Tertimbus Ketika Bermain: Kisah Sloan Mattingly yang Maut Dalam Lubang Pasir

Pada 20 Februari 2024, satu kejadian menyayat hati telah berlaku di pantai Lauderdale-by-the-Sea, Florida, Amerika Syarikat apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas tertimbus dalam lubang pasir yang digalinya sendiri bersama abangnya.
Mangsa iaitu Sloan Mattingly merupakan seorang kanak-kanak ceria yang datang bercuti ke Florida bersama keluarganya dari Indiana. Pada hari kejadian, keluarga Mattingly tiba di pantai sekitar jam 12:30 tengah hari untuk menikmati suasana cerah dan nyaman di tepi laut. Pantai Lauderdale-by-the-Sea sememangnya popular sebagai destinasi pelancongan keluarga dan pada hari tersebut, ia dipenuhi ramai pengunjung.

Seperti kebanyakan kanak-kanak lain, Sloan dan abangnya, Maddox Mattingly, 9 tahun mula bermain pasir tidak jauh dari tempat ibu bapa mereka berehat. Mereka membawa peralatan mainan sendiri seperti baldi dan penyodok kecil. Sekitar jam 1:00 petang hingga 3:00 petang, mereka menggali sebuah lubang pasir yang pada mulanya sekadar cetek menjadi semakin dalam dan luas. Lubang tersebut akhirnya cukup besar sehingga kedua-dua beradik itu boleh masuk ke dalamnya serentak.
Menurut saksi yakni pada jam lebih kurang 3:00 petang, Sloan telah duduk di dalam lubang tersebut manakala abangnya berada berhampiran. Ketika mereka sedang leka bermain, struktur pasir di sekeliling lubang tiba-tiba runtuh hingga menyebabkan kedua-dua mereka tertimbus hidup-hidup. Jeritan panik mula kedengaran dipercayai daripada ibu bapa mangsa yang menyedari kejadian tersebut. Pengunjung pantai yang lain segera berlari ke tempat kejadian untuk membantu dengan menggunakan tangan, baldi dan apa sahaja yang boleh untuk menggali semula lubang tersebut.
Walau bagaimanapun, proses menyelamat tidak mudah kerana pasir yang runtuh terus mengisi kembali lubang yang digali sekali gus menjadikan usaha menggali semakin sukar. Sekitar jam 3:15 petang, pasukan penyelamat daripada Broward County Fire Rescue tiba di lokasi kejadian. Mereka segera mengambil alih kerja-kerja menyelamat dan menggunakan peralatan khas untuk menggali dengan lebih cepat dan selamat.

Maddox berjaya dikeluarkan terlebih dahulu dalam keadaan separuh sedar dan mengalami kecederaan. Dia terus diberikan rawatan kecemasan. Sloan pula hanya berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian tetapi dalam keadaan yang lebih parah di mana dia didapati tidak bernafas dan tidak memberikan sebarang tindak balas. Petugas perubatan segera memberikan rawatan CPR dan membawanya ke hospital berdekatan. Usaha menyelamat bagaimanapun gagal dan Sloan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Laporan perubatan mengesahkan bahawa punca kematian adalah asfiksia iaitu sesak nafas akibat tekanan pasir yang menindih bahagian dada dan saluran pernafasannya. Walaupun nampak remeh, hakikatnya pasir pantai boleh menjadi sangat berbahaya jika digali terlalu dalam. Dari sudut saintifik, pasir merupakan bahan berbutir yang tidak stabil. Apabila digali dengan tiada sokongan pada dinding lubang, ia mudah runtuh semula ke dalam ruang kosong apabila menerima tekanan atau getaran termasuk dari berat badan manusia. Satu meter kubik pasir bahkan boleh mencecah berat lebih 1500 kilogram yakni cukup untuk menghalang pergerakan dan menyekat pernafasan seseorang dalam masa singkat.

Insiden seperti ini walaupun jarang berlaku, bukan kali pertama dilaporkan di Amerika Syarikat. Menurut kajian dari Harvard Medical School, kematian akibat tertimbus dalam lubang pasir sebenarnya lebih kerap berlaku berbanding serangan jerung namun kurang mendapat liputan media dan perhatian awam. Malangnya, masih ramai ibu bapa yang tidak menyedari risiko sebenar menggali lubang dalam di pantai.
Selepas kejadian tragis ini, keluarga Mattingly mengeluarkan kenyataan penuh emosi. Mereka menyifatkan Sloan sebagai anak yang manja, penyayang dan penuh semangat. Mereka menyeru agar semua ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak ketika bermain di pantai dan tidak memandang ringan terhadap aktiviti yang kelihatan selamat seperti menggali pasir. Mereka juga menggesa pihak berkuasa tempatan supaya menyediakan papan amaran di kawasan pantai bagi melarang aktiviti menggali lubang yang terlalu dalam.
Catat Ulasan for "Tertimbus Ketika Bermain: Kisah Sloan Mattingly yang Maut Dalam Lubang Pasir"