu dan tidak berganjak selama berjam-jam. Adam mula berkongsi rakaman CCTV dan gambar dari telefonnya sebagai bukti kejadian itu.


     Salah satu gambar yang paling tular adalah foto dari kamera Polaroid yang menunjukkan kawasan rumahnya menjadi hitam sepenuhnya seolah-olah cahaya tidak dapat menembusi ruang itu. Ada juga gambar yang didakwa menunjukkan sosok bayang kanak-kanak berdiri di lorong rumahnya, dengan bentuk kepala yang kelihatan senget menyerupai rupa budak dalam mimpinya. Dalam ciapannya, Adam menegaskan bahawa gambar itu tidak disunting dan diambil secara jujur sebagai bukti gangguan paranormal yang dialaminya. Orang ramai yang mengikuti kisah ini mula berasa takut dengan sebahagiannya percaya bahawa roh benar-benar mengganggu Adam.

     Keadaan menjadi semakin tegang apabila Adam mendakwa roh tersebut mula mengikutinya ke tempat kerja dan ke rumah baru selepas dia berpindah. Dalam salah satu ciapannya, Adam berkongsi bahawa dia sering terjaga tengah malam dan menemui telefon bimbitnya telah merakam video secara automatik. Dalam rakaman itu, dia dilihat sedang tidur di atas sofa tetapi ada sosok kecil muncul sebentar, mendekatinya dan hilang semula ke dalam gelap. Ramai pengikutnya menjerit ketakutan di ruangan komen dan berkongsi ciapan tersebut hingga menjadi viral di seluruh dunia.


     Walau bagaimanapun, tidak semua orang percaya. Semakin ramai pengguna Twitter mula menyoal ketulenan cerita tersebut. Beberapa orang penyelidik internet mula menganalisis gambar-gambar dan video yang dimuat naik oleh Adam. Mereka mendapati bahawa metadata gambar telah diubah dan ada yang menunjukkan tanda-tanda suntingan digital. Ada juga yang mendapati beberapa foto kelihatan seperti dirakam dengan perancangan sinematik, lengkap dengan pencahayaan yang sesuai dan sudut dramatik yakni sesuatu yang sukar berlaku jika gangguan itu spontan dan tidak dirancang.

     Setelah beberapa bulan, Adam secara tiba-tiba menghentikan bebenang tersebut tanpa penutup yang jelas. Para pengikutnya tertanya-tanya apa yang berlaku kepada roh Dear David tetapi Adam tidak lagi mengulas secara terbuka. Namun misteri itu terjawab dua tahun kemudian apabila diumumkan bahawa kisah Dear David akan diadaptasi menjadi sebuah filem. Pengumuman itu disambut dengan teruja oleh sesetengah pihak tetapi juga membangkitkan kemarahan ramai yang berasa tertipu. Ramai beranggapan bahawa cerita tersebut memang direka dari awal untuk menarik perhatian, membina pengikut dan akhirnya dijual untuk keuntungan komersial.

     Adam sendiri tidak pernah secara rasmi mengaku bahawa cerita itu palsu. Cuma dengan segala petunjuk dan cara ia diakhiri, ramai yang yakin bahawa kisah Dear David hanyalah satu bentuk fiksyen viral yang dibentangkan seolah-olah benar.


Catat Ulasan for "KISAH SERAM DEAR DAVID YANG PERNAH VIRAL DI TWITTER"