Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN KAYLEA TITFORD YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

     Kaylea Louise Titford merupakan seorang remaja berusia 16 tahun yang berasal dari bandar kecil Newtown di Powys, Wales. Dilahirkan dengan keadaan spina bifida, kecacatan kongenital pada tulang belakang yang menyebabkan sebahagian saraf tunjang tidak berkembang sempurna dan hydrocephalus iaitu pengumpulan cecair berlebihan dalam otak yang boleh memberi tekanan kepada tisu otak, Kaylea adalah seorang remaja kurang upaya yang bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak sejak kecil. Walaupun mempunyai kekurangan dari segi fizikal, Kaylea pernah dikenali sebagai seorang remaja yang ceria, aktif dalam sukan kerusi roda dan bahkan pernah menghadiri sesi pemilihan untuk mewakili negaranya dalam Sukan Paralimpik. Walau bagaimanapun, semua itu berubah secara drastik dalam tempoh beberapa tahun terutamanya selepas pandemik COVID-19 melanda.

Kehidupan Kaylea mula terjejas apabila United Kingdom melaksanakan perintah berkurung (lockdown) akibat wabak COVID-19 pada tahun 2020. Sekolah-sekolah ditutup, lawatan perubatan dibatalkan dan ramai individu terperangkap di rumah tanpa pengawasan pihak luar termasuklah keluarga Kaylea. Bagi sesetengah orang, keadaan ini hanya membawa kesulitan sementara. Namun bagi Kaylea yang sepenuhnya bergantung kepada penjaga, perintah berkurung inilah menjadi titik permulaan kepada penderitaan yang tidak terbayangkan.

     Sepanjang sembilan bulan sebelum kematiannya, Kaylea tidak menerima sebarang rawatan perubatan atau penjagaan profesional. Dia juga tidak lagi dibawa ke sekolah mahupun ke klinik. Lebih tragik, Kaylea bukan sahaja tidak dibantu untuk ke bilik air atau membersihkan diri, malah dia juga dibiarkan terbaring di atas katilnya sepanjang masa dalam keadaan yang sangat menjijikkan dan menyedihkan. Katilnya dipenuhi dengan alas pakai buang haiwan (puppy pads) yang sudah tepu dengan najis dan air kencing. Di dalam biliknya yang tidak terurus itu, terdapat botol-botol plastik berisi air kencing, kesan kotoran di lantai dan dinding dan juga pelekat lalat yang sudah dipenuhi serangga. Bau busuk menyengat memenuhi ruang bilik. Lebih memilukan semasa mayatnya ditemui, terdapat belatung yang menjalar di kulit dan di tempat tidurnya.

     Kaylea telah mengalami obesiti yang sangat teruk. Pada waktu kematiannya, berat badannya dianggarkan sekitar 146 kilogram dan indeks jisim badannya (BMI) mencecah 70 yakni hampir tiga kali ganda paras yang dikategorikan sebagai obesiti morbid. Penyiasatan mendedahkan bahawa dia sering diberikan makanan segera seperti burger, ayam goreng, dan piza tanpa sebarang kawalan pemakanan atau pemantauan kesihatan. Disebabkan keadaannya yang sentiasa baring dan tidak bergerak, Kaylea mengalami luka tekanan yang teruk (pressure sores) sehingga berlaku jangkitan pada kulitnya. Bahagian bawah tubuhnya penuh dengan kesan luka, keradangan kulit (dermatitis) dan beberapa ulser telah bernanah serta dijangkiti bakteria. Keadaan ini akhirnya membawa kepada sepsis, satu keadaan jangkitan sistemik yang mengakibatkan kematian.

     Ketika pihak paramedik tiba di rumah Kaylea pada Oktober 2020, mereka menemui mayatnya dalam keadaan terlantar dan tidak bermaya di atas katil. Pihak forensik menggambarkan keadaan mayatnya sebagai sangat membusuk dan dipenuhi belatung. Kaylea dipercayai telah mati sekurang-kurangnya 12 hingga 36 jam sebelum dijumpai. Apa yang lebih menggemparkan, ibunya hanya menghubungi pihak perubatan setelah menyedari anaknya tidak lagi memberi respons walaupun simptom-simptom jelas menunjukkan Kaylea telah tenat sejak beberapa hari sebelumnya.

     Susulan penyiasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa, kedua-dua ibu bapanya iaitu Sarah Lloyd-Jones dan Alun Titford didakwa di mahkamah atas tuduhan manslaughter by gross negligence (pembunuhan akibat kecuaian besar). Dalam perbicaraan yang berlangsung pada akhir 2022 dan awal 2023, pelbagai bukti dikemukakan termasuk mesej-mesej teks di antara ibu dan bapa Kaylea yang menunjukkan tiada sebarang usaha dilakukan untuk membantu anak mereka. Sarah mengaku bersalah pada Disember 2022 manakala Alun pada awalnya menafikan pertuduhan tetapi akhirnya didapati bersalah oleh juri pada Januari 2023. Dalam pembelaannya, Alun menyatakan bahawa dia tidak tahu sejauh mana teruknya keadaan anaknya namun mahkamah menolak hujah itu sebagai tidak masuk akal.

     Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa Alun adalah seorang bapa yang pemalas dan lebih banyak menghabiskan masa bermain permainan video dan menonton televisyen. Sarah pula walaupun menguruskan pembelian makanan dan ubat-ubatan didapati gagal memberikan penjagaan minimum kepada anaknya. Kaylea tidak pernah dimandikan, ditukar pakaian atau diberi kebersihan asas selama berbulan-bulan. Pegawai kebajikan menyatakan bahawa ini merupakan antara kes paling tragik dalam sejarah perlindungan kanak-kanak Britain.

     Pada Mac 2023, Sarah dijatuhi hukuman penjara selama 6 tahun manakala Alun menerima hukuman 7 tahun 6 bulan. Ramai pihak termasuk badan perlindungan kanak-kanak dan pendakwa raya menyuarakan ketidakpuasan terhadap hukuman itu. Mereka menyifatkan ia terlalu ringan memandangkan keseriusan jenayah dan penderitaan yang dialami oleh Kaylea. Mahkamah Rayuan menerima permohonan tersebut dan pada Mei 2023, hukuman terhadap kedua-dua ibu bapa ditingkatkan di mana Alun dijatuhi hukuman 10 tahun penjara manakala Sarah dijatuhi 8 tahun penjara.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN KAYLEA TITFORD YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "