Kisah Elisa Pilarski: Wanita Hamil yang Maut Diserang Anjing Pemburu di Hutan

Pada pagi 16 November 2019 bertempat di Hutan Retz di wilayah Aisne, utara Perancis seorang wanita berusia 29 tahun yang sedang hamil enam bulan iaitu Elisa Pilarski
dilaporkan maut dalam keadaan yang amat mengerikan di mana tubuhnya dijumpai dipenuhi dengan kesan gigitan anjing liar.
Elisa dilaporkan keluar bersiar-siar pada hari kejadian bersama anjing peliharaannya, Curtis, seekor anjing baka American Staffordshire Terrier. Waktu itu, dia sedang berkunjung ke rumah pasangannya, Christophe Ellul yang tinggal berhampiran kawasan hutan. Difahamkan Elisa memang sering berjalan-jalan di kawasan itu memandangkan ia terkenal sebagai lokasi rekreasi dan aktiviti luar bagi penduduk setempat. Namun apa yang tidak diketahuinya pada pagi tersebut ialah satu aktiviti memburu rusa secara besar-besaran turut sedang berlangsung di hutan sama. Aktiviti memburu itu disertai oleh sekumpulan pemburu bersama lebih 60 ekor anjing pemburu yang terlatih terdiri daripada pelbagai baka seperti hound dan pointer.

Pihak polis dan forensik dikerahkan ke lokasi kejadian serta-merta. Soalan utama yang membelenggu siasatan ialah anjing mana yang menyerangnya? Adakah ia anjing peliharaan miliknya sendiri atau anjing-anjing pemburu yang sedang memburu rusa di lokasi sama? Dalam usaha untuk mendapatkan jawapan yang sahih, pihak berkuasa menjalankan ujian DNA secara besar-besaran melibatkan lebih 90 ekor anjing termasuk si Curtis anjing peliharaan Elisa serta semua anjing pemburu yang digunakan dalam aktiviti memburu hari itu. Ini termasuk pemeriksaan teliti terhadap bulu, air liur dan kesan darah pada gigi anjing-anjing tersebut.

Beberapa bulan kemudian, hasil ujian DNA menunjukkan bahawa anjing peliharaan Elisa, Curtis, tidak bersalah dan tidak mempunyai kesan serangan terhadap tubuh mangsa. Beberapa ekor anjing pemburu dari kumpulan aktiviti memburu sebaliknya didapati positif mempunyai kesan DNA Elisa pada gigi dan air liur mereka. Walau bagaimanapun, keputusan ini mencetuskan kontroversi apabila wakil kumpulan pemburu tampil mempertahankan anjing mereka dengan dakwaan bahawa haiwan itu terlatih, tidak pernah menunjukkan tanda agresif terhadap manusia dan tidak mungkin bertindak sedemikian tanpa sebab. Malah mereka menuduh bahawa anjing peliharaan Elisa sendiri yang merupakan baka berbahaya di Perancis.
Christophe pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Dia mendakwa bahawa Curtis adalah anjing yang dibesarkan secara terkawal, patuh kepada arahan dan langsung tidak menunjukkan tingkah laku ganas. Tambahan pula, Curtis juga mengalami kecederaan kecil pada hari kejadian yang dipercayai semasa cuba mempertahankan Elisa daripada serangan anjing-anjing lain.
Dalam kes ini, ramai aktivis haiwan dan masyarakat awam mempertikaikan kenapa aktiviti memburu dibenarkan dijalankan di kawasan yang juga digunakan oleh orang ramai untuk rekreasi. Mereka menuntut agar kawasan memburu diasingkan sepenuhnya daripada kawasan awam atau sekurang-kurangnya ditutup kepada orang awam semasa pemburuan berlangsung. Pihak berkuasa tempatan turut dikritik kerana kelemahan dari segi kawalan dan komunikasi berkenaan aktiviti berisiko tinggi ini. Rentetan kes ini, beberapa cadangan telah diketengahkan seperti mengehadkan jumlah anjing pemburu, mewajibkan pemberitahuan kepada penduduk berhampiran sebelum aktiviti bermula serta pemantauan ketat terhadap baka anjing yang dibenarkan dalam pemburuan.
Catat Ulasan for "Kisah Elisa Pilarski: Wanita Hamil yang Maut Diserang Anjing Pemburu di Hutan"