Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KEHORMATAN PALSU : Kisah Gelap Kolonel Russell Williams

    Pada satu ketika, Kolonel Russell Williams dianggap sebagai lambang kehormatan, disiplin dan dedikasi dalam Angkatan Tentera Udara Diraja Kanada (Royal Canadian Air Force, RCAF). Dia berkhidmat dengan cemerlang selama lebih dua dekad dan pernah memegang jawatan penting sebagai komander di pangkalan udara terbesar Kanada. Walau bagaimanapun, segala penghormatan dan kebanggaan itu musnah dalam sekelip mata apabila satu demi satu kebenaran hitam mula terbongkar. Apa yang didedahkan kepada umum bukan sekadar skandal atau salah laku biasa tetapi merupakan siri jenayah ngeri yang melibatkan pencerobohan, rogol, pembunuhan dan penyimpangan seksual yang melampau. 

     Russell Williams dilahirkan pada 7 Mac 1963 di Bromsgrove, England. Keluarganya berpindah ke Kanada ketika dia masih kecil. Williams membesar dalam suasana yang baik dan dikenali sebagai seorang pelajar pintar serta berbakat. Selepas menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Toronto, dia menyertai tentera pada tahun 1987 dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai misi. Kariernya berkembang dengan pesat. Williams dilantik sebagai juruterbang pesawat Hercules dan diberi tanggungjawab dalam pelbagai operasi domestik dan antarabangsa. Pada tahun 2009, dia mencapai kemuncak kerjayanya apabila dilantik sebagai Komander Pangkalan Tentera Udara Kanada di CFB Trenton, Ontario yakni pangkalan udara utama negara itu. Dia diberi kepercayaan tinggi oleh kerajaan dan turut mengiringi kerabat diraja serta pemimpin negara dalam pelbagai majlis rasmi. 

     Di sebalik kerjayanya yang cemerlang, Williams menyimpan sisi peribadi yang amat membimbangkan. Pada awalnya, dia mula melakukan pencerobohan ke rumah orang awam terutama rumah wanita muda yang tinggal bersendirian. Dalam serangan awalnya, dia tidak mencederakan sesiapa. Williams hanya mencuri pakaian dalam wanita dan kemudian meninggalkan tempat kejadian tanpa disedari. Jenayah ini bagaimanapun bukan dilakukan secara rawak kerana Williams memilih mangsanya secara teliti dengan melakukan pemantauan terlebih dahulu dan sering kali memecah masuk ketika penghuni tiada di rumah.

     Lebih dahsyat, Williams bukan sekadar mencuri pakaian tersebut. Dia merakam dirinya sendiri mengenakan pakaian dalam itu sambil beraksi secara seksual. Williams menyimpan ribuan gambar dirinya dalam pelbagai posisi yang menjijikkan dan menyimpan pakaian yang dicurinya dengan kemas serta berlabel seolah-olah satu koleksi peribadi yang dibina dengan teliti. Perbuatannya itu menjadi semakin kerap dan semakin berani dari masa ke masa. Ketagihannya terhadap penguasaan ke atas mangsa semakin meningkat dan akhirnya membawa kepada serangan seksual secara fizikal.

     Titik kemuncak jenayahnya bermula apabila dia mula bertindak secara fizikal terhadap mangsa. Pada tahun 2009, Williams menyerang dua wanita muda di kediaman mereka. Kedua-dua mangsa diikat, dirogol dan dirakam dalam keadaan tidak berdaya. Walaupun kedua-duanya terselamat, trauma yang dialami sangat mendalam. Pada ketika itu, pihak polis sudah mula mengesan corak jenayah yang luar biasa dan menubuhkan pasukan siasatan khas.

     Pada bulan November 2009, Williams merogol dan membunuh Koperal Marie-France Comeau, seorang anggota tentera wanita yang berkhidmat di bawah pimpinannya sendiri. Dia menceroboh masuk ke rumah Comeau sebelum mengikat wanita itu dan kemudian menderanya secara seksual selama beberapa jam sebelum membunuhnya. Apa yang lebih mengejutkan ialah tindakan Williams yang merakam hampir keseluruhan proses serangan itu untuk kepuasan peribadi. Mangsa mengalami kecederaan parah dan kematiannya mengejutkan pasukan tentera.

     Beberapa bulan kemudian, pada Januari 2010, Williams sekali lagi bertindak kejam. Mangsa kali ini ialah Jessica Lloyd, seorang wanita berusia 27 tahun. Selepas melakukan pemantauan rapi selama beberapa hari, Williams menceroboh rumah Jessica, menculiknya lalu membawa mangsa ke rumahnya sendiri. Di sana, dia mengikat, merogol dan menyeksa Jessica secara berterusan sebelum akhirnya membunuhnya. Mayat Jessica kemudian dibuang di kawasan semak.

     Kehilangan Jessica telah mencetuskan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak polis. Satu jejak penting akhirnya ditemui iaitu kesan tayar kenderaan berhampiran rumah mangsa. Pihak polis memutuskan untuk melakukan pemeriksaan terhadap semua kenderaan di kawasan sekitar. Williams yang ketika itu memandu Nissan Pathfinder akhirnya dikesan dan diminta hadir untuk soal siasat.

     Pada 7 Februari 2010, Russell Williams hadir ke balai polis Belleville untuk siasatan. Detektif Dave Smyth yang bertanggungjawab menjalankan soal siasat tersebut berjaya mengendalikan interogasi dengan penuh tenang dan profesional. Setelah beberapa jam didesak dan ditunjukkan bukti-bukti awal, Williams akhirnya mula goyah. Dalam suasana tegang dan dingin, dia mengaku bukan sahaja membunuh Jessica dan Marie-France tetapi juga melakukan serangan seksual ke atas wanita lain serta menceroboh puluhan rumah di Ontario sehaj Quebec sejak bertahun-tahun lamanya.

     Semasa pihak berkuasa memeriksa kediamannya, mereka menemui lebih daripada 500 pakaian wanita termasuk seluar dalam, coli, pakaian tidur dan kostum dengan semuanya disimpan rapi. Rakaman gambar dan video yang ditemui amat mengerikan dan menunjukkan betapa seriusnya gangguan seksual serta kecenderungan psikotik Williams. Keseluruhan koleksi ini membuktikan bahawa jenayahnya dilakukan secara sistematik dan berulang. 

     Pada bulan Oktober 2010, Russell Williams dibawa ke muka pengadilan dan menghadapi 88 pertuduhan termasuk dua tuduhan membunuh, dua tuduhan rogol serta berpuluh-puluh tuduhan pencerobohan rumah dan pencurian. Dalam prosiding mahkamah yang mengejutkan ramai, Williams mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol selama 25 tahun iaitu hukuman maksimum yang dibenarkan di Kanada.

     Sebagai langkah simbolik, pihak tentera Kanada mengambil tindakan luar biasa dengan melucutkan semua pangkat serta gelaran beliau, membuang uniform dan membakar semua lencana, pingat dan pakaian rasmi Williams di hadapan umum. Ini dilakukan bagi menunjukkan bahawa pihak tentera langsung tidak mahu dikaitkan dengan individu sekejam itu. Nama Williams juga dipadam dari sebarang rekod kehormatan tentera Kanada.

Catat Ulasan for "KEHORMATAN PALSU : Kisah Gelap Kolonel Russell Williams"