MISTERI KEMATIAN DUA GADIS REMAJA DI BADAUN

Pada malam 27 Mei 2014, dua gadis remaja berusia 14 dan 15 tahun dari kampung Katra Sadatganj, Badaun, Uttar Pradesh, India keluar dari rumah mereka untuk ke ladang berhampiran bagi membuang air. Rumah mereka tidak mempunyai tandas yakni suatu keadaan biasa di kawasan luar bandar India di mana ramai penduduk terpaksa ke kawasan lapang atau sawah untuk melepaskan hajat. Malangnya, malam itu menjadi detik terakhir mereka dilihat hidup.
Keesokan paginya, seluruh kampung dikejutkan dengan penemuan mayat kedua-dua gadis itu tergantung pada sebatang pokok mangga yang hanya beberapa ratus meter dari kediaman mereka. Keadaan mayat yang tergantung dalam posisi bersebelahan telah menarik perhatian dan kemarahan penduduk kampung. Gambar mayat mereka mula tersebar secara meluas di media sosial dan saluran berita menjadikan kes ini tular dalam tempoh singkat hingga menimbulkan gelombang kemarahan di seluruh India.
Keluarga mangsa menuduh bahawa anak mereka telah diculik, dirogol dan dibunuh dengan kejam oleh beberapa orang lelaki dari kampung yang dikenali mereka. Mereka menamakan tiga suspek lelaki tempatan yang didakwa pernah mengganggu salah seorang gadis sebelum ini. Malah keluarga mangsa mendakwa mereka telah melaporkan kehilangan anak mereka kepada polis pada malam kejadian tetapi pihak polis enggan bertindak dan tidak mengambil laporan secara serius. Salah seorang anggota polis juga didakwa meremehkan laporan mereka kerana perbezaan latar belakang sosial.
Berdasarkan keterangan awal keluarga dan saksi kampung, pihak polis tempatan membuka siasatan sebagai kes rogol dan pembunuhan. Tiga lelaki kampung ditahan sebagai suspek utama termasuk seorang yang dikenali di media tempatan sebagai Pappu Yadav. Selain itu, dua anggota polis turut ditahan atas tuduhan kecuaian tugas dan disyaki melindungi suspek. Beberapa laporan menyatakan bahawa dua daripada suspek lelaki tersebut dikatakan mengaku membunuh gadis-gadis itu tetapi kemudian menarik balik pengakuan dengan alasan mereka dipaksa berbuat demikian ketika soal siasat.
Disebabkan tekanan masyarakat dan liputan meluas oleh media antarabangsa, siasatan kemudiannya diserahkan kepada Biro Penyiasatan Pusat India (CBI), sebuah agensi penyiasatan elit di negara itu. CBI memulakan semula siasatan dari awal dengan menjalankan semula bedah siasat, mengkaji semula bukti forensik dan menemu bual saksi-saksi dengan lebih teliti. Namun pada penghujung siasatan, CBI mengumumkan kesimpulan yang mengejutkan ramai pihak. Mereka tidak menemui bukti kukuh yang menyokong dakwaan rogol atau pembunuhan. Menurut laporan CBI, tiada kesan serangan seksual ditemui pada mayat dan tiada bukti saintifik lain yang membuktikan gadis-gadis itu dibunuh oleh individu tertentu. Mereka menyimpulkan bahawa kedua-dua gadis itu berkemungkinan besar membunuh diri walaupun tanpa motif yang benar-benar jelas.
Kesimpulan itu mengundang kritikan dan kemarahan dari keluarga mangsa serta masyarakat umum. Ramai pihak, termasuk badan hak asasi manusia dan organisasi wanita mempertikaikan laporan CBI dan mendakwa siasatan itu dipengaruhi tekanan politik. Mereka menuduh kerajaan cuba menutup aib dengan menukar arah siasatan dan melepaskan semua suspek. Keluarga mangsa kekal dengan pendirian bahawa anak mereka telah menjadi mangsa kekejaman dan tidak mendapat keadilan sewajarnya.
Kejadian ini membuka perdebatan besar di India tentang akses kepada tandas, keselamatan wanita luar bandar dan ketidaksamaan sosial. Ketika itu, lebih 500 juta rakyat India masih tidak memiliki tandas di rumah yang menyebabkan wanita dan kanak-kanak perempuan amat terdedah kepada bahaya apabila terpaksa keluar malam untuk membuang air.
Peristiwa ini juga menjadi pemangkin kepada pelancaran semula kempen nasional oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi yang dikenali sebagai Swachh Bharat Abhiyan (Kempen India Bersih). Salah satu matlamat utama kempen itu adalah membina berjuta-juta tandas untuk menghapuskan amalan membuang air secara terbuka demi kebersihan selain untuk melindungi maruah dan keselamatan wanita.
Catat Ulasan for "MISTERI KEMATIAN DUA GADIS REMAJA DI BADAUN"