Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEHILANGAN ANDREW MCAULEY


     Andrew McAuley merupakan seorang pengembara laut dan pendaki gunung terkenal dari Australia yang dikenang kerana keberaniannya menentang cabaran alam semula jadi demi mengejar impian luar biasa. Dilahirkan pada 7 Ogos 1968 di Goulburn, New South Wales, McAuley bukan sahaja memiliki semangat kental tetapi juga jiwa pengembara sejati. Dia terkenal dalam kalangan pengembara kerana penglibatannya dalam pelbagai ekspedisi ekstrem termasuk pendakian gunung berais dan pengembaraan laut terbuka. Namanya bagaimanapun benar-benar menjadi sebutan apabila dia cuba menakluki Laut Tasman dengan berkayak secara solo dari Australia ke New Zealand yakni satu perjalanan sejauh hampir 1600 kilometer merentas perairan ganas dan terpencil.

     Sebelum ekspedisi besar yang akhirnya meragut nyawanya itu, Andrew McAuley telah mencatat beberapa pencapaian mengagumkan. Pada tahun 2003, dia berjaya menyeberangi Selat Bass secara tanpa henti menggunakan kayak. Pada tahun berikutnya, McAuley menyeberangi pula Teluk Carpentaria dan pada tahun 2006, dia mengetuai ekspedisi berkayak sejauh lebih 800 kilometer merentasi kawasan Lingkaran Antartika, sebuah misi berbahaya di kawasan paling sejuk. Disebabkan pencapaiannya yang luar biasa itu, dia dinobatkan sebagai Adventurer of the Year oleh Australian Geographic Society pada tahun 2005.


     Maka dengan reputasi sebagai pengembara yang tidak mudah mengalah, McAuley merancang satu misi bersejarah iaitu menjadi individu pertama yang berkayak secara solo menyeberangi Laut Tasman. Laut ini terkenal dengan ribut besar, arus kuat dan ombak setinggi gunung yang boleh mengancam nyawa walaupun kepada pelayar paling berpengalaman. Percubaan pertamanya bermula pada Disember 2006 namun terpaksa dibatalkan hanya selepas satu malam. Masalah yang dihadapi ketika itu ialah kesukaran untuk mengekalkan kehangatan di dalam kayak walaupun telah dilengkapi dengan pelbagai pengubahsuaian.

     Kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya. Pada 11 Januari 2007, Andrew McAuley memulakan percubaan keduanya. Kali ini, dia menggunakan sebuah kayak jenis Mirage sepanjang 6.4 meter yang telah diubah suai khas untuk perjalanan laut terbuka. Kayak itu dilengkapi dengan kanopi gentian kaca (fiberglass) berwarna kuning yang diberi nama Casper. Kanopi itu berfungsi sebagai pelindung daripada cuaca buruk dan juga membolehkan kayak kembali ke posisi tegak jika terbalik. Di samping itu, dia membawa kamera video dan peralatan navigasi yang canggih untuk merakam perjalanan selain memastikannya sentiasa berada di laluan yang betul.


     Selama hampir sebulan, McAuley mengharungi ombak dan ribut seorang diri di tengah lautan. Rakaman video yang dijumpai kemudian menunjukkan dia berdepan gelombang besar, hujan lebat, dan keletihan yang teramat. Dalam beberapa rakaman, kelihatan wajahnya yang semakin cengkung dan letih namun masih jelas semangatnya untuk sampai ke destinasi. Pada 9 Februari 2007 dengan hanya kira-kira 30 kilometer dari Milford Sound, New Zealand, McAuley membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa maritim New Zealand. Dalam panggilan itu, dia menyatakan bahawa kayaknya sedang tenggelam. Pihak penyelamat melancarkan operasi pencarian besar-besaran tetapi McAuley tidak pernah ditemui semula.

    Apa yang dijumpai hanyalah kayaknya yang terapung di permukaan laut dua hari kemudian. Kanopi Casper tidak lagi kelihatan dan dipercayai telah tercabut akibat dihentam ombak kuat. Kamera video yang dijumpai mengandungi rakaman terakhir McAuley termasuk satu detik penuh emosi di mana dia menyatakan dengan suara lemah, “Saya mungkin telah mengambil lebih daripada yang saya mampu.” Tiada mayat dijumpai hingga pada hari ini dan nasib sebenar Andrew McAuley kekal misteri.


     Kisahnya kemudian diabadikan dalam dokumentari bertajuk Solo yang diterbitkan pada tahun 2008. Dokumentari ini menggabungkan rakaman video sebenar dari kamera McAuley, temu bual bersama keluarganya serta naratif perjalanan yang menyayat hati. Isterinya, Vicki McAuley turut menulis sebuah buku bertajuk Solo yang merungkai perjuangan dan semangat luar biasa suaminya. 

Catat Ulasan for "MISTERI KEHILANGAN ANDREW MCAULEY"