KISAH KEMATIAN PELIK GINA LALAPOLA
.jpg)
Pada suatu malam musim panas tahun 1995 di Cosenza bertempat di sebuah bandar kecil yang tenang di selatan Itali, satu majlis bujang dirancang penuh meriah dan luar biasa. Majlis itu dianjurkan oleh seorang ahli perniagaan muda yang bakal berkahwin dalam masa beberapa minggu. Seperti kebiasaan majlis sebegitu, segala-galanya dirancang dengan teliti untuk meninggalkan kenangan paling manis dalam hidup sang pengantin. Cuma tiada siapa menyangka bahawa malam itu akan bertukar menjadi mimpi ngeri yang dikenang oleh semua yang hadir dan lebih menyedihkan, ia melibatkan kematian seorang wanita muda bernama Gina Lalapola yang ketika itu baru berusia 23 tahun.
Gina bukanlah seorang selebriti tetapi dia dikenali dalam kalangan penghibur tempatan sebagai seorang penari yang bersemangat, berdedikasi dan sanggup mencuba perkara-perkara baharu untuk menjayakan persembahannya. Dia sering diundang untuk menghiburkan tetamu di pelbagai majlis dari majlis makan malam eksklusif hingga ke pesta liar hujung minggu. Pada malam itu, Gina telah diupah untuk memainkan peranan yang istimewa yakni muncul dari dalam sebuah kek gergasi sebagai kejutan utama untuk majlis bujang tersebut. Kek besar berbentuk tiga tingkat yang dihias cantik tersebut dibina daripada papan lapis dan bahan hiasan untuk menyorokkan Gina di dalamnya.
Kek itu sendiri telah direka oleh sebuah syarikat prop kecil yang tidak berpengalaman dalam membina struktur yang melibatkan manusia di dalamnya. Ia tampak menarik dari luar dengan berwarna putih berkrim dengan reben merah jambu dan bunga palsu di sekeliling. Namun dari dalam, ia hanyalah kotak kayu sempit tanpa sistem pengudaraan. Gina yang telah diberitahu bahawa dia hanya akan berada di dalam kek selama maksimum 5 hingga 10 minit sebelum dikeluarkan ke pentas bersetuju untuk bersembunyi di dalamnya beberapa minit sebelum kek ditolak masuk ke dewan utama.
Pada malam itu, berlaku beberapa masalah teknikal yang tidak dijangka. Tayangan video montaj pasangan pengantin yang sepatutnya berlangsung selama 3 minit terpaksa dipanjangkan kerana gangguan sistem audio. Pada masa yang sama, pengacara majlis diminta untuk melengahkan segmen seterusnya kerana tetamu kehormat masih belum tiba. Kesemua ini menyebabkan kek tersebut terbiar di belakang pentas selama hampir 45 minit dengan Gina di dalamnya. Tiada siapa memeriksa keadaannya. Tiada pengawal masa. Paling membimbangkan, tiada sesiapa menyedari bahawa kek tersebut tidak mempunyai sebarang lubang pengudaraan. Gina terkunci dalam ruang sempit, gelap dan panas.
Dalam keadaan itu, Gina dipercayai mula mengalami sesak nafas. Dia mungkin cuba mengetuk sisi dalam kek untuk meminta tolong tetapi bunyi muzik yang kuat dari dewan utama serta bahan kayu tebal menyerap bunyi yang menjadikan segala jeritannya sia-sia. Beberapa minit sebelum kek ditolak masuk ke dewan, Gina dipercayai telah pun pengsan akibat kekurangan oksigen.
Apabila kek itu akhirnya dibawa masuk ke tengah pentas dengan sorakan dan tepukan para tetamu, suasana begitu meriah. Musik rancak dimainkan, lampu dipadamkan dan lampu sorot tertumpu pada kek itu. Semua tetamu menanti dengan penuh keterujaan. Setelah beberapa saat berlalu dan tiada siapa keluar dari kek tersebut, seorang pembantu acara cuba membuka bahagian atas kek dan menjenguk ke dalam.
Tubuh Gina ditemui terkulai, tidak bergerak. Pembantu itu panik lalu menjerit meminta bantuan. Ramai tetamu menyangka ia sebahagian daripada gimik namun apabila lampu dinyalakan dan pasukan kecemasan dipanggil, barulah semua menyedari bahawa kejutan itu bukan satu lakonan. Paramedik yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan bahawa Gina telah meninggal dunia akibat sesak nafas dalam ruang tertutup.
Kematian Gina menggemparkan Itali. Media tempatan melaporkan insiden itu sebagai satu kelalaian yang tidak boleh dimaafkan. Ramai menyalahkan syarikat penganjur dan pembina prop kek kerana gagal mempertimbangkan aspek keselamatan asas.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN PELIK GINA LALAPOLA"