Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SVETLANA ROSLINA : Wanita Maut Dicincang Dalam Tangki Coklat Panas

     Pada bulan Disember 2016, satu kejadian ngeri telah berlaku di sebuah kilang di Rusia yang telah mengorbankan nyawa seorang wanita muda berusia 24 tahun bernama Svetlana Roslina. Dia bekerja di kilang konfeksi untuk syarikat Sergiev-Posad Confectionery Factory iaitu sebuah kilang penghasilan coklat dan manisan yang membekalkan produk ke seluruh Rusia. Svetlana juga merupakan seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak kecil selain disifatkan oleh jiran-jiran serta rakan sekerja sebagai seorang wanita rajin yang bekerja keras demi menyara keluarganya.

     Menurut sumber laporan daripada media tempatan seperti Moskovsky Komsomolets, kejadian berlaku ketika Svetlana sedang menjalankan kerja rutinnya di kawasan mesin pemprosesan coklat. Ada dua versi utama yang dilaporkan oleh saksi dan rakan sekerja. Dalam versi pertama, Svetlana dikatakan sedang menuang kandungan bahan mentah coklat dari dalam karung besar ke dalam tangki pembancuh. Waktu itu, tangannya tersangkut atau tergelincir secara tidak sengaja hingga menyebabkan seluruh tubuhnya jatuh ke dalam tangki.

     Dalam versi kedua pula, ada dakwaan bahawa telefon bimbit Svetlana telah terjatuh telefon bimbitnya ke dalam tangki coklat tersebut. Disebabkan berasa bimbang atau mungkin ingin menyelamatkan peranti peribadinya itu, dia dikatakan telah cuba mencapainya semula tetapi malangnya tergelincir lalu terjatuh sepenuhnya ke dalam tangki yang sedang berfungsi.

     Apa yang menjadikan kejadian ini lebih menyayat hati adalah tentang mesin tersebut. Tangki pembancuh yang berisi coklat cair itu mengandungi bilah pengaduk besar yang berpusing pada kelajuan tinggi bagi memastikan bahan dikacau secara sekata. Coklat yang diproses pula berada pada suhu yang sangat panas yakni melebihi 45 hingga 50 darjah Celsius bergantung kepada jenis coklat. Pekerja-pekerja kilang menyatakan bahawa mesin tersebut tidak mempunyai penutup keselamatan automatik yang boleh mengesan kehadiran objek asing apatah lagi tubuh manusia.

     Akibat daripada jatuh ke dalam mesin berkenaan, tubuh Svetlana telah dihancurkan oleh bilah logam mesin. Semasa rakan sekerjanya menyedari kejadian itu dan berlari ke arah mesin untuk membantu, mereka hanya sempat melihat kakinya yang terjulur keluar dari bahagian atas tangki. Menurut laporan saksi dan kenyataan awal polis, tubuh mangsa telah dicincang oleh bilah pengaduk dan bercampur dengan coklat cair dalam mesin tersebut.

     Pasukan kecemasan dan polis tempatan segera dipanggil ke tempat kejadian. Mereka bagaimanapun tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyelamatkan mangsa. Operasi mengeluarkan sisa tubuh Svetlana mengambil masa kerana keadaan fizikalnya telah teruk hancur akibat putaran mesin dan suhu tinggi coklat. Kes tersebut segera diklasifikasikan sebagai kemalangan industri dan siasatan rasmi dilancarkan oleh pihak berkuasa Rusia.

     Pihak pengurusan kilang didapati tidak menyediakan perlindungan keselamatan yang mencukupi di sekitar kawasan mesin berisiko tinggi. Malah beberapa laporan menyebut bahawa pekerja tidak diberikan latihan keselamatan berkala dan ramai yang bekerja dalam syif panjang melebihi waktu sepatutnya. Menerusi siasatan awal, tiada penggera kecemasan automatik pada mesin tersebut, tiada sensor keselamatan, pagar keselamatan atau suis henti kecemasan (emergency stop) yang boleh digunakan secara pantas apabila berlaku kecemasan.

     Sementara itu, suami Svetlana yang enggan memberikan kenyataan panjang hanya menyatakan bahawa kehilangan isterinya adalah satu kehilangan yang tidak akan dapat diganti.

Catat Ulasan for "KISAH SVETLANA ROSLINA : Wanita Maut Dicincang Dalam Tangki Coklat Panas"