Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

APA SEBENARNYA YANG TERJADI KEPADA AARON CARTER?


     Aaron Charles Carter merupakan seorang penyanyi pop Amerika Syarikat yang mencipta nama sebagai bintang remaja paling terkenal pada penghujung 1990-an dan awal 2000-an. Dilahirkan pada 7 Disember 1987 di Tampa, Florida, Aaron merupakan anak kepada Jane Elizabeth dan Robert Gene Carter. Dia dibesarkan dalam keluarga besar yang penuh dengan bakat seni namun turut dibayangi konflik dan tragedi. Aaron ialah adik kepada Nick Carter iaitu anggota kumpulan lelaki terkenal, Backstreet Boys. Selain Nick, Aaron mempunyai beberapa adik-beradik lain Angel (kembar Aaron), Bobbie Jean (BJ), Leslie dan beberapa adik-beradik tiri melalui perkahwinan semula bapa mereka. 

     Sejak kecil, Aaron hidup dalam bayang-bayang abangnya, Nick. Dia bagaimanapun berjaya membuktikan bahawa dirinya juga mampu berdiri sendiri dalam industri muzik. Pada usia hanya sembilan tahun, Aaron sudah pun menandatangani kontrak rakaman dan mengeluarkan album pertamanya, Aaron Carter (1997) yang meraih kejayaan besar di pasaran antarabangsa. Nama Aaron mula melonjak apabila album keduanya, Aaron’s Party (Come Get It) (2000) meledak di pasaran Amerika dengan terjual lebih daripada tiga juta salinan dan menjadikannya ikon pop remaja. Aaron juga muncul dalam pelbagai rancangan televisyen, termasuk di saluran Nickelodeon dan sering menjadi idola gadis-gadis muda era tersebut.

     Namun kejayaan yang dikecapi sejak kecil turut membawa tekanan besar kepada Aaron. Dia membesar dalam dunia yang dikuasai oleh jadual kerja yang padat, perhatian media dan konflik keluarga yang tidak pernah reda. Ibu bapanya bercerai pada tahun 2003 dan Aaron secara terbuka menuduh ibunya menyalahgunakan kewangannya. Hubungan Aaron dengan abangnya, Nick Carter juga pernah meruncing di mana kedua-duanya pernah terlibat dalam pertelingkahan terbuka yang disiarkan kepada umum termasuk melalui media sosial. Pada tahun 2019, Nick dan Angel (kembar Aaron) telah memohon perintah larangan terhadap Aaron dengan menyatakan bahawa mereka berasa takut terhadap kelakuannya yang semakin tidak menentu dan membimbangkan.

     Kehidupan Aaron semakin merosot apabila dia berdepan pelbagai isu peribadi seperti masalah penyalahgunaan dadah, tekanan jiwa dan masalah kewangan. Dalam beberapa temu bual, Aaron mengaku menghidap beberapa gangguan mental seperti skizofrenia, kemurungan dan kebimbangan. Cuma kenyataan ini menimbulkan perdebatan memandangkan dia kemudian menafikan sebahagian daripada diagnosis tersebut. Aaron juga pernah menjalani pemulihan beberapa kali dalam usaha untuk memperbaiki kehidupannya. Pada masa yang sama, hubungan kekeluargaan yang renggang serta tekanan dari media menjadikan kehidupannya semakin sukar.

     Tragedi tidak asing bagi keluarga Carter. Pada tahun 2012, Leslie Carter yakni kakak kepada Aaron dan Nick, meninggal dunia akibat dos berlebihan ubat preskripsi ketika berusia 25 tahun. Pemergian Leslie meninggalkan kesan mendalam kepada Aaron dan beberapa tahun kemudian giliran bapa mereka, Robert Carter pula meninggal dunia pada tahun 2017. Pemergian dua insan tersayang itu hanya menambah luka dalam hidup Aaron yang sedia bergelut dengan kestabilan emosi.

     Walau bagaimanapun, Aaron tidak pernah berputus asa dalam kerjayanya. Dia cuba untuk bangkit semula dengan mengeluarkan beberapa lagu baharu dan tampil dalam beberapa pertunjukan pentas serta dokumentari. Aaron juga menyambut kelahiran anak lelakinya, Prince Lyric Carter, hasil hubungannya dengan tunangnya ketika itu, Melanie Martin. Namun hubungan itu juga dilaporkan tegang serta tidak stabil selain sering menjadi perhatian media kerana pergaduhan dan drama peribadi.

     Malangnya pada 5 November 2022, Aaron Carter ditemui meninggal dunia di dalam tab mandi di rumahnya di Lancaster, California. Waktu itu, dia baru berusia 34 tahun. Siasatan perubatan mengesahkan bahawa punca kematian adalah lemas akibat penggunaan difluoroetana (gas dalam aerosol) dan alprazolam (ubat penenang seperti Xanax). Kematian itu diklasifikasikan sebagai kemalangan. Pemergian Aaron mengejutkan ramai termasuk abangnya Nick yang menyatakan kesedihan mendalam walaupun hubungan mereka semasa hayat tidak begitu baik.

     Sebagai penghormatan terakhir, album terakhir Aaron bertajuk Blacklisted telah dikeluarkan secara anumerta dua hari selepas pemergiannya. Album itu sepatutnya dilancarkan pada ulang tahun kelahiran Aaron yang ke-35 tetapi diterbitkan lebih awal untuk mengenangnya.

Catat Ulasan for "APA SEBENARNYA YANG TERJADI KEPADA AARON CARTER?"