Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Doktor Pakar Bius yang Rakam Tetamu Airbnb Secara Rahsia

     Pada tahun 2025, media melaporkan kes voyeurisme melibatkan seorang doktor pakar bius iaitu Dr. Ju Young Um yang didapati bersalah atas 23 pertuduhan memasang kamera tersembunyi di tempat tinggalnya yang disewakan melalui platform Airbnb. 

     Dr. Ju Young Um, yang berumur 34 tahun ketika itu menggunakan kediamannya di kawasan Hyndland, Glasgow sebagai lokasi utama untuk menjalankan aktiviti pengintipannya. Dia memasang kamera kecil yang sangat halus dan sukar dikesan di dalam peranti yang kelihatan biasa seperti penyegar udara dan penggera asap. Kedudukan kamera ini sangat strategik di mana ia ditempatkan di bilik tidur dan bilik mandi yakni lokasi yang paling peribadi di mana mangsa-mangsa tidak menyangka akan dirakam secara rahsia. Antara mangsa yang dirakam termasuk tetamu Airbnb yang menyewa kediamannya serta beberapa rakan sekerja dan kakitangan perubatan di hospital tempatnya bertugas, Dumfries and Galloway Royal Infirmary. Aktiviti merakam ini dilaporkan bermula sejak November 2020 dan berterusan sehingga Ogos 2024.

     Kes ini mula terdedah apabila seorang tetamu Airbnb yang menyewa rumah tersebut menjadi curiga terhadap dua penyegar udara yang diletakkan secara tidak biasa iaitu menghadap ke arah tandas dan kawasan pancuran mandi di dalam bilik mandi. Rasa tidak senang hati tetamu tersebut mendorongnya untuk melakukan pemeriksaan lebih teliti. Dalam proses tersebut, dia menemui kamera tersembunyi di dalam peranti penyegar udara itu. Tetamu tersebut segera membuat laporan kepada pihak polis dan pemilik platform Airbnb. Tindakan segera ini membuka jalan kepada serbuan polis ke atas kediaman Dr. Um di mana pelbagai kamera tersembunyi, telefon bimbit, komputer riba serta peranti storan digital dirampas untuk siasatan lanjut.

     Dalam prosiding mahkamah, Dr. Um mengaku melakukan tindakan tersebut namun cuba membela diri dengan alasan yang agak luar biasa. Dia menyatakan bahawa perbuatannya itu didorong oleh kebimbangan yang melampau terhadap saiz zakarnya sendiri dan dia menghidap dismorfia badan, satu gangguan mental di mana seseorang mempunyai persepsi yang salah dan sangat negatif terhadap bentuk atau saiz tubuhnya. Mahkamah bagaimanapun tidak menerima alasan tersebut sebagai pembelaan yang sah dan berpendapat tindakan Dr. Um sememangnya bertujuan memenuhi nafsu dan kepuasan peribadinya tanpa mengambil kira kesan buruk terhadap mangsa-mangsa yang menjadi mangsa rakaman rahsia ini.

     Hukuman yang dijatuhkan ke atas Dr. Um adalah penjara selama 18 bulan, satu tempoh yang dianggap mencukupi untuk memberi pengajaran kepadanya dan juga masyarakat umum. Selain daripada hukuman penjara, dia turut digantung daripada amalan perubatan secara rasmi dengan namanya dimasukkan ke dalam daftar pesalah seks untuk tempoh 10 tahun. Keputusan ini bertujuan melindungi masyarakat dari risiko Dr. Um mengulangi perbuatan tidak bermoral tersebut.

Catat Ulasan for "Kisah Doktor Pakar Bius yang Rakam Tetamu Airbnb Secara Rahsia"