KISAH LAXMI AGARWAL : Mangsa Simbahan Asid Akibat Dendam

Pada tahun 2005, di tengah hiruk-pikuk New Delhi, India, seorang gadis remaja bernama Laxmi Agarwal yang berusia 15 tahun sedang melalui fasa awal remajanya. Dia bukan bintang terkenal dan bukan juga anak orang kaya. Laxmi hanyalah anak kepada tukang masak yang bekerja di Kedutaan Arab Saudi yang tinggal di kawasan sederhana.
Dunia Laxmi bagaimanapun mula berubah apabila seorang lelaki bernama Naeem Khan muncul dalam hidupnya. Naeem yang berusia 32 tahun ketika itu, adalah kenalan keluarga yang jauh. Dia mula menunjukkan minat luar biasa kepada Laxmi. Pada awalnya, Naeem sekadar mengucapkan kata manis. Lama-kelamaan, dia mula menghantar mesej cinta, menghadiahkan barangan kecil dan akhirnya melamar Laxmi untuk dijadikan isteri. Bagi remaja seusia Laxmi, hal itu tidak masuk akal. Dia menolak lamaran itu dengan jelas dan tegas. Penolakan tersebut menjadi titik hitam dalam hati Naeem. Dalam budaya patriarki yang menebal, penolakan wanita sering dianggap sebagai penghinaan kepada ego lelaki. Naeem memendam dendam. Dia mahu memusnahkan wajah Laxmi yang telah menghinanya danyang telah berani menolak lelaki sepertinya.

Pada pagi 22 April 2005, Laxmi berjalan di kawasan sibuk Khan Market, sebuah tempat tumpuan orang ramai. Dia mahu ke kedai buku untuk membeli sebuah novel. Laxmi langsung tidak menyedari bahawa ada dua orang mengekori dari belakang menaiki motosikal iaitu Naeem dan seorang wanita yang dikenali sebagai Rakhi yang dikatakan teman wanitanya atau individu upahan untuk melakukan serangan.
Ketika Laxmi berhenti di sebuah simpang jalan, Rakhi turun dari motosikal dan tanpa sepatah kata, menyimbah asid sulfurik pekat ke wajah Laxmi. Jeritan Laxmi membelah suasana. Kulit wajahnya serta-merta menggelembung dan mencair. Dia berasa seolah-olah diselubungi api yang membakar tulang. Wajahnya luruh, matanya membengkak dan rambutnya terbakar. Di tengah-tengah kekalutan orang ramai yang tergamam, seorang lelaki berani membantu Laxmi dan membawanya ke Hospital Ram Manohar Lohia, tempat dia dirawat dalam keadaan kritikal.

Doktor memberitahu keluarga Laxmi bahawa peluang untuk pulih sepenuhnya adalah tipis. Dia menjalani lebih daripada sepuluh pembedahan rekonstruktif sepanjang tahun berikutnya. Salah satu matanya hilang penglihatan. Bahagian muka, hidung dan bibirnya musnah. Dia tidak lagi dapat mengenali wajahnya sendiri di cermin. Namun bukan itu sahaja yang diragut. Dia juga kehilangan kawan dan keberanian untuk keluar rumah. Masyarakat memandangnya dengan kasihan, kadang-kadang dengan jijik atau lebih menyakitkan dengan simpati palsu.
Lebih menyedihkan, perundangan ketika itu langsung tidak memihak kepada mangsa serangan asid. Penjualan asid tidak dikawal. Ia boleh dibeli dengan mudah di mana-mana kedai kimia seperti membeli bateri atau peluntur. Tidak perlu pendaftaran, tiada had umur. Undang-undang India tidak mempunyai hukuman khas untuk serangan asid dan sebaliknya hanya diletakkan di bawah Akta Kecederaan Bias yang maksimum hanyalah beberapa tahun penjara.
Laxmi tidak memilih untuk berdiam diri. Dalam usia belasan tahun, dia melakukan sesuatu yang luar biasa. Laxmi mengajukan petisyen kepada Mahkamah Agung India untuk memohon larangan penjualan asid secara terbuka dan memperjuangkan agar kes sepertinya tidak berulang. Petisyennya disokong oleh pelbagai NGO dan aktivis hak wanita. Ia menjadi kes rujukan nasional.
Sementara itu, Naeem Khan dan Rakhi telah ditangkap. Perbicaraan mereka berlangsung selama beberapa tahun. Kedua-dua mereka didakwa atas kesalahan menyerang dengan bahan berbahaya menyebabkan kecederaan kekal. Pada tahun 2013 yakni setelah hampir 8 tahun berlalu, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Naeem dan 7 tahun terhadap Rakhi. Namun hukuman ini dikritik banyak pihak sebagai terlalu ringan memandangkan trauma dan kecacatan kekal yang ditanggung Laxmi sepanjang hayatnya.

Selepas kes ini, Mahkamah Agung India pada tahun 2013 telah meluluskan satu keputusan penting yang mengarahkan kawalan ketat terhadap penjualan asid. Kedai mesti mendaftar setiap jualan, pembeli mesti berumur lebih 18 tahun serta menunjukkan dokumen pengenalan dan penjual perlu melaporkan pembelian kepada pihak berkuasa. Undang-undang juga dipinda untuk memasukkan seksyen khas berkaitan serangan asid (326A dan 326B dalam Kanun Keseksaan India).
Laxmi tidak berhenti di situ. Dia menjadi penggerak NGO bernama Chhanv Foundation, yang menyokong mangsa serangan asid lain. Pada tahun 2014, Laxmi menerima Anugerah International Women of Courage dari Jabatan Negara AS yang disampaikan sendiri oleh Michelle Obama. Dia kemudian berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan dan menyampaikan ceramah. Pada tahun 2020, kisah hidup Laxmi diabadikan dalam filem Chhapaak yang bermaksud percikan, simbolik kepada bunyi asid yang memercik ke kulit. Wataknya dilakonkan oleh pelakon terkenal Deepika Padukone yang juga menjadi penerbit filem ini.
Catat Ulasan for "KISAH LAXMI AGARWAL : Mangsa Simbahan Asid Akibat Dendam"