Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MISTERI KEMATIAN CINDY JAMES


     Kes kematian Cindy James merupakan antara misteri jenayah paling pelik dan membingungkan dalam sejarah Kanada. Cindy James iaitu seorang jururawat serta kaunselor pendidikan yang bekerja dengan remaja bermasalah mula mengalami gangguan yang aneh dan menakutkan selepas berpisah dengan suaminya, seorang psikiatri bernama Dr. Roy Makepeace pada tahun 1982. Gangguan yang dialaminya termasuk panggilan telefon misteri, ancaman bunuh, serangan fizikal dan kejadian aneh di rumahnya. Lebih membingungkan, kesemua gangguan ini berlarutan selama hampir tujuh tahun tanpa sesiapa yang dapat dipertanggungjawabkan.

     Sepanjang tempoh tersebut, Cindy membuat lebih dari seratus laporan polis. Dia mendakwa telah menerima ugutan bunuh, diserang secara fizikal dan dalam beberapa insiden mendakwa telah diikat serta dibius. Dalam satu kejadian, Cindy ditemui tidak sedarkan diri dengan sarung stoking diikat di lehernya, tangan serta kakinya diikat dan nota ugutan ditinggalkan berhampiran. Walau bagaimanapun, penyiasat daripada Polis Diraja Kanada (RCMP) tidak pernah menemui saksi yang boleh mengesahkan kejadian-kejadian ini dan tiada bukti forensik kukuh yang menyokong dakwaan Cindy. Akibatnya, sesetengah pihak mula meragui kebenaran cerita Cindy, malah ada yang menganggap dia berkemungkinan mengalami gangguan mental dan mungkin mereka-reka cerita-cerita ini.


     Hinggalah pada 25 Mei 1989, Cindy dilaporkan hilang selepas gagal menghadiri temu janji bersama rakannya. Keretanya ditemui ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta berhampiran pusat beli-belah. Di dalam kereta tersebut terdapat barangan runcit dan hadiah yang belum dihantar serta kesan darah pada pintu pemandu. Kehilangan Cindy menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya. Hanya selepas dua minggu pencarian yakni pada 8 Jun 1989, mayat Cindy ditemui di halaman belakang sebuah rumah terbiar. Penemuan mayat tersebut mengejutkan kerana dia dijumpai dalam keadaan tragis di mana tangan dan kakinya diikat ke belakang, stoking nilon dililit pada lehernya dan terdapat kesan suntikan pada lengan.

     Ujian toksikologi menunjukkan bahawa Cindy meninggal dunia akibat overdosis morfin dan flunitrazepam, sejenis ubat penenang kuat. Keadaan fizikal mayat dan cara Cindy diikat bagaimanapun menimbulkan keraguan besar terhadap kemungkinan beliau membunuh diri. Para pakar forensik mempertikaikan bagaimana Cindy mampu menyuntik diri dengan dos yang mematikan sebelum mengikat dirinya sendiri dalam keadaan yang begitu rumit. Tambahan pula, laporan patologi menunjukkan kemungkinan bahawa mayatnya telah dipindahkan selepas kematian. Polis dan beberapa penyiasat berkeras menyatakan bahawa kematian tersebut berkemungkinan besar adalah hasil bunuh diri yang dirancang untuk kelihatan seperti pembunuhan, satu kesimpulan yang ditentang keras oleh keluarga dan kenalan Cindy.


     Pada tahun 1990, satu inkues koroner selama 40 hari dijalankan dengan melibatkan lebih 80 saksi. Inkues ini bertujuan untuk menentukan sama ada Cindy dibunuh, membunuh diri atau menjadi mangsa kemalangan. Namun hasil inkues tidak membawa kepada sebarang keputusan muktamad. Juri gagal mencapai kesimpulan yang jelas dan akhirnya mengklasifikasikan kematian Cindy sebagai kematian akibat sebab yang tidak diketahui. 
     
     Hingga pada hari ini, kes Cindy James kekal tidak terungkai dan terus menjadi bahan perdebatan serta spekulasi. Ada pihak yang percaya dia menjadi mangsa gangguan yang sangat nyata dan berakhir dengan pembunuhan manakala yang lain percaya bahawa beliau mungkin mengalami gangguan psikologi yang mendalam dan membunuh diri dengan cara yang sangat rumit. Pelbagai teori dikemukakan dalam dokumentari, buku dan audio siar termasuk kemungkinan adanya konspirasi bahawa bekas suami yang terlibat atau pembunuh tidak dikenali yang sangat licik.

Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEMATIAN CINDY JAMES"