Penerjun Wanita Maut Bunuh Diri Dari Ketinggian 10 000 Kaki.

ENGLAND – Seorang wanita penerjun udara berpengalaman iaitu Jade Damarell, 32 tahun, maut dalam satu kejadian tragis apabila dia dipercayai sengaja tidak membuka payung terjunnya ketika melakukan aktiviti penerjunan bebas di Sky-High Skydiving, Shotton Colliery, County Durhampada 27 April 2025.
Menurut laporan awal siasatan, Jade terjun dari ketinggian lebih 10 000 kaki namun tidak langsung membuka payung terjunnya sebelum terhempas ke tanah. Pihak polis dan badan kawal selia British Skydiving yang menjalankan siasatan awal telah mengesahkan bahawa tiada sebarang kegagalan teknikal atau kerosakan peralatan dikesan pada kelengkapan penerjunannya. Hal ini menimbulkan kebimbangan dan spekulasi bahawa kejadian tersebut mungkin merupakan satu tindakan bunuh diri yang disengajakan.

Jade Damarell merupakan seorang yang dikenali dalam komuniti penerjun udara sebagai individu berpengalaman dan berdisiplin. Dilahirkan di Kowloon, Hong Kong dan menetap di Caerphilly, Wales, dia telah melibatkan diri dalam lebih 400 terjunan sepanjang kerjayanya. Di luar bidang penerjunan, Jade bekerja sebagai pengurus pemasaran di syarikat makanan terkenal, Silver Spoon selepas menamatkan pengajian di Universiti Leeds.
Berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilakukan oleh pihak polis, latar belakang peribadi mangsa yang dipercayai menjadi faktor utama di sebalik tragedi tersebut. Menurut sumber rapat, Jade menjalinkan hubungan cinta dengan Ben Goodfellow yakni seorang juruteknik di kilang Nissan dan juga vokalis kumpulan muzik indie bernama Post Rome yang berpangkalan di Sunderland. Pasangan itu telah tinggal bersama selama kira-kira lapan bulan dan dipercayai menetap tidak jauh dari lapangan terbang tempat mereka kerap melakukan aktiviti penerjunan.
Difahamkan pada malam sebelum kejadian, hubungan mereka dilaporkan telah berakhir apabila Ben mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan tersebut. Keesokan harinya, Jade muncul untuk melakukan terjunan seperti biasa tetapi dengan keputusan yang membawa maut. Menurut seorang rakan terdekat, pihak polis dipercayai telah menemui nota bunuh diri yang ditinggalkan oleh mangsa yang mengandungi luahan berhubung perpisahan mereka.

Koroner di Crook, County Durham yang mengendalikan siasatan rasmi kematian tersebut melaporkan bahawa punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan tumpul akibat impak kuat dari terjunan tanpa payung. Tidak terdapat sebarang bukti fizikal yang menunjukkan kegagalan fungsi peralatan penerjunan sekali Gus memperkukuhkan lagi kemungkinan bahawa tindakan itu adalah disengajakan.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Sky-High Skydiving, mereka meluahkan rasa sedih yang mendalam atas kehilangan seorang ahli yang amat disayangi dalam komuniti tersebut. "Semua bukti setakat ini menunjukkan bahawa tindakan itu adalah satu keputusan yang disengajakan. Kami amat terkesan dan kehilangan seorang rakan yang luar biasa," menurut kenyataan tersebut.
Catat Ulasan for "Penerjun Wanita Maut Bunuh Diri Dari Ketinggian 10 000 Kaki. "